Pages

Rabu, 19 November 2014

Benih Timun Tua

Masa saya kecil dulu, seingat saya mak saya agak jarang menghidangkan timun tua dalam menu seharian kami. Saya hanya mula kerap menggunakan timun tua sejak saya berkahwin dengan suami saya kerana mak mertua saya sering masak asam timun tua. Resipinya mudah sahaja. Tumbuk bawang merah bersama ikan bilis dan cili padi. Rebus bahan yang ditumbuk dengan timun tua yang dah dibuang bijinya dan kulitnya. Masukkan juga asam keping. Suami saya gemar makan asam timun tua ini dengan ikan pelaling goreng. Kadang kala saya masak lemak tempoyak dengan ikan sungai atau asam pedas tumis.

Minggu Pertama
Dulu-dulu saya ingat timun tua ini adalah timun yang dibiarkan masak sehingga kuning. Rupanya tidak sama sekali. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil Yellow Chinese Cucumber. Ia sekeluarga dengan timun sama seperti tembikai dan labu. Bulan lalu, saya ada taburkan biji timun tua ke dalam tong kompos saya. Doa saya kalau menjadi biji benih yang saya taburkan ini, saya akan pindahkan ke pasu dan harapnya ada semangat jaga sampai berbuah. Harapan saya bijinya bertunas tidak tinggi kerana kadangkala buah dituai petani sebelum matang jadi mungkin benihnya juga agak kurang matang. akhirnya selepas seminggu keluarlah tunas benih timun tua.

Minggu Pertama
Agak banyak juga tunas yang keluar. Saya alihkan lima anak benih yang paling sihat ke dalam satu pasu lain. Pancang juga saya sediakan. Harapnya pancang itu teguh. Di dasar pasu saya racik dengan daun-daun pokok kantan segar dan teduhkan dengan sungkupan jarang-jarang daun kantan. Bimbang anak benih kepanasan dek terik mentari dan tak teguh menahan rintisan air hujan. Alhamdulillah bertahan ke minggu kedua.

Mingggu Kedua
Dari minggu kedua membawa minggu ketiga. Hujung minggu ini sudah masuk minggu keempat. Nampak semakin teguh anak pokok timun saya. Asalnya ada lima anak benih, sekarang tinggal tiga. Setiap minggu saya akan buang satu anak benih yang paling kecil dan lambat pertumbuhannya supaya kurang persaingan anak benih yang sihat. Dalam tiga yang tinggal, ada satu nampak gayanya akan kecil sedikit. Saya akan alihkan dia ke pasu lain sebagai back-up. Perancangannya nak biarkan dua sahaja hidup berjaya sehingga berbuah. 

Minggu Keempat
Pokok timun ini perlukan baja dan air yang banyak sepanjang hayatnya. Setiap minggu saya siram dengan baja enzim dapur. Semasa dipindahkan ke pasu pada awalnya memang tanah dah digaul kompos dan baja tinja ayam. Setiap hari di siram pagi dan petang. Hujung minggu ini perlu ditambah lagi baja tinja ayam. Tak sabar rasanya menunggu bunga pertama keluar.


posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan