Pages

Khamis, 12 Mac 2015

Catatan Perjalanan Kembali Ke Malaysia

Akhirnya catatan perjalanan di Mesir dan Turki sampai ke penghujung. Pada hari terakhir kami di Mesir, tak banyak perkara dibuat sementara menunggu penerbangan ke Istanbul lewat petang itu. Mak dan ayah hanya berehat-rehat sahaja melepaskan lelah dan Cuma keluar sekali sahaja pada hari itu untuk makan tengah hari di KFC belakang rumah homestay. Setelah makan tengah hari, saya dibawa adik saya membeli jus segar di sebuah kedai jus. Orang Arab Mesir gemar minum jus segar dan kedainya agak besar. Semasa kami di sana saya dapati ada beberapa orang yang datang membeli jus dalam jumlah yang banyak. Ada pelbagai jenis jus yang dijual di kedai ini. Ada jus oren, pisang, mangga, tebu, delima dan pelbagai lagi. Kami hanya membeli jus tebu,mangga dan jambu batu. Kami juga beli potongan buah strawberi, pisang dan lain-lain yang berkuah jus mangga segar. Manis sangat buah-buahannya seolah-olah diletakkan gula sedangkan tidak.




Kemudian adik saya bawa pula ke sebuah kedai manisan yang menjual pelbagai manisan. Kami membeli kunafa dan sejenis lagi manisan yang berkacang. Kunafa adalah sejenis manisan daripada zaman Empayar Othmaniyah dan banyak didapati Turki. Ia adalah manisan berasaskan keju dan disira dengan air gula. Kedua-dua manisan ini manis macam Baklava. Kemanisannya diibaratkan adik saya boleh potong kaki sampai ke paha.



Setelah menaiki pesawat dari Cairo lewat petang itu, kami tiba di Istanbul kira-kira jam 12 malam. Kami menaiki airport shuttle selama 5 minit dan tiba di hotel pada jam 2 pagi untuk bermalam pada satu malam. Malam itu salji sungguh lebat sehinggakan pesawat berlegar-legar di ruang angkasa Istanbul kira-kira hampir 20 minit bagi membolehkan landasan dibersihkan untuk pendaratan.

Sementara menunggu penerbangan kembali ke Malaysia petang itu, kami bersiar-siar di kawasan sekitar hotel untuk bersarapan pagi merangkap makan tengah hari. Salji sangat tebal pagi itu dan masih lagi turun. Ketebalan salji adalah hampir setengah kaki dan menenggelamkan kaki. Mujurlah ada beberapa kedai yang telah dibuka awal dan dapatlah kami menjamu rice pilaf dan Turkish Grilled Chicken buat kali terakhir di Istanbul. Dengan kesempatan itu juga, kami menghabiskan baki Lira dengan membeli beberapa makanan tempatan di kedai bakeri berdekatan.





Setibanya di lapangan terbang, didapati banyak juga penerbangan ditunda sementara ada juga sebahagian kecil yang dibatalkan akibat salji terlalu lebat. Penerbangan kami ditunda selama 2 jam walaupun kami telah pun masuk ke dalam perut pesawat. Setelah landasan dibersihkan dan pesawat melalui proses anti icing, maka bermulalah perjalanan pulang kami selama 10 jam.

  

Alhamdulillah kami tiba di Malaysia jam 9.07 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan