Pages

Jumaat, 24 Julai 2015

Kacang Botor Sudah Berbunga - Bulan Ketiga

Sebelum saya pulang ke kampung sempena Aidilfitri minggu lalu, pokok kacang botor saya yang dah menginjak umur tiga bulan sudah mula kelihatan mengeluarkan putik bunga. Ketika itu, saya sedikit risau. Bimbang kalau pokok mati sebab tidak akan disiram hampir dua minggu sebab saya akan meninggalkan rumah selama 10 hari. Saya berdoa supaya hujan turun sekurang-kurang sekali di tengah-tengah minggu. Rasanya ada sehari dua hari yang hujan berdasarkan kepada ramalan cuaca di telefon bimbit saya. 

Saya juga risau kalau bunganya dah bertukar jadi buah dan buahnya kering di pokok sebab lambat dituai. Biasanya buah yang tua di pokok sebab tidak dituai akan sebabkan pokok kurang menghasilkan buah. Sudah menjadi resmi pokok, ia berbuah untuk menghasilkan benih. Jadi, kalau buah dah kering pokok, pokok akan dapat isyarat benih dah terhasil. Sebaliknya jika buah dituai muda, pokok akan dapat isyarat benih belum terhasil maka akan lebih banyak buah terhasil dalam tempoh yang lebih lama. Ini semua kuasa Allah.


Kerisauan saya akhirnya tidak membawa makna apa-apa. Tiba sahaja di rumah Selasa lepas, bunga yang baru berkembang cuma lima kuntum. Itu pun belum matang. Dari hasil pembacaan saya, buah boleh dipetik dalam tempoh 20 hingga 65 hari selepas berbunga. Mungkin seminggu dua lagi baru dapat tuai hasil kacang botor pertama saya.



Nampaknya pancang yang saya buat serasi betul dengan kacang botor saya. Walau asalnya saya tanam 3 pokok anak benih botor, namun hanya satu yang tumbuh dengan elok. Satu dah awal-awal lagi mati dimakan siput selepas beberapa hari dipindahkan ke tanah. Satu lagi tak membesar sampai sudah. Ada pula pokok kacang telang menumpang kasih sekali. Abaikan semak samun di pangkal pancang. Memang sudah sampai masa laman depan rumah ini dikemaskan setelah diabaikan sepanjang Ramadhan.


1 ulasan: