Pages

Selasa, 23 September 2014

Cabaran Turunkan Berat Badan Dengan Segelen Air


Sejak bulan Syawal tamat, makin menjadi-jadi selera makan. Sudahnya suami pun dah tanya dah berapa bulan mengandung. Perli lah tu. Seluar pun dah makin mengecil (salahkan seluar yang mengecil pula). Agak-agak, macam manalah nak turunkan berat badan. Nak berdiet memang tak lalu. Apatah lagi nak bersukan. Yang pertama malas, yang kedua tak ada masa (sedangkan kalau rajin tentu masa diadakan).

Suatu hari saya terbaca satu artikel mengenai perubahan-perubahan yang tubuh kita akan alami setelah mengamalkan amalan meminum satu gelen air setiap hari selama sebulan. Satu gelen?! Banyaknya!! Berapa banyak segelen tu?! Segelen adalah bersamaan dengan 3.8 liter. Saya suka minum air kosong. Selama ini tak pernah pun ambil kisah manfaat air kepada tubuh badan. Artikel tersebut adalah sebahagian daripada testimoni 30-day No Excuse Water Challenge oleh Mary Kang. Challenge Accepted!!

17 September 2014 

Saya mulakan cabaran ini dengan berat sebanyak 65 kg. Mengikut kiraan BMI, saya kini lebih berat badan. Berat badan yang ideal mengikut ketinggian saya adalah 45 hingga 61 kg. Ukur lilit pinggang adalah sekitar 38 inci. Perkara pertama saya untuk mulakan cabaran ini adalah memuat turun aplikasi Water Your Body daripada PlayStore. Aplikasi ini membolehkan saya merekodkan kuantiti air yang saya minum setiap hari. Ia juga mencatatkan log berat badan saya. Aplikasi ini mudah digunakan. 

Contoh statistik kuantiti air yang diminum setiap hari.
Ini log air diminum pada hari bekerja.
Ini log air yang diminum pada hari Ahad. Ada air manis kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat.
Melalui aplikasi ini, saya perlu memasukkan berat badan semasa saya. Aplikasi ini akan menentukan jumlah air minimum yang perlu diminum sesuai dengan berat badan saya. Jumlah minimum air yang diperlukan oleh tubuh saya adalah 2145 ml. Saya buat tambahan sebanyak 1655 ml menjadikannya 3800 ml.

23 September 2014

Hari ini merupakan hari ketujuh saya meneruskan cabaran segelen air. Sejak bermula, ada beberapa perkara yang saya ingin kongsi. Bagi yang kurang minum air masak sebelum ini akan mula mengalami kekeringan bibir pada dua tiga hari pertama. Saya ada terbaca di dalam sebuah artikel bahawa simptom ini menunjukkan badan sedang membuang toksin di dalam badan. Walau bagaimanapun, tidak terjumpa pula artikelnya untuk dikongsi bersama. Apabila memulakan cabaran ini, kita perlu ambil maklum yang kita akan lebih kerap ke bilik kecil. 

Saya dapati pinggang saya telah hilang beberapa inci pada tiga hari pertama permulaan cabaran ini. Perut juga rasa lega dan lebih selesa dengan sistem perkumuhan yang baik. Badan juga terasa ringan. Suka saya maklumkan bahawa saya tidak mengubah pemakanan saya. Setiap pagi mesti belasah nasi lemak. Namun setelah beberapa hari memulakan cabaran ini, saya sudah hilang nafsu serakah makan. Selera saya lebih terkawal.

Ada lagi 23 hari untuk melengkapkan cabaran ini. Saya harap saya akan kuatkan semangat untuk teruskan. Mujurlah saya bukanlah penggemar minuman manis. Jadi agak mudah untuk saya ikuti cabaran ini cuma perlu tingkatkan pengambilan air sahaja. Setakat ini belum mampu capai 3.8 liter air tetapi sekurang-kurangnya mampu melebihi tahap minimum pengambilan air yang disarankan. Semoga berjaya kepada diri sendiri.

posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan