adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label kacang botor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kacang botor. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Oktober 2015

Bunga-Bunga Tanaman Makanan di Kebun Sejemput

Syukur dalam minggu ini hujan turun pada setiap hari dan disebabkan itu saya tak menyiram pokok langsung minggu ini. Mungkin sebab itu pokok-pokok lain laman belakang dan laman depan banyak yang berbunga antaranya kacang botor, sawi dan selasih. Kacang botor perlu dibaja bila berbunga supaya menghasilkan buah. Kalau tidak bunganya akan gugur begitu sahaja.






Sawi ini pula memang sengaja tidak dituai sebab daunnya habis dimakan siput setelah tumbuh semula dari keratan batang tuaian pertama. Bunganya dibiarkan sahaja untuk diambil benihnya kelak. Bunga selasih pula dibiarkan untuk galakkan serangga datang supaya bunga cili dapat didebungakan. Namun sayang, masih belum ada rezeki cili berbuah banyak, bunga sahaja yang gugur. Mungkin selepas dibaja minggu ini akan mendatangkan sedikit hasil.

Bunga Sawi

Bunga Sawi

Bunga jantan labu manis pun ada tapi tak sempat pula nak ambil gambarnya. Mungkin sebab dah jemu tengok bunga jantan. Bilalah agaknya bunga betina nak keluar. Minggu saya akan cuba ikhtiar tabur sisa ikan bilis pula untuk galakkan keluarnya bunga betina. Mungkin dalam seminggu dua dapat tengok hasil sama ada keluar atau tidak bunga betina.

Bunga Selasih Thai

Isnin, 5 Oktober 2015

Sawi Dah Dituai

Hari ni Cuma nak bagi tau yang sawi Ameer semai dan saya tanam di batas plot no. 2 belakang rumah dah selamat dituai. Asalnya nak tunggu tuai hujung ni tapi bila perasan ada satu pokok dah habis dimakan siput, maka Sabtu lepas saya tuai semuanya. Penuh secekak macam dijual di pasar tani. Lepas dituai, daun-daun dicuci bersih dari pasir dan dimasukkan ke dalam besar sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Malam semalam, sawinya masih segar dan terdengar kerangupannya semasa dipotong sebahagian tuaian sebagai ramuan mi goreng. Sebahagian lagi masih disimpan dalam peti sejuk. Sabtu lepas saya tuai hanya potong di pangkal sahaja dengan pisau yang tajam. Saya tak cabut akarnya tapi masih tinggalkan sebaris daun di bahagian pangkal dengan harapan pucuk baru akan tumbuh. Semalam saya baja dan siram seperti biasa. Tengoklah dalam sehari dua ini ada atau tidak pucuk baru.

Sawi berumur tiga minggu, dua minggu selepas disemai, seminggu selepas dipindahkan ke batas.

Sawi dalam anggaran dua bulan - minggu lepas

Sawi dituai bersama pucuk ubi kayu

Kacang Botor Masih Berbuah

Rupa-rupanya sudah enam bulan saya menanam kacang botor. Sehingga kini sudah beberapa kali menuai tapi masih belum sampai sepuluh kali. Pokoknya agak jarang-jarang berbuah namun bila dibaja makin rimbun berbuah. Selepas kali pertama saya tuai kacang botor, pokoknya tidak berbuah hampir sebulan tapi bunga tidak putus-putus muncul. Saya pun tertanya-tanya kenapa begitu jadinya. Terdetik juga di hati mungkin kerana kurang nutrien jadi bunga mudah luruh.


Jadi, dua minggu sebelum Aidiladha saya baja dan beberapa kali siram dengan air basuhan ikan dan beras. Sejak dari itu, pokok mula berbuah kembali. Sehari sebelum balik ke kampung saya tuai lebih kurang sedozen dan terus dibawa pulang ke kampung. Sampai di rumah mak sudah lewat malam. Maka kacang botor disimpan sahaja di dalam peti sejuk sebelum dibuat ulam esoknya pula.



Setibanya dari kampung, saya lihat banyak daunnya dah menguning mungkin disebabkan kurang air sepanjang ditinggalkan seminggu. Ada juga beberapa pokok bunga hiasan yang habis layu sehinggakan sampai hari ini masih belum segar walaupun disiram setiap hari. Alhamdulillah pokok kacang botor nampak semakin elok sejak disiram setiap hari tapi pokok betik dipangkalnya masih kuning.

Minggu lepas saya tuai beberapa batang kacangnya tapi sudah agak liat jika nak dibuat ulam. Jadi saya simpan dalam bekas kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam peti ais. Bila dah dikumpulkan banyak-banyak bolehlah dibuat goreng pecah telur atau masak lemak cili padi. 


Kelmarin jua sudah nampak lagi putik buah yang keluar. Hampir sedozen dari kiraan kasar saya. Esok lusa bolehlah dikutip lagi dibuat ulam.


Agak-agak boleh nampak tak kacang-kacang botor di balik daun dalam gambar berjerebu ni?

Rabu, 12 Ogos 2015

Menuai Kacang Botor Buat Pertama Kali

Semalam hujan turun dengan lebatnya. Asalnya merancang nak ke pasar tani tapi dek kerana hujan maka suami sahaja ke pasar. Kelmarin suami saya ada tegur yang kacang botor sedap dimakan masa kecil sebab masih rangup dan manis. Kebetulan mak dan ayah ada datang ke rumah semalam sebab hari ini perlu ke lapangan terbang untuk jemput adik lelaki saya yang akan tiba dari Mesir pagi ini. Dia bercuti selama sebulan dan akan kembali semula selepas Aidiladha.

Sebelum mak datang saya dah kirim belikan dua ekor ikan patin untuk dibuat asam pedas tempoyak. Saya memang kurang berkenan beli ikan patin dari pasar raya sebab rasa lumpur masih terasa pada isi ikan. Kebetulan sudah agak lama tak makan ikan patin masak asam pedas tempoyak. Sampai di rumah kira-kira jam 6.30 petang hujan masih turun dengan lebat. Suami sajalah yang ke pasar mencari bahan-bahan mentah untuk dapur.

Sementara suami ke pasar, sempatlah saya berpayung meredah hujan ke belakang dapur mengorek kunyit, memetik daun kesum dan kacang botor serta memangkas batang kantan. Pokok kantan tak pernah berbunga walaupun ditanam dah hampir tiga tahun. Tak tahulah apa masalahnya. Jadi batang kantan sahajalah buat pengganti bunganya. Daun kesum memang elok dicantas untuk galakkan pertumbuhan pucuk baru. Kunyit pula dituai sebab rasa kunyit segar lebih sedap untuk dibuat rencah asam pedas tempoyak berbanding serbuk kunyit. Kacang botor pun dituai buat ulam.


Semua bahan ini sudah selamat lebur dalam asam pedas tempoyak ikan patin. Menu tambahan adalah sambal tempoyak untuk digandingkan dengan kacang botor serta potongan timun. Sedap betul kacang botor. Rasanya manis dan rangup. Habis kacang yang ada di pokok dituai dalam hujan lebat semalam. Yang tinggal sekarang bunganya sahaja. Esok lusa mungkin ada kacang baru akan keluar. Mewah ulam lah lepas ni.

Isnin, 10 Ogos 2015

Kacang Botor Mula Berbuah

Selepas dua minggu mula berbunga, akhirnya pokok kacang botor saya mula berbuah. Sekarang umur pokok kacang botor saya ini kira-kira 14 minggu. Pada awalnya, bunga-bunganya tidak menghasilkan buah. Mungkin pada masa itu pokok baru hendak belajar berbunga. Setelah seminggu barulah beberapa buah pertama muncul. Dalam tempoh dua hari sahaja panjang buah sudah mencapai ukur lebih seinci. Kacang botor perlu dituai sebelum kacangnya mula berserat. 


Bunganya juga semakin banyak. Nampaknya jenuh juga menuai kacang botor tak lama lagi. 



Kalau tak dapat nak makan semuanya mungkin saya akan cuba guna teknik awetkan kacang secara sejuk beku macam sayuran campur yang dijual di pasaran. Kalau berjaya teknik awetkan tersebut, stok sayuran insyaAllah tak akan putus.

Jumaat, 24 Julai 2015

Kacang Botor Sudah Berbunga - Bulan Ketiga

Sebelum saya pulang ke kampung sempena Aidilfitri minggu lalu, pokok kacang botor saya yang dah menginjak umur tiga bulan sudah mula kelihatan mengeluarkan putik bunga. Ketika itu, saya sedikit risau. Bimbang kalau pokok mati sebab tidak akan disiram hampir dua minggu sebab saya akan meninggalkan rumah selama 10 hari. Saya berdoa supaya hujan turun sekurang-kurang sekali di tengah-tengah minggu. Rasanya ada sehari dua hari yang hujan berdasarkan kepada ramalan cuaca di telefon bimbit saya. 

Saya juga risau kalau bunganya dah bertukar jadi buah dan buahnya kering di pokok sebab lambat dituai. Biasanya buah yang tua di pokok sebab tidak dituai akan sebabkan pokok kurang menghasilkan buah. Sudah menjadi resmi pokok, ia berbuah untuk menghasilkan benih. Jadi, kalau buah dah kering pokok, pokok akan dapat isyarat benih dah terhasil. Sebaliknya jika buah dituai muda, pokok akan dapat isyarat benih belum terhasil maka akan lebih banyak buah terhasil dalam tempoh yang lebih lama. Ini semua kuasa Allah.


Kerisauan saya akhirnya tidak membawa makna apa-apa. Tiba sahaja di rumah Selasa lepas, bunga yang baru berkembang cuma lima kuntum. Itu pun belum matang. Dari hasil pembacaan saya, buah boleh dipetik dalam tempoh 20 hingga 65 hari selepas berbunga. Mungkin seminggu dua lagi baru dapat tuai hasil kacang botor pertama saya.



Nampaknya pancang yang saya buat serasi betul dengan kacang botor saya. Walau asalnya saya tanam 3 pokok anak benih botor, namun hanya satu yang tumbuh dengan elok. Satu dah awal-awal lagi mati dimakan siput selepas beberapa hari dipindahkan ke tanah. Satu lagi tak membesar sampai sudah. Ada pula pokok kacang telang menumpang kasih sekali. Abaikan semak samun di pangkal pancang. Memang sudah sampai masa laman depan rumah ini dikemaskan setelah diabaikan sepanjang Ramadhan.


Isnin, 11 Mei 2015

Semaian Kacang Botor Sebulan & Pancangnya

Minggu lepas ada beberapa projek yang dah dijalankan di laman rumah antaranya memindahkan kacang botor ke laman rumah dari pasu semaian. 

Benih kacang botor atau kacang kelisa yang disemai buat kali kedua kini dah berumur sebulan. Ada tiga anak pokok segar yang perlu dialihkan ke ruang yang lebih besar. Alif Zakwan yang menyambut hari lahir yang kedua pada hari ini bersungguh-sungguh menolong ibu pada Sabtu lepas. 



Memandangkan hujan turun setiap hari, maka tanah di laman depan rumah agak lembut untuk dicangkul. Saya telah gali tiga lubang dan ditabur dengan baja sebelum anak pokok dimasukkan ke dalam lubang. Di pangkal pokok, saya telah “pagarkan” dengan potongan botol mineral untuk mengelakkan siput-siput babi mengerjakannya. 


Pagi ini, semaian kacang botor saya nampak sihat dan segar walaupun kelihatan beberapa ekor siput babi berkeliaran di sekitarnya. Semaian timun saya sudah tewas di makan siput. Mungkin kerana tidak dipagarkan. Saya telah alihkan semaian kacang botor saya pada petang Sabtu untuk membolehkan semaian berehat dan tidak tertekan selepas dipindahkan. Jika dipindahkan pada waktu pagi, bimbang semaian tertekan kerana berubah tempat dan perlu pula menghadapi cuaca panas di ruang baru.


Bagi membolehkan kacang botor saya memanjat, saya telah pasangkan pancang yang saya telah beli dari Daiso. Pancang ini adalah besi yang bersalut getah. Pancang besi yang tidak bersalut getah mungkin panas menyerap haba matahari dan menyebabkan pokok melecur. Pada harga yang lebih kurang, pacang kayu juga boleh didapati dia Ace Hardware. Sebenarnya saya lebih berminat pada pancang kayu tapi bimbang mudah patah, jadi pancang besi menjadi pilih. 


Di sekitar ruang baru kacang botor ini juga ada pokok betik, pokok kari dan pokok kantan. Kesemuanya baru ditanam beberapa bulan lalu. Pokok kari ini merupakan anak pokok kari yang tumbuh dari biji di dalam salah satu pasu pokok bunga saya dan saya pindahkan ke sini. Pokok betik pula tumbuh secara tak sengaja di  dalam tong kompos. Pada asalnya pokok betik ini daunnya kurus kering dan kuning. Setelah sebulan dipindahkan ke sini dan dibaja setiap dua minggu, nampaknya daunnya sudah mulai gemuk. 

Tak sabar rasanya nak menunggu kacang botor dan betik saya berbunga. 

Isnin, 27 April 2015

Kacang Botor Minggu Kedua dan Cerita Telefon

Seminggu tak ada apa-apa catatan daripada saya walaupun banyak juga perkara nak dikongsi. Pertama, sebab terlalu sibuk dengan mesyuarat bertali arus diselang-selikan dengan kursus dan majlis rasmi. Keduanya sebab telefon ada masalah sehingga perlu hantar ke kedai untuk dibaiki hampir seminggu. Dalam kesibukan itu yang memerlukan saya bergerak ke sana ke mari luar dari Putrajaya, saya bertawakal agar tiada apa-apa berlaku sebab dok terfikir jenuh juga nak cari telefon awam untuk hubungi suami. Nak bertemu janji dengan suami untuk ke kedai telefon pun siap-siap pesan sebelum masing-masing keluar rumah untuk tunggu depan kedai jam 1.30 petang. Macam zaman sebelum kahwin pula. Bila tak ada telefon, gambar pun tak dapat nak ambil. 

Tapi sayang seribu kali sayang, pusat servis tak sengaja ter’format’ telefon saya. Semua gambar hilang. Mujurlah sebahagian besar gambar ada dalam komputer sebab saya kerap pindah gambar ke komputer dari telefon. Cuma ada beberapa gambar sebelum telefon ada masalah tak sempat disimpan.

Ok, kita pergi kepada cerita di laman rumah. Beberapa minggu lepas saya ada semai selasih Thai, bok choy, kacang botor, lobak putih dan zinnia. Bok choy dan lobak putih memang sudah dijangka benihnya tidak lagi bernas sebab benih-benihnya saya terjumpa di dalam kotak benih lama. Sengaja cuba nasib. Selasih Thai dan zinnia pula cukup bernas sehinggakan hari kedua sudah mula bercambah. Dalam masa lebih kurang seminggu, benih zinnia dah mengeluarkan daun sebenar. Tapi saya terkilan kerana anak-anak benih zinnia telah dimakan dengan rakus oleh siput-siput babi yang bermaharajalela. Benih-benih zinnia tu sebenarnya disemai untuk dua kawan saya termasuk untuk diri sendiri juga. Kecewa sangat. Terpaksa semai semula. Tak apalah. Kira sedekah saya pada makhluk Allah jua. 

Anak benih kacang botor berusia dua minggu

Alhamdulillah, kacang botor telah bertunas setelah dua minggu disemai. Bermula Jumaat lalu, daun sebenarnya telah mula keluar. Pagi ini kelihatannya pasangan daun seterusnya telah mula kelihatan. Nampaknya agak cepat juga pertumbuhan kacang botor. Saya dah sediakan pasunya berserta pancang. Tapi rasanya pancang yang saya sediakan mungkin tak cukup kukuh kerana katanya pokok kacang botor agak berat. Saya juga sedang berkira-kira nak alihkan terus ke tanah. Sekarang ini ada dua anak benih. Mungkin satu ditanam dalam pasu manakala satu lagi ditanam di atas tanah. 

Ada sedikit rasa fobia pula nak alihkan anak pokok ke laman depan kerana dulu anak-anak timun saya mati diserang kumbang manakala anak-anak benih lain pula diserang siput babi.

Macam mana nak buat ya?

Ini pula beberapa anak pokok bawang putih yang tumbuh tak sengaja dalam tong kompos dan dialihkan ke pasu lain minggu lepas. Segar nampak gayanya. Harapnya kalau dibiarkan dapat menghasilkan beberapa labu bawang putih. Sebenarnya ada enam anak pokok tapi terlupa pula ambil gambar yang lain.

Empat ulas bawang putih yang dah bertunas dalam pasu pokok limau purut


Isnin, 13 April 2015

Menyemai Di Hujung Minggu

Minggu lepas tak banyak perkembangan berlaku pada kebun dan laman saya selain merumput sedikit sebanyak, membersihkan laman dan cantas beberapa pokok yang dah kemas bentuknya. Alhamdulillah hujan turun dengan lebat hampir setiap hari yang mana turut meringankan sedikit tugasan menyiram pokok walaupun tengah hari panas berdenting sampai pening kepala. Kerja-kerja di pejabat pun banyak dengan mesyuarat yang bertali arus. Semenjak kerusi bos kosong sejak tahun lalu, sayalah yang jadi ‘bos’ untuk diri sendiri dan rakan sekerja. Walaupun agak terbeban dengan tanggungjawab yang lebih besar, tapi nampaknya saya lebih banyak belajar perkara baru yang sesungguhnya memang banyak membantu meringankan kerja. Bila tak ada bos ni, kepala lebih ligat berputar sebab pencapaian seksyen dah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelaksana dan pengurus. 

Petang-petang bila tengok pokok-pokok dalam pasu segar bugar, barulah terang sikit mata yang kelabu menghadap komputer sepanjang hari. Banyak sangat kerja sampai tak tau nak mula dari mana. Nak masukkan catatan baru dalam blog pun dah siap-siap draf tengah malam kemudian buat auto-publish. Kalau tak letak nanti basi pula cerita.

Hujung minggu ni agak lapang sedikit sebab hari Sabtu dah all-out kemas rumah. Nak buat bekal untuk Projek Lunchbox pula tak ada idea. Lagipun minggu ni mesyuarat kebanyakan hari waktu tengah hari dah kena keluar dari pejabat, jadi tak sempat nak makan (sebenarnya lebih kepada malas nak masak hehehe). Masa yang lapang tu digunakan untuk menyemai beberapa benih yang ada di rumah. Saya semai kacang botor, zinnia campuran, selasih Thai, bok choy  dan lobak putih. Benih kacang botor tu sebenarnya dah disemai hari Rabu tapi dimakan semut pula, jadi perlu disemai semula. Zinnia dan selasih Thai tu pula saya ambil benih dari rumah ayah manakala lobak putih dan bok choi  adalah baki dari tanaman dahulu. Saya mulakan dengan benih-benih yang mudah dijaga sebagai kick-start untuk bulan ini.

Semaian zinnia, lobak putih, kacang botor dan selasih Thai. Semaian bok choy tidak kelihatan.

Nampaknya benih zinnia yang saya dapat dari ayah memang bernas kerana hari kedua sudah tumbuh tunasnya. Pagi ini nampak tunasnya sudah hampir keluar dari kelongsong benih. Mungkin dalam minggu ini pastinya daun pertama sudah keluar. Selain disemai di dalam pasu kecil ini, saya juga ada semai zinnia terus di atas batas di belakang rumah. Harapnya benih-benihnya selamat sebab semalam hujan turun dengan lebat disertai guruh. Benih selasih Thai, bok choy, lobak putih dan kacang botor mungkin mengambil sedikit masa. Saya rasa benih kacang botor mengambil masa lebih sedikit dan mungkin bok choy serta lobak putih akan mula bertunas dalam sehari dua lagi. 

Semaian benih zinnia telah bertunas pada hari kedua selepas disemai.

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...