Pages

Sabtu, 25 Julai 2015

Tips Menghilangkan Bau Busuk Pada Pakaian

Walaupun saya ni bekerja di pejabat, kadang-kadang menangis juga ketiak kalau dah bergerak ke sana ke mari menyelesaikan tugasan. Belum keluar rumah pagi-pagi pun dah berpeluh dalam baju kerja menguruskan anak-anak ke taska/tadika. Balik dari pejabat, berpeluh pula menguruskan anak-anak. Kadang-kadang belum sempat duduk pun dah ke dapur sediakan kudapan ringan untuk minum petang sementara makan malam belum disediakan. Memang di akui bau peluh badan melekat pada baju kerja. 

Yeah, I feel bad when I smell bad...

Sebahagian besar koleksi baju kurung saya adalah dibuat dari kain kapas. Malu saya bila bau badan melekat pada baju-baju kurung. Segan juga nak duduk dekat-dekat dengan kawan-kawan. Nak pakai semula baju yang siap dibasuh pun malu sebab masih berbau. Suami yang memang tugasnya membasuh baju kami sekeluarga pun ada menegur. Saya dah cuba sental baju terutama di bahagian ketiak dengan sabun pencuci, sabun mandi dan juga syampu. Namun masih belum berjaya sehinggalah saya berjaya dengan menggunakan cuka makan.

Saya dah cuba teknik ini beberapa kali dan hasilnya memang memuaskan.

Gambar hiasan dari google search. Cuka makan.

Saya akan mencampurkan setengah cawan cuka makan dengan 3 liter air (lebih kurang setengah baldi). Rendam baju sepenuhnya dalam air yang dicampurkan cuka semalaman. Sebaiknya gosok sedikit bahagian ketiak dan leher dengan air rendaman untuk pastikan air rendaman meresap di bahagian yang berbau. Saya pernah rendam selama beberapa jam tapi hasilnya kurang memuaskan. Jadi sebaiknya rendam semalaman. Saya sarankan cuba rendamkan sebahagian kecil pakaian dahulu di bahagian yang terlindung untuk uji sama ada kain sesuai atau tidak untuk air rendaman tersebut. Saya pernah rendam t-shirt, baju kurung dari bahan kain kapas, baju kurung dari kain sutera dan baju kurung dari kain sifon. Alhamdulillahlah, warna kain tidak luntur. Setelah direndam semalaman, bilas pakaian dengan air bersih dan basuh seperti biasa. Bau cuka akan lekat di pakaian namun akan hilang setelah pakaian kering. Insya-Allah, pakaian akan berbau segar dan tiada lagi bau badan melekat pada pakaian. Tambahan pula, air cuka yang disental pada bahagian ketiak baju juga dapat menghilang sisa deodoran yang melekat. Jika tidak banyak, sebahagian akan tetap dapat dihilangkan.

Bagaimana ia berkesan? Bau busuk terjadi adalah disebabkan tindakan bakteria. Sifat berasid cuka ‘memotong’ membran bakteria dan menyebabkan bakteria mati. Justeru itu, ini menyebabkan bau busuk hilang. 

Rendaman air cuka dapat menghilang bau busuk pada pakaian. Namun jika bau pada badan masih belum dapat dihilangkan, maka bau busuk akan kembali melekat pada pakaian semula. Jadi, langkah-langkah untuk menghilangkan bau badan perlu diambil bagi mengelakkan bau badan yang kurang enak melekat pada pakaian. Jika terjadi lagi, silalah rendam pakaian lagi dalam air cuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan