Pages

Selasa, 11 November 2014

Ros Yang Keseorangan


Sedikit masa dulu saya ada mempunyai dua pasu ros miniatur merah jambu dan sepasu ros merah jambu biasa yang wangi bila berkembang. Kemudian, saya tanam ros Jepun di pangkal dasar pokok-pokok ros saya sedangkan saya tahu pokok ros tidak boleh sama sekali berkongsi pasu dengan tanaman lain. Akibatnya, dua pasu ros miniatur saya mati. Dua minggu lalu saya keluarkan semua ros jepun dalam pasu ros merah jambu saya supaya ros saya yang tinggal itu tidak menerima nasib yang sama.



Selepas di tambah dengan tanah, saya sungkup pangkalnya dengan potongan batang pokok kantan supaya tanahnya tidak cepat kering. Selama dua minggu saya siram dengan air hujan bercampur enzim sisa dapur. Saya tidak siram setiap hari kerana sejak akhir-akhir ini hujan turun setiap hari kecuali jika tidak hujan malam saya akan siram pada waktu pagi. Setiap hari, ros saya terkena cahaya matahari sekitar awal pagi sehingga tengah hari. Saya pernah letaknya di kawasan terkena sinaran matahari dari pagi sehingga lewat petang namun daunnya cepat kering. Ros jika tidak boleh terlalu rapat dengan pokok lain kerana pangkalnya perlukan pengudaraan yang baik.



Sejak dua tiga hari yang lalu pokok bunga ros saya ini dah mula keluarkan dua kudup bunga. Kelihatan beberapa pucuk baru yang sihat juga telah keluar. Nampaknya akan banyak kudup ros baru akan keluar bersambung-sambung. Hati saya melonjak gembira. Tidak lama lagi berserilah laman saya. Hajat nak menambah koleksi bunga ros perlu dilupakan seketika. Maklumlah, kami ni menyewa rumah kerajaan, bila-bila masa saja boleh berpindah. Renyah rasanya nak memindahkan pasu-pasu. Tapi semangat nak berkebun sentiasa berkobar-kobar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan