Pages

Rabu, 4 Jun 2014

Perkongsian Dua Persona Hebat

Perkara yang saya ingin kongsi sudah agak lama kejadiannya. Namun, tiada ruginya kalau berkongsi ilmu kerana ilmu tak pernah lapuk. Minggu lalu saya telah berpeluang menghadiri satu sesi bual bicara anjuran organisasi saya. Tetamu yang hadir adalah YBhg. Datuk Marina Chin dan YBhg. Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam. Kedua-duanya merupakan ikon sukan olahraga yang ulung negara. Dalam sesi bual bicara tersebut, pelbagai input menarik dan saya sangat teruja dengan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada dua ikon ini.
YBhg. Datuk Marina Chin yang merupakan olahragawan negara kini bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Sukan Bukit Jalil telah berkongsi pengalaman sewaktu beliau mula-mula membina kerjaya sebagai atlet olahraga. Katanya pada masa itu, kesusahan yang dialami bagi menghadiri sesi latihan dengan menaiki bas tidak dilihatnya sebagai cabaran. Beliau melihatnya sebagai satu perkara yang perlu dilakukan untuk berjaya. Jika dia enggan atau bersikap tidak acuh, tidak mungkin baginya untuk mencapai kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa. Pada masa itu juga, beliau bersama tiga orang olahragawati negara sangat cemerlang dalam acara masing-masing lantas turut cemerlang dalam acara berpasukan. Ini disebabkan setiap ahli pasukan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Sifat saling tolong-menolong sentiasa hadir dalam setiap situasi. In the yesteryears, people do good deeds because they wanted to do so. However, people do good deeds in the recent years because they wanted to be rewarded. Inilah yang berlaku sekarang. Elemen pemberian imbuhan sedikit sebanyak telah menggugat semangat dalam mencapai impian seseorang.
Perkongsian daripada YBhg. Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam juga tidak kurang hebatnya. Beliau yang turut diberi gelaran The Flying Doctor dek kerana kepantasannya memecut di trek olahraga Asia. Katanya kunci kepada kejayaan seseorang adalah pengurusan masa yang berkesan dengan keberanian untuk berkata “TIDAK”. “TIDAK” kepada aktiviti menonton wayang. “TIDAK” kepada aktiviti berbual kosong dengan kawan-kawan. “TIDAK” kepada tidur lewat malam. Semasa beliau masih menuntut di dalam jurusan perubatan, beliau mendisiplinkan dirinya untuk tidur selewat-lewatnya pada jam 10 malam untuk bangun seawal pagi bagi menghadiri latihan olahraga seterusnya menghadiri kuliah.
Katanya lagi, untuk mencapai kejayaan, seseorang perlu menetapkan 4D dalam kehidupannya. 4D itu ialah Direction, Dream, Determination dan Dicpline. Direction adalah hala tuju yang menjadi fokus kepada kejayaan. Dream bukanlah angan-angan Mat Jenin tetapi diri kita membayangkan dengan jelas pelan tindakan yang kita akan ambil dalam mencapai kejayaan. Determination adalah kesungguhan dan dedikasi manakala Dicipline adalah apa yang membuatkan kita melompat bangun dari katil seawal 6 pagi tatkala orang lain masih lena diulit mimpi indah.
Dewasa ini ramai yang memandang tinggi pada persona yang mempunyai 5C ; Cash, Car, Condo, Credit Card dan Club Membership. Hakikatnya, sebelum hadir 5C ini perlu ada ABCDE dahulu dalam peribadi seseorang. ABCDE tersebut adalah Attitude (Sikap), Behaviour (Tingkah laku), Caring (Penyayang), Dicipline (Disiplin) dan Excellence (Kecemerlangan).
Satu pedoman yang dikongsi oleh beliau bagi menonjolkan diri ke arena antarabangsa adalah penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan kemahiran komunikasi yang baik. Apabila kita berada di arena antarabangsa tidak kira dalam apa bidang sekalipun, nama yang kita akan bawa adalah nama negara. Kedua-dua kemahiran ini membolehkan kita menonjolkan potensi diri dan mengutarakan pendapat dengan baik.
Banyak perkara yang telah saya belajar dalam sesi tersebut walaupun separuh jalan sahaja saya sertai kerana perlu berkejar menguruskan Alif yang dijangkiti chicken pox pula. Saya percaya pengalaman kedua-dua ikon ini yang menjadikan mereka pesona yang begitu berkarisma dan hebat kerana pengalaman adalah guru yang terbaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan