adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Khamis, 7 November 2013

Pasta & Bebola Daging Berkuah Ala-IKEA

Minggu lepas saya ada beli sebungkus bebola daging dari pasar jualan PUSPANITA. Siang semalam dok memikirkan resepi apa yang dibuat dengan bebola daging itu. Kalau nak dimasak Bolognese jemu pula rasanya kerana baru beberapa hari lepas saya dan anak-anak menikmati pasta Bolognese. Jadi saya pun meneroka ruang maya mencari-cari resepi yang boleh mereplika rasa dan rupa kuah bebola daging medan selera IKEA. Setelah dihazam beberapa resepi, inilah hasilnya setelah diolah mengikut citarasa saya.

Bahan-bahan:
10 ketul bebola daging
Pasta secukupnya
2 sudu besar bawang kuning Holland cincang
2 sudu besar minyak
2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar kicap manis
1 cawan susu – saya guna susu full cream
Garam dan lada sulah
Cincangan daun bawang atau parsli

Cara Penyediaan:
Rebus bebola daging dan pasta sehingga masak bersama sedikit garam. Toskan tetapi simpan air rebusan. Panaskan minyak bersama mentega dan goreng bebola daging sehingga perang. Keluarkan bebola daging dan tumis bawang sehingga naik bau. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga berbuih. Masukkan secawan air rebusan tadi dan kacau sebati. Masukkan kicap dan susu. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Renih sehingga mencapai kepekatan yang disukai. Jika terlalu pekat tambahkan lagi air rebusan. Tutup api dan gaulkan cincangan daun herba. Hidangkan bersama bebola daging dan pasta.


Semalam saya masak baki spageti yang ada di rumah untuk makan malam saya dan anak-anak. Suami saya tiada di rumah kerana ada perlawanan bola sepak. Ameer makan sedikit sahaja kerana sudah kenyang makan 4 keping roti. Ahmad pula makan hampir separuh pasta yang ada dengan kuah ini. Itupun dia masih mahukan lagi. Namun pasta yang ada sudah habis. Sedap sungguh kuah ini. Lebih enak dimakan waktu masih panas. Di pejabat hari ini pun masih teringat-ingat kesedapan kuah bebola daging. Bebola daging dan kuah ini juga enak dimakan bersama kentang lenyek sebagai karbohidrat menggantikan pasta. Resepi kentang lenyek boleh didapati di sini. Makan dengan kentang goreng juga pasti sedap. Saya kira kalau ada jem masam manis seperi jem mulberi atau roselle pasti lebih melazatkan hidangan ini. 


6 ulasan:

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...