Pages

Selasa, 12 Mei 2015

Mulberi Berbuah Tak Seberapa

Bulan lepas saya ada mengaplikasikan teknik melenturkan dahan-dahan mulberi yang dah dibuang daun untuk membolehkan lebih banyak dahan tumbuh. Dengan itu, buah akan dapat dihasilkan dengan lebih banyak bersama-sama dahan baru yang tumbuh. Setelah beberapa lama, memang banyak dahan baru yang tumbuh.

Hasil buah mulberi hari ini

Walau bagaimanapun, hanya beberapa dahan sahaja yang menghasilkan buah. Dahan baru yang tumbuh memang lebih banyak dari dahan yang dilenturkan berbanding dari dahan yang dicantas. Manakala dahan yang dibuang daun dan tidak dicantas atau tidak dilenturkan tidak menghasilkan langsung dahan baru. Jadi kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah dahan yang dibuang daun dan dilenturkan atau dicantas memang menghasilkan dahan baru. Cuma dahan yang baru tumbuh tidak semestinya menghasilkan buah.

Mulberi dari dahan yang lain sedang meranum

Pokok-pokok mulberi saya semuanya ditanam di dalam pasu. Sudah lebih setahun saya tanam mulberi berkenaan. Ada empat pasu kesemuanya. Pasu kelima telah saya hadiahkan kepada ayah saya. Pokoknya sudah lebih tinggi dari saya dan batang pangkalnya lebih hampir sama saiz dengan betis anak saya. Dahannya banyak dan berbuah besar. Ayah saya tanam di dalam pasu yang diletakkan di atas tanah. Saya yakin akarnya sudah sampai menembusi tanah sebab itu pokoknya besar. Tapi saya tidak ada pula gambarnya.

Saya rasa pokok mulberi saya mungkin tidak menghasilkan buah yang banyak kerana akarnya sudah penuh memenuhi ruang pasu. Mungkin saya patut memindahkan pokok mulberi saya ke ruang yang lebih besar. Saya sebolehnya nak pindahkan ke laman belakang rumah kerana ruangnya sangat luas. Namun tanahnya sangat tidak subur kerana setiap tanaman yang saya tanam di kawasan tersebut agak susah untuk hidup. Lalang di kawasan belakang juga tumbuh tidak melata menunjukkan ada kawasan memang kurang subur. 

Tapi sejak akhir-akhir ini saya ada perhatikan ada satu bahagian laman belakang yang agak subur dengan lalang dan rumpai. Di bahagian itu ada saya tanam serai dan ubi kayu. Serai dan ubi kayu di bahagian ini lebih besar sedikit berbanding bahagian laman belakang yang lain. Mungkin saya akan alihkan salah satu mulberi saya ke kawasan itu. Nanti saya akan kongsi apa yang ada di laman belakang sekarang dalam catatan yang akan datang.

2 ulasan:

  1. Saya suka makan buah nya....masam2 tapi sedap kalau masak ranum...

    BalasPadam
  2. The roots, stems, leaves, flowers, fruits, and seeds make up the majority of terrestrial plants' basic components. Below is a description of how each plant component works.seedless Lemon Plant

    BalasPadam