Pages

Isnin, 24 Ogos 2015

Jagung Berbunga Jantan dan Berketiak - Minggu 10

Dua  minggu sebelum Ramadhan menjelma, saya telah menyemai 16 ulas biji jagung. Seminggu kemudian, kesemua tidak bercambah kerana dimakan semut belaka. Saya semai di ruang jemuran di belakang dapur. Biji benih dimakan semut memang dah dijangka sejak awal lagi sebab memang dah biasa berlaku jika saya menyemai di kawasan jemuran. Akhirnya saya yang rugi kerana masih berdegil untuk menyemai di situ.

Beberapa hari kemudian saya semai lagi sebanyak 32 biji di laman belakang rumah di atas batas yang telah digemburkan beberapa kali. Alhamdulillah, akhirnya 80% semaian menjadi. Dalam tempoh ia membesar ke hari ini, banyak juga yang telah tumpas. Kebanyakannya mati dek kerana cuaca panas tambahan pula ditinggalkan hampir dua minggu ketika kami pulang ke kampung. Sekarang yang ada cumalah 6 batang pokok jagung yang tak sama besar. Saya pun hairan dengan perbezaan saiznya.


Dua minggu lepas, pokok-pokok jagung ini memang tegak. Namun pada minggu lalu, hujan turun dengan lebat disertai angin yang kuat mengakibatkan pokok-pokok jagung ini senget hampir menyembah bumi. Saya tak berani nak tegakkan, takut mengganggu akarnya. Minggu lepas nampak sedikit tegak pokoknya.


Minggu lepas juga bunga jantan jagung dah keluar dari pokok yang paling sihat. Dalam penghujung minggunya pula, ketiak jagung dengan helaian rambutnya pun dah muncul. Hujung minggu ini pula, satu lagi bunga jagung jantan dah keluar dari pokok yang lain. Mungkin minggu ini akan keluar ketiak jagungnya pula. Teruja betul saya sekarang.


Oleh sebab bilangan pokok jagung saya sedikit, saya mula mencari maklumat untuk mendebungakan putik-putik jagung saya secara manual. Antara saranannya  adalah supaya bunga jagung jantan diambil sedikit dan digosok-gosok pada rerambut putik jagung sebaiknya setiap hari. Untuk mudahnya kerja saya, selepas digosok, saya terus ikatkan dengan lembut bunga jantan ke rerambut jagung dengan harapan semut-semut akan menyebarkan lagi debunganya. Pendebungaan manual dibuat untuk mengurangkan rongak-rongak isi pada tongkol jagungnya.


Inilah kali pertama saya menanam jagung sejauh ini. Ahad lepas juga saya ada membaja batas jagung dan menyiram seperti biasa. Bila jagung dan mula berbuah, aktiviti menyiram sebaiknya dibuat setiap hari dan sebolehnya saya tak mahu batasnya kering terus. Buat masa ini daun-daun serai yang dipangkas menjadi sungkupan batas.

Tak sabarnya tak tuai jagung walaupun yang menjadi satu tongkol sahaja

6 ulasan:

  1. Wahh..seronoknya..saya semai jagung..dah nak dekat sebulan masih tak bercambah...:(

    BalasPadam
  2. Seroknya bila dapat hasil sendiri macam ni. Walaupun tak banyak. Pasti rasa berbaloi.

    BalasPadam
  3. Pandai buat pendebungaan sendiri bagus juga. Boleh tambah hasil.

    BalasPadam
  4. Memang teruja bila dapat hasil macam ni akak. Seronokkan.

    BalasPadam
  5. Tanam rapat sangat... seeloknya 2 jaki jarak...

    BalasPadam