Pages

Isnin, 16 Februari 2015

Perjalanan ke Uludag, Bursa Yang Penuh Bermakna

Dalam rancangan percutian kami, kami sememangnya telah merancang untuk melihat salji dan bermain ski di puncak gunung Uludag, Bursa pada hari kedua percutian. Memang Istanbul kadangkala akan turun salji namun kejadian itu hanya berlaku sesekali sahaja dalam tempoh dua atau tiga tahun. Dinihari itu, salji sudahpun mulai turun di Istanbul. Perjalanan kami dari apartmen ke stesen bas di Otogar dengan tram juga di sulami dengan kedinginan salji. Suhu di sekitar Istanbul hanya sekitar 2°C. Nampaknya memang rezeki kami dapat merasai kedinginan salji di Istanbul.

Dari stesen bas Otogar, kami mendapatkan tiket bas ke Bursa pada harga 30 Turkish Lira iaitu kira-kira RM45 seorang untuk perjalanan empat jam. Mahal? Saya rasa agak berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan. Syarikat bas Pamukale menyediakan perkhidmatan bas ke pelbagai destinas dengan bas yang dilengkapi pemanas udara, kemudahan tv dan juga wi-fi percuma. Seorang kakitangan juga turut bersama sepanjang perjalanan bagi menyediakan hidangan ringan dan minuman panas kepada pengguna. Perjalanan kami adalah menggunakan laluan lebuhraya. Namun lebuhrayanya tidak sepertimana yang ada di Malaysia. Tiada hentian rehat dan rawat. Pemandangan yang dinikmati sepanjang perjalanan adalah gunung ganang dan sesekali ladang zaitun yang memutih dilitupi salji.

Setelah kira-kira dua jam perjalanan, bas akan menaiki feri melintasi Laut Marmara. Enjin bas akan dimatikan. Penumpang bolehlah bersiar-siar di dek feri atau menikmati hidangan ringan di kafeteria feri atau duduk-duduk saja di ruang legar feri untuk memanaskan badan. Jika ingin ke tandas, inilah masanya kerana tiada lagi tandas akan dijumpai setelah perjalanan dengan bas bersambung semula sehinggalah tiba di terminal. Kami hanya duduk sahaja di dalam bas setelah keluar sekejap melihat keadaan di luar. Oleh kerana cuaca kurang baik, maka hanya kabus sahaja kelihatan. Kami bernasib baik kerana dalam perjalanan pulang esoknya cuaca sangat baik. Burung-burung camar laut juga kelihatan terbang. Jadi, kami bergambar sepuasnya dalam perjalanan balik. Walaupun cuaca baik, hawa dingin sangat memberi kesan sehinggakan nak bergambar pun susah. Menggigil jari nak tap skrin telefon. Muka terasa kebas lebih-lebih lagi apabila angin bertiup. Perjalanan di atas feri ini mengambil masa hampir satu jam.





Bas meneruskan perjalanan ke Bursa melalui jalan darat hampir sejam sehinggalah sampai ke Bursa International Terminal. Dari sini kami teruskan perjalanan ke pusat bandar Bursa menuju ke Ulu Camii dengan menaiki bas tempatan bernombor 38. Harga tiket sehala untuk seorang adalah 3 Turkish Lira (RM4.60). Dengan bantuan orang tempatan, kami turun berhampiran Ulu Camii - Green Mosque. Dari sini, kami menuju ke Camlibel Hotel berhampiran jalan utama. Usai solat dan makan tengahari di sebuah restoran, kami mendapatkan van untuk ke puncak gunung Uludag dengan bayaran 12 Turkish Lira seorang (RM 18). Perjalanannya menuju ke puncak dihidangkan dengan suasana bersalji tebal seolah-olah berada di Narnia. Pemandangan sangat cantik tak terungkap dengan kata-kata. Tapi sayang, gambar yang cuba diambil menghasilkan gambar putih sahaja. Inilah yang dikatakan apa yang dilihat dengan mata kasar dan dirasa dalam tak dapat dizahirkan dengan kamera atau kata-kata yang tepat bagi menggambarkannya.






Di pertengahan jalan, salji sudah mulai menebal di atas jalan. Kami sudah mengjangkakan dengan melihatkan keadaan di Bursa yang bersalji lebat apatah lagi di puncak Uludag. Beberapa kali van kami tersekat di dalam salji. Mujurlah ada beberapa orang tempatan yang cekap mengendalikan situasi. Kerisauan kami cuma satu. Bimbang pemandu enggan turun ke Bursa semula. Nasib baik pemandu memang perlu kembali ke Bursa setelah di puncak. Salji cukup tebal di Uludag sehingga hampir separuh struktur gazebo ditelenggami salji. Tanpa turun dari van, kami berpatah balik ke Bursa setelah semua penumpang tempatan turun di Uludag. Jadi, tak dapatlah kami bermain ski di puncak gunung namun pengalaman tersekat dalam salji sangat berharga. Suhu sangat sejuk di Uludag pada masa itu adalah sekitar -8°C. Tak dapat saya bandingkan bagaimana kesejukannya. Tiba saja di Bursa sekitar jam 8 malam kami terus kembali ke hotel. Sepatutnya kami menonton tarian sufi di sebuah pentas terbuka. Namun badan terlalu letih dan sesi persembahan juga telah lama bermula. Maka tamatlah hari kedua kami di Turki dengan perjalanan yang panjang.

Pada hari kedua di Bursa, kami menuju ke Silk Bazaar atau Koza Han setelah sarapan di hotel. Salji masih turun dengan lebat pada hari ini. Pihak pengurusan hotel menyediakan sarapan standard Turki berupa sebiji telur rebus, hirisan tomato dan timun, sedikit jeruk zaitun, roti, mentega, jem ceri masam, cream cheese dan teh Turki. Koza Han terletak berhampiran dengan hotel kami.

Koza Han merupakan sebuah pasar yang dibina oleh Sultan Bayezid II di mana pendapatan yang dijana dari pasar ini digunakan untuk menguruskan masjid dan madrasahnya di Istanbul. Koza Han mempunyai dua tingkat dengan bahagian dalamnya merupakan laman yang kini dikenali sebagai Koza Han Tea Garden. Struktur asal Koza Han menempatkan butik,butik yang menjual hasil tenunan sutera dan fabrik berkualiti tinggi.







 




Di bahagian tambahan Koza Han menempatkan kedai-kedai yang menjualkan fabrik sutera dan kapas serta pakaian selain barang perhiasan diri serta manisan. Jika ingin membeli pelbagai jenis selendang dan skarf sutera atau kapas, belilah di sini kerana harganya jauh lebih murah berbanding barangan yang sama yang dijual di Istanbul. Coklat buah berangan dan manisan buah berangan juga merupakan produk tempatan dan sangat sedap dimakan. Kami membeli tudung dan selendang di sini tetapi membeli manisan dan coklat buah berangan di Bursa International Terminal kerana rasanya lebih sedap. Selesai membeli belah, kami kembali ke Istanbul semula dengan bas jam 12.30 tengahari.

posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan