Pages

Jumaat, 30 Januari 2015

Januari Tanpa Facebook


Saya telah bersama Facebook (FB) sejak tahun 2009. Itu pun setelah ramai ahli keluarga memujuk untuk membuka satu akaun agar dapat bersama-sama berkongsi gambar dan pelbagai cerita. Jumlah rakan-rakan semakin bertambah saban hari. Ada juga rakan yang saya kurang pasti sama ada saya betul-betul mengenali mereka. Lama-kelamaan saya mula memilih untuk tidak menerima orang saya tidak kenali sebagai rakan dalam talian dan mulai mengeluarkan orang saya kurang kenal dari senarai rakan saya.

Bersama FB, hidup saya ibarat budak-budak dengan peti ais. Setiap minit pasti ingin melihat apa di dalamnya sedangkan tidak ada apa yang baharu pun. Kematangan setiap status yang dimuat naik oleh rakan-rakan seiring dengan kematangan usia mereka. Dari yang bergambar seorang diri sudah ramai yang memuat naik gambar bersama anak dan pasangan. Tak kurang juga yang masih bergambar sendirian. Pelbagai telahan dibuat tatkala melihat rakan-rakan memberitahu seisi pelosok alam kegembiraan, kesedihan, kemewahan, kemarahan dan pelbagai emosi yang bercampur baur yang sedang dialaminya. Status yang marah-marah kadangkala dicurahkan lagi minyak. Status yang kecewa ditambah lagi luka yang ada. Tak kurang juga dipersoalkan niat menunjukkan beg tangan mewah yang baharu, rumah besar siap diubahsuai bak istana dan keenakan bersantap di restoran mewah.

Bisikan syaitan sentiasa hadir membisikkan kata-kata nista dan dipujuk rayu supaya diluahkan agar dapat persahabatan yang dijalinkan bertemu pengakhiran. Syaitan juga tidak lupa membisikkan supaya berkongsi apa yang kita ada tetapi orang lain tidak ada dengan niat untuk berkongsi kegembiraan. Hakikatnya, setiap saat FB diperiksa sama adakah “LIKE” terbaru diterima tanda hati mendambakan pujian.

Dengan FB juga, masa untuk insan tersayang terpaksa dicatu. Sampai bila saya harus hidup begini. Akhirnya, pada satu malam tahun baru 2015, saya menyahaktifkan akaun FB saya dan “uninstall” aplikasi FB dari telefon saya. Hari ini genaplah 30 hari hidup saya tanpa FB dan inilah yang saya alami.
  1. Saya punya masa untuk bersenam : sebelum ini masa saya banyak dihabiskan dengan duduk-duduk sahaja atau berbaring sambil mengadap FB. Niat untuk bersenam sentiasa menjadi niat tanpa usaha untuk merealisasikannya dengan alasan tak ada masa. Tanpa saya sedar saya punya masa untuk bersenam sekurang-kurangnya dalam masa 15 minit setiap pagi dan mampu membakar kalori sebanyak 150 kalori! Sebelum ini pun saya akan bangun sekitar jam 5.30 pagi dan kini pagi saya dimulakan dengan senaman. Dalam tempoh seminggu bersenam dengan basikal senaman saya, saya rasa lebih bertenaga dan badan semakin ringan. Badan sihat (dan jadi kurus) dah menjadi bonus kepada saya.Saya masih belum timbang berat terkini saya tapi kerani saya bagitau saya nampak kurus sikit (hahaha - lepas tu bedal nasi lemak tiga hari berturut).
  2. Saya lebih banyak mendengar : dengan FB, segala berita sama ada yang benar atau spekulasi hanya saya dapat melalui perkara-perkara yang dikongsi oleh kawan-kawan FB. Tanpa FB, saya kini banyak mendengar untuk mendapatkan maklumat. Saya lebih tekun mendengar setiap butir perkataan yang orang khabarkan kepada saya terutamanya suami saya. Saya lebih cakna terhadap apa yang orang-orang tersayang saya iaitu suami dan anak-anak ceritakan kepada saya. Fikiran saya sudah tidak terisi dengan hal-hal remeh tentang kehidupan orang lain. Saya sudah tidak peduli apa orang makan hari ini, pakai baju warna hari ini, bergaduh dengan siapa hari ini atau apa yang dibeli hari ini. Ruang kosong dalam kotak pemikiran saya hanya di isi perkara yang saya mahu dengar. Kalau saya mahukan cerita saya dengar dari suami dan anak-anak. Kalau saya mahukan informasi hal ehwal semasa saya akan dengar berita.
  3. Saya punya masa untuk membaca : Rupa-rupanya banyak juga masa lapang saya. Masa yang diluang untuk FB dulu kini saya isi dengan membaca. Dalam tempoh satu bulan ini belum habis lagi mana-mana buku. Saya banyak membaca akhbar atau blog-blog pilihan saya. Dulu, tanpa disedari saya banyak membaca status daripada "wartawan tak bertauliah" dan "pengulas tak bertauliah" yang mengulas berita-berita yang belum pasti atau berita/maklumat yang diterima separuh masak. Sekarang kepala saya kurang semak dengan spekulasi cuma kadang-kadang kala agak ketinggalan dengan perkara yang dihebohkan.
Terlalu awal lagi untuk saya simpulkan apa yang dapat dengan meninggalkan FB. Cuma apa yang saya pasti, terlalu banyak benda menarik dalam hidup kita untuk kita raikan.

Below are my favorite articles on life without facebook which generally sums up what I experience these last 30 days :

  1. 21 Reasons Why Life without Facebook is Totally Awesome
  2. How 30 Days Without Social Media Changed My Life
  3. Walled-in: Life Without Facebook
  4. The anti-social network: Life without Facebook
  5. My Life Without Facebook: A Social Experiment
...and a few more.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan