Pages

Isnin, 11 Mei 2015

Semaian Kacang Botor Sebulan & Pancangnya

Minggu lepas ada beberapa projek yang dah dijalankan di laman rumah antaranya memindahkan kacang botor ke laman rumah dari pasu semaian. 

Benih kacang botor atau kacang kelisa yang disemai buat kali kedua kini dah berumur sebulan. Ada tiga anak pokok segar yang perlu dialihkan ke ruang yang lebih besar. Alif Zakwan yang menyambut hari lahir yang kedua pada hari ini bersungguh-sungguh menolong ibu pada Sabtu lepas. 



Memandangkan hujan turun setiap hari, maka tanah di laman depan rumah agak lembut untuk dicangkul. Saya telah gali tiga lubang dan ditabur dengan baja sebelum anak pokok dimasukkan ke dalam lubang. Di pangkal pokok, saya telah “pagarkan” dengan potongan botol mineral untuk mengelakkan siput-siput babi mengerjakannya. 


Pagi ini, semaian kacang botor saya nampak sihat dan segar walaupun kelihatan beberapa ekor siput babi berkeliaran di sekitarnya. Semaian timun saya sudah tewas di makan siput. Mungkin kerana tidak dipagarkan. Saya telah alihkan semaian kacang botor saya pada petang Sabtu untuk membolehkan semaian berehat dan tidak tertekan selepas dipindahkan. Jika dipindahkan pada waktu pagi, bimbang semaian tertekan kerana berubah tempat dan perlu pula menghadapi cuaca panas di ruang baru.


Bagi membolehkan kacang botor saya memanjat, saya telah pasangkan pancang yang saya telah beli dari Daiso. Pancang ini adalah besi yang bersalut getah. Pancang besi yang tidak bersalut getah mungkin panas menyerap haba matahari dan menyebabkan pokok melecur. Pada harga yang lebih kurang, pacang kayu juga boleh didapati dia Ace Hardware. Sebenarnya saya lebih berminat pada pancang kayu tapi bimbang mudah patah, jadi pancang besi menjadi pilih. 


Di sekitar ruang baru kacang botor ini juga ada pokok betik, pokok kari dan pokok kantan. Kesemuanya baru ditanam beberapa bulan lalu. Pokok kari ini merupakan anak pokok kari yang tumbuh dari biji di dalam salah satu pasu pokok bunga saya dan saya pindahkan ke sini. Pokok betik pula tumbuh secara tak sengaja di  dalam tong kompos. Pada asalnya pokok betik ini daunnya kurus kering dan kuning. Setelah sebulan dipindahkan ke sini dan dibaja setiap dua minggu, nampaknya daunnya sudah mulai gemuk. 

Tak sabar rasanya nak menunggu kacang botor dan betik saya berbunga. 

3 ulasan:

  1. bestnya berkebun. Nanti nak beli jugak benih atau anak pokok, boleh berkebun.

    BalasPadam
  2. siput babi tu beli lah racun..pasti hilang keturunannya

    BalasPadam
  3. On average, a domestic lemon tree will grow 10'-20' tall and 15'-20' wide. Dwarf varieties should stay under 10' tall, while container trees can be even shorter.regular Lemon Plant Of course, many factors determine the overall size of your lemon tree.

    BalasPadam