Pages

Isnin, 10 Mac 2014

Bayam Malabar Musim Kemarau

Sudah lebih dari sebulan saya menyendiri tanpa sebarang catatan. Bulan lalu merupakan bulan yang agak kelam kabut buat saya. Mulai awal bulan Februari, saya telah berpindah ke sebuah jabatan yang baru sempena dengan kenaikan pangkat. Alhamdulillah. Bersama-sama dengan perpindahan itu, Ahmad dan Alif juga terpaksa berpindah ke taska lain. Mujurlah ada taska yang sudi menerima anak bujang saya berdua itu. Agak mudah untuk taska menerima Alif memandangkan Alif sudah mula berdiri pada waktu itu. Kalau masih bayi, mungkin agak sukar untuk pihak taska menerimanya. Alhamdulillah, Ahmad dan Alif kelihatan lebih gembira di taska baru. They really look forward to be there every morning.
Dengan suasana kerja yang baru, saya mengambil masa kira-kira hampir sebulan untuk menghadamkan semua tugasan yang saya warisi dari pegawai terdahulu. Hampir setiap hari rasa marah pada ketua sebab semua yang saya buat tidak kena pada matanya. Sekarang, semuanya sudah berada dalam kawalan saya. Ketua yang saya marahkan selama ini baik orangnya. Mungkin pada awalnya, masing-masing belum biasa dengan cara kerja.
Habis cerita fasal diri saya. Sekarang, saya nak bercerita tentang bayam malabar yang saya semai dari keratan batang. Saya memang sudah lama teringin hendak menanam bayam malabar. Keinginan itu akhirnya termakbul apabila saya tanpa lengah terus membeli secekak dari pasar tani. Saya semai beberapa keratan batang di dalam tanah yang kaya dengan kompos. Inilah hasilnya setelah sebulan. Walau tanah hampir kekeringan dek kerana cuaca panas yang mencengkam, batang bayam malabar galak menjalar mengeluarkan daun-daun yang hijau bersinar.
Suatu hari, saya pun menuai hasil tanaman saya itu. Walaupun tidak seberapa, namun cukup untuk makan seorang. Sayur bayam malabar ini suatu masa dulu merupakan sayur harian di rumah saya masa kecil dahulu. Penuh bayam malabar menghijau memenuhi ruang laman dapur rumah ayah saya. Seingat saya, ayah saya tanamnya pun melalui keratan batang. Saya paling suka sayur ini dimasak dengan bawang putih dan bilis digoreng hampir garing, berkuah dengan air agak banyak. Saya masukkan sekali dengan carikan daun kunyit memang terangkat. Jika ada cendawan tiram atau kulat busut dimasak bersama, pasti lebih enak.
Beberapa minggu lalu, bayam malabar dalam pasu ini telah menarik perhatian bapa mertua saya yang datang berkunjung. Semangat beliau bertanyakan tentang bayam malabar saya. Katanya nanti bolehlah dia dapatkan secekak dari pasar dan semai  juga di rumah. Kebetulan, bayam malabar saya baru dituai. Maka, tak dapatlah saya memberi secekak dua buat bapa mertua saya.



posted from Bloggeroid

2 ulasan:

  1. boleh try nnti cara wanie masak tu...campur dgn cendawan..dgn daun cekur manis pun sedap kut yer

    BalasPadam