adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label selasih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label selasih. Papar semua catatan

Khamis, 10 Disember 2015

Rezeki Di Plot. No. 2

Kali terakhir bercerita tentang Plot No. 2 saya ini adalah pada awal Oktober lalu. Nampaknya sudah lebih dua bulan tiada cerita yang dikongsi oleh saya tentang plot ini. Plot ini sebagaimana biasa membekalkan pucuk selasih Thai buat ulaman bersama nasi. Tak putus memberikan hasil sampai sungguh merimbun jadinya. 


Pokok-pokok cili juga tak jemu berbuah walau tak sebanyak mana. Hasil yang diberi cukup untuk dibuat sambal atau kadang kala dibuat rencah masak lemak cili padi. Dalam lima pokok cili yang saya ada, cuma ada satu pokok yang paling tinggi masih belum berbuah sehingga ke hari ini. Bunganya mudah sungguh gugur setelah berputik. Adakah sebab pokok ini banyak semut? Kalau ada yang tahu sebabnya, harap dapatlah berkongsi pengalaman. Apa-apa pun, hasil dari pokok-pokok yang lain pun dah memadai.




Setelah berbulan lamanya labu saya asyik berbunga jantan, saya akhirnya mencuba petua dari situ tanamsendiri.com, Encik Iskandar. Katanya letakkan serbuk ikan bilis ke pangkal pokok untuk galakkan pokok mengeluarkan bunga betina. Saya cuba taburkan isi perut ikan bilis dengan beberapa ekor ikan bilis ke pangkal pokok. Alhamdulillah, lewat minggu itu saya perasan bunga betina telah pun muncul dengan labu sebesar ibu jari saya. Gembiranya saya. 



Kegembiraan saya tidak lama kerana setelah seminggu lebih ke luar daerah untuk urusan kerja dan kekangan masa, saya lihat bunga betina saya telah gugur. Melihatkan bunga yang gugur, saya rasa bunganya belum sempat kembang untuk didebungakan. Saya agak mungkin kurang nutrien yang diperlukan untuk bunga terus membesar.

Sabtu lepas, sekali lagi saya letakkan sisa ikan bilis yang dikisar dengan pisang di pangkal pokok labu. Alhamdulillah, tiga hari kemudian saya dapati dua bunga betina telah muncul. Mulai hujung minggu ini saya akan letakkan baja kopi setiap minggu untuk pastikan pokok cukup nutrien supaya bunga betina dapat kembang. 


Setelah kembang, saya juga kena pastikan ada bunga jantan yang kembang setiap hari untuk debungakan secara manual bunga betina. Ini untuk pastikan buah labu dapat dibentuk. Bunga jantan hanya kembang untuk sehari manakala bunga betina dapat bertahan beberapa hari sebelum gugur sepenuhnya jika tidak didebungakan. Kelopak bunga betina akan gugur dan buah membesar jika dapat didebungakan.

Doakanlah supaya rezeki saya berpanjangan dengan dua kuntum bunga betina yang dah muncul ini setelah sekian lama. InsyaAllah.


Sabtu, 31 Oktober 2015

Bunga-Bunga Tanaman Makanan di Kebun Sejemput

Syukur dalam minggu ini hujan turun pada setiap hari dan disebabkan itu saya tak menyiram pokok langsung minggu ini. Mungkin sebab itu pokok-pokok lain laman belakang dan laman depan banyak yang berbunga antaranya kacang botor, sawi dan selasih. Kacang botor perlu dibaja bila berbunga supaya menghasilkan buah. Kalau tidak bunganya akan gugur begitu sahaja.






Sawi ini pula memang sengaja tidak dituai sebab daunnya habis dimakan siput setelah tumbuh semula dari keratan batang tuaian pertama. Bunganya dibiarkan sahaja untuk diambil benihnya kelak. Bunga selasih pula dibiarkan untuk galakkan serangga datang supaya bunga cili dapat didebungakan. Namun sayang, masih belum ada rezeki cili berbuah banyak, bunga sahaja yang gugur. Mungkin selepas dibaja minggu ini akan mendatangkan sedikit hasil.

Bunga Sawi

Bunga Sawi

Bunga jantan labu manis pun ada tapi tak sempat pula nak ambil gambarnya. Mungkin sebab dah jemu tengok bunga jantan. Bilalah agaknya bunga betina nak keluar. Minggu saya akan cuba ikhtiar tabur sisa ikan bilis pula untuk galakkan keluarnya bunga betina. Mungkin dalam seminggu dua dapat tengok hasil sama ada keluar atau tidak bunga betina.

Bunga Selasih Thai

Jumaat, 2 Oktober 2015

Cerita Plot No. 2 Lagi

Tak ada apa yang menarik nak dikongsi minggu ini kerana masih belum ada tanaman baru yang disemai. Cuma hari ini nak kongsi perkembangan tanaman di plot no. 2 yang masih sihat tapi belum ada hasil yang dapat dituai. Bunga-bunga cili, labu dan timun bersilih ganti gugur tanpa ada tanda-tanda munculnya bunga betina dari pokok labu dan timun. Bunga cili pula asyik gugur. Rasa menyesal pula buang semua putik-putik bunga yang mahu tumbuh dari rumpun-rumpun selasih Thai. Patut dibiarkan sahaja selasih Thai berbunga buat penarik serangga untuk mendebungakan pokok-pokok cili saya. Dah dibuang baru tersedar.


Setakat ini lingkaran sulur labu makin memanjang dan hampir tiga suku plot dipusingnya. Mungkin saya patut cantas sedikit untuk galakkan tumbuhnya sulur baru. Di setiap balik daun labu ini ada kudup bunga jantan yang muncul. Entah bila mahu keluar bunga betinanya saya pun tak tahu.



Bila dibelek-belek, adalah sebiji cili padi yang menjadi. Pokok cili yang lima batang ini setiap waktu galak berbunga.


Pokok tomato saya pula hampir lompong batangnya dimakan sejenis serangga perosak dan akhirnya patah riuk semalam. Saya cantas bahagian atas pokok yang masih elok dan segera semai di atas plot yang sama. Tanah plot ini agak lembap jadi harapnya bertunaslah. Seminggu sebelum raya sebelum ini ada bunga yang keluar dan saya harap dapat menjadi buah. Pokoknya ketika itu sangat sihat. Tapi sayang, belum masih ada rezeki untuk berbuah. Mujur juga di pangkal pokok ini ada “sucker” yang tumbuh dan masih sihat setakat semalam.


Sambil membersihkan plot no. 2 ini, sempatlah ambil gambar kumbang oren yang sedang berehat-rehat di daun selasih Thai. Kalau tak ada selasih di tanam bersama, pasti habis daun pokok labu dan timun saya dikerjakan.


Selasa, 22 September 2015

Tuaian Minggu Lepas

Tak ada apa yang menarik nak dikongsi minggu ini sebab terlalu sibuk yang teramat dengan kerja di pejabat. Tambahan pula minggu ni hanya dua hari sahaja bekerja. Rabu dan Jumaat cuti sempena sambutan Aidiladha pada Khamisnya. Hari ini Cuma nak kongsi gambar hasil tuaian minggu lepas sahaja.


Saya tuai tongkol jagung saya yang kedua beberapa hari lalu. Tongkol sedikit kecil tapi isinya hampir penuh. Tanda pendebungaan hampir berjaya tapi isinya sedikit pucat berbanding tuaian yang pertama. Saya tak dapat nak ceritakan bagaimana rasanya sebab sejurus selepas dituai, saya gril jagung tersebut. Saya persembahkan kat suami saya (chewah...persembahkan kunun). Sekali di pi makan semua sekali. Kita ni tengokla terkebil-kebil. Tak apalah. Saya makan yang pertama dulu pun tak tinggal kat dia pun.


Sabtu lepas pula saya teringin sangat nak makan ulam cicah budu. Jadi saya pun tuailah pucuk ubi kayu, pucuk selasih Thai dan cili padi Thai untuk buat ramuan cicah budu dan ulamnya sekali. Alang-alang petik daun selasih Thai tu dapatlah merimbunkannya nanti. Saya juga gali sikit kunyit yang ada dan ambil sebatang dua serai buat masak lemak cili padi labu sama ikan talang kering. Masak labu dari pasar saja sebab yang sendiri tanam belum berbuah lagi. Ikan selar kuning digoreng garing berbumbukan kunyit hidup. Memang naik selera lah makan tengah hari tu selari dengan kenaikan badan.


Bila dah banyak tuaian dapat makan ni makin teruja lagi nak menanam macam-macam.

Isnin, 14 September 2015

Perkembangan Plot No. 2

Hujung minggu baru-baru ni kami dok diam-diam dalam rumah je. Jerebu makin lama makin teruk sampai dalam rumah pun Nampak kelabu asap je. Walaupun jerebu, encik suami masih kena keluar rumah ke padang untuk bersukan sempena sukan jabatan. Saya pula memang tak betah nak duduk dalam rumah seharian. Jadi petang Sabtu kelmarin saya kemaskan ruang laman depan rumah. Pokok pandan yang besar tu dah dicabut. Saya semai dua anak pokok untuk ditanam di belakang rumah. Nanti saya tunjuk besar mana rumpun pandan tu. Nampak kemas dan terang sikit laman depan tu.

Petang Ahad pula saya jenguk sikit laman belakang rumah. Nampaknya anak-anak pokok yang disemai minggu lepas sihat sejahtera. Pucuk-pucuk baru elok nampaknya termasuk pokok mulberi. Kalau ada pucuk baru tu maksudnya akar yang di dalam tanah tu pun dah muncul yang baru. Oleh itu, saya baja semua tanaman di laman belakang.


Inilah rupanya Plot No. 2 saya sekarang. Sisa rumput dah kering jadi jelas sikit Nampak anak-anak pokoknya. Pokok labu manis semakin panjang menjalar dan pokok timun juga sama tapi sedikit perlahan. Selasih Thai makin rimbun lepas saya buang pucuknya. Tomato dan cili juga sihat tanpa ada serangan kulat atau bena.

Anak-anak pokok di plot ini sekarang semua sedang berbunga kecuali selasih Thai. Selasih Thai hanya berbunga bila pokoknya kurang air jadi berbunga adalah salah satu caranya nak keluarkan benih. Ini adalah cara selasih dan herba-herba lain teruskan survival benihnya. Oleh kerana disiram setiap hari, maka masih belum ada bunga keluar. Mungkin bila dan tua sikit akan keluar bunganya.

Pokok tomato juga dah berbunga walaupun baru sekaki tingginya. Pokok yang ditanam dari “sucker” ini dah matang sebab itu berbunga cepat. Kalau ditanam dari benih, saya pasti belum masa untuk bunganya keluar. Pokok cili merah saya pun dah berbunga. Anak-anak cili padi ada sepokok dah berbunga manakala yang dua lagi sudah ada tanda nak berbunga.



Timun ini pula memang sejak dari mula tanam dah keluar bunganya tapi sehingga hari ini hanya bunga jantan yang keluar. Masih belum ada bunga betina yang keluar. Saya tak berhasrat nak letakkan pancang untuk timun saya ini sebab katanya kalau tak diletakkan pancang, hasil akan lebih sedikit. Pokok labu pun dah mula keluarkan tanda berbunga. Kalau diteliti, mungkin bunga jantan sahaja yang akan keluar dalam seminggu. Bunga betina macam belum nak muncul. Dulu saya pernah buang pokok labu saya sebab jemu menunggu bunga betina tak keluar-keluar. Kali ini saya nak tunggu lebih lama sedikit.



Selasa, 8 September 2015

Plot 2 - Tambahan Ahli Baru

Dua minggu lepas, semaian saya di Plot 2 masih kecil. Pada masa itu ada labu manis, selasih Thai dan cili. Ada dua pokok cili di mana satu daripadanya sedang berbunga. Pada minggu ini, pokok cili yang berbunga itu dahpun berbuah dan jelaslah pokoknya adalah cili padi Thai dek kerana cilinya yang panjang sedikit dari cili padi kampong. Warna hijaunya juga lebih gelap. Sehingga semalam saya masih belum tuai cilinya.


Pokok cili yang satu lagi masih terus membesar dan tingginya sekarang hamper satu kaki. Warna daunnya lebih gelap dari pokok cili padi Thai. Saya agak ini mungkin jenis pokok cili merah. Waktu saya pindahkan anak-anak pokok cili ini, saya tak pasti jenisnya kerana semua tumbuh sendiri dalam sebiji pasu yang saya buang macam-macam jenis cili yang dah reput dalam peti sejuk.


Kalau masih ingat lagi, saya ada bari tahu yang dalam plot ini ada dua pokok labu. Sebenarnya bila diamati, rupa-rupanya satu sahaja pokok labu dan ianya adalah yang panjang sekali. Daunnya besar, tepi daunnya tidak bergigi dan tumbesarannya lebih cepat. Pokok yang tumbuh di pangkal pokok cili merah saya rupanya timun. Saya yakin ianya timun kuning sebab saya memang kerap beli timun kuning yang dah tua. Daunnya lebih berkedut dan tidak rata di bahagian tepi. Ada bunga-bunga kecil warna kuning tumbuh bersama dan tumbesarannya agak lambat. 

Sebenarnya ada dua anak pokok timun tapi satu ditanam di plot jagung dan dah mati pun. Anak timun di Plot 2 ini pula elok pula tumbuh. Daunnya juga elok. Saya agak kesan ditanam bersama pokok selasih Thai yang buat kumbang tak lalu nak makan daunnya. Anak timun di plot jagung tu mati sebab daunnya habis gondol dimakan kumbang. Ini pelajaran berguna buat saya.


Petang ahad lalu, dengan kelapangan masa yang ada, saya pindahkan lagi tiga pokok anak cili yang masih belum pasti jenisnya, anak tomato dan juga anak mulberi. Kebetulan saya baru potong rumput, maka sisa rumput jadi sungkupan di pangkal anak-anak pokok. Biasanya lepas dipindahkan, saya akan siram sekali sehari sahaja untuk elakkan akar pokok tertekan. Jadi, untuk elakkan tanah cepat kering, saya letakkan sungkupan agak tebal. Lama kelamaan sungkupan akan menipis bila rumput kering. Sungkupan juga dapat elakkan rumpai tumbuh. Gambar di bawah ini kurang jelas pula sehingga tak nampak anak-anak pokok yang dah dipindahkan. Mungkin bila sungkupan dah kering nampak jelas sedikit dan saya akan kongsikan perkembangannya. 


Tomato ini saya semai bukan dari biji benih tapi dari potongan “sucker”. “Sucker” adalah bahagian yang tumbuh di celah daun dan perlu dibuang untuk pastikan makanan tumbuhan tertumpu kepada bunga untuk menjadi buah. Saya dah agak lama tak tanam tomato dari biji benih. Tanam tomato dari “sucker” sangat mudah. Potong dengan cermat dengan pisau yang tajam dan cucuk pada tanah. Jaga seperti biasa dengan siraman dan sesekali dibaja. Bila pokok sudah cukup kuat, boleh dipindahkan dengan kedalaman lebih seinci ke atas dari pangkal pokok untuk galakkan pertumbuhan akan baru. Pokok yang ditanam dengan cara ini lebih cepat berbuah. 


Anak pokok tomato saya ini sangat sihat dengan sistem akar yang sihat. Tengok saja jalinan akarnya yang berwarna putih. Sebenarnya anak pokok ini dah ada tanda nak berbunga. Sebab tu saya cepat-cepat pindahkan ke plot belakang untuk ruang lebih besar. Sepatutnya saya pindahkan lebih awal tapi tak ada masa.


Anak pokok mulberi pula saya tanam di belakang sedikit sebab di tanam di “spot” kekalnya. Asalnya saya semai untuk kawan. Tapi kawan saya mengandung dan tak larat nak berkebun buat masa sekarang. Jadi, bila dah melahirkan, saya akan semai yang lain. Semaian mulberi yang satu lagi dah selamat bagi kawan yang lain. Gambar yang ini juga kurang jelas anak pokoknya sebab dahannya ada sebatang sahaja dan nampaknya hampir “blend” dengan latar belakang dan sungkupan sisa rumput. Harap dapat membesar dengan baik mulberi saya ini.

Semalam lewat petang, anak-anak pokok yang dipindahkan kelmarin nampak sihat. Tidak ada tanda-tanda layu. Saya pindahkan waktu lewat petang supaya anak-anak pokok tak tertekan dengan cuaca panas. Kalau dipindahkan waktu pagi, nanti anak-anak pokok terpaksa hadapi cuaca panas terik waktu sedang menyesuaikan diri dengan plot baru.

Selasa, 25 Ogos 2015

Plot 2 - Perkembangan Semaian Labu, Selasih Thai dan Cili Padi

Setakat ini saya ada tiga plot tanaman. Plot pertama adalah di hadapan rumah yang ada pokok pandan, pokok kari, kantan, betik, kacang botor dan telah. Nanti bila plot ini dah kemas sedikit saya akan kongsi bagaimana rupanya sekarang. Plot bahagian depan ini saya sedang kemaskan supaya tidak semak sangat kerana jika terlalu semak nampak tidak kemas bahagian depan rumah selain menyukarkan pekerja utiliti yang datang ke rumah untuk semak meter elektrik dan meter bekalan air. Lagipun di kawasan yang kecil ini ada juga paip-paip utiliti masuk ke rumah jadi kerja mencangkul agak terbatas.

Di bahagian belakang rumah agak luas. Sangat luas sebenarnya. Ada jiran-jiran yang menanam mangga, pisang dan pelbagai tanaman. Setakat ini, saya cuma tanam serai dua rumpun (asalnya empat), tiga pokok ubi kayu, nanas serumpun, jagung yang saya tunjukkan semalam, kantan yang baru disemai, beberapa selasih Thai, cili padi, timun tua dan juga labu.


Hari ini saya nak tunjukkan plot yang ada labu, cili padi dan selasih Thai. Asalnya saya cuma tanam tiga pokok selasih Thai dan dua pokok anak benih cili padi yang dipindahkan dari pasu semaian. Tak sangka pula kompos yang medium semaian ada benih labu di dalamnya. Jadi, beberapa hari selepas cili padi dialihkan, muncullah anak benih labu yang sihat sangat rupanya. Batangnya kukuh dan daunnya pula cantik. Ada dua anak benih yang muncul tapi yang kedua sedikit kecil. Saya putuskan untuk biarkan saja benih itu tumbuh. Memang rezeki saya.


Plot ini masih ada ruang kosong dan saya bercadang untuk alihkan benih tomato yang sedang disemai dan akan semai terus zinnia. Plot ini akan jadi plot untuk tanaman yang menghasilkan buah. Selasih ditanam sebagai menghalau serangga perosak dan bunganya diharapkan dapat menarik serangga yang menggalakkan pendebungaan seperti mana zinnia. Cuma kalau dapat bunga tahi ayam atau marigold lagi bagus untuk elakkan serangga perosak.


Hujung minggu lepas saya telah letakkan baja dan nampaknya dalam sehari dua ini cuaca agak elok dengan matahari terang dan hujan turun lewat petang. Kelmarin juga saya ada meletakkan sungkupan daun serai dan tanah kelihatan dapat menampung kelembapan walaupun panas terik. Sebelum ini tanah memang sangat kering menjelang tengah hari kerana tidak ada sungkupan. Sekarang masih berkira-kira mencari ruang masa untuk mengalih semaian tomato dan menyemai zinnia ke plot ini.


Buat masa sekarang cili padi yang dua pokok ini telah berbunga dan nampaknya putik buah juga dah kelihatan walaupun saya rasa agak awal. Mungkin pada peringkat awal ia dipindahkan kurang air siraman dan pokok sudah tertekan. Saya akan pindahkan beberapa lagi pokok cili padi dalam semaian dalam tempoh terdekat. Harap-harap pokok yang dah berbuah panjang jangka hayatnya.

  

Isnin, 13 April 2015

Menyemai Di Hujung Minggu

Minggu lepas tak banyak perkembangan berlaku pada kebun dan laman saya selain merumput sedikit sebanyak, membersihkan laman dan cantas beberapa pokok yang dah kemas bentuknya. Alhamdulillah hujan turun dengan lebat hampir setiap hari yang mana turut meringankan sedikit tugasan menyiram pokok walaupun tengah hari panas berdenting sampai pening kepala. Kerja-kerja di pejabat pun banyak dengan mesyuarat yang bertali arus. Semenjak kerusi bos kosong sejak tahun lalu, sayalah yang jadi ‘bos’ untuk diri sendiri dan rakan sekerja. Walaupun agak terbeban dengan tanggungjawab yang lebih besar, tapi nampaknya saya lebih banyak belajar perkara baru yang sesungguhnya memang banyak membantu meringankan kerja. Bila tak ada bos ni, kepala lebih ligat berputar sebab pencapaian seksyen dah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelaksana dan pengurus. 

Petang-petang bila tengok pokok-pokok dalam pasu segar bugar, barulah terang sikit mata yang kelabu menghadap komputer sepanjang hari. Banyak sangat kerja sampai tak tau nak mula dari mana. Nak masukkan catatan baru dalam blog pun dah siap-siap draf tengah malam kemudian buat auto-publish. Kalau tak letak nanti basi pula cerita.

Hujung minggu ni agak lapang sedikit sebab hari Sabtu dah all-out kemas rumah. Nak buat bekal untuk Projek Lunchbox pula tak ada idea. Lagipun minggu ni mesyuarat kebanyakan hari waktu tengah hari dah kena keluar dari pejabat, jadi tak sempat nak makan (sebenarnya lebih kepada malas nak masak hehehe). Masa yang lapang tu digunakan untuk menyemai beberapa benih yang ada di rumah. Saya semai kacang botor, zinnia campuran, selasih Thai, bok choy  dan lobak putih. Benih kacang botor tu sebenarnya dah disemai hari Rabu tapi dimakan semut pula, jadi perlu disemai semula. Zinnia dan selasih Thai tu pula saya ambil benih dari rumah ayah manakala lobak putih dan bok choi  adalah baki dari tanaman dahulu. Saya mulakan dengan benih-benih yang mudah dijaga sebagai kick-start untuk bulan ini.

Semaian zinnia, lobak putih, kacang botor dan selasih Thai. Semaian bok choy tidak kelihatan.

Nampaknya benih zinnia yang saya dapat dari ayah memang bernas kerana hari kedua sudah tumbuh tunasnya. Pagi ini nampak tunasnya sudah hampir keluar dari kelongsong benih. Mungkin dalam minggu ini pastinya daun pertama sudah keluar. Selain disemai di dalam pasu kecil ini, saya juga ada semai zinnia terus di atas batas di belakang rumah. Harapnya benih-benihnya selamat sebab semalam hujan turun dengan lebat disertai guruh. Benih selasih Thai, bok choy, lobak putih dan kacang botor mungkin mengambil sedikit masa. Saya rasa benih kacang botor mengambil masa lebih sedikit dan mungkin bok choy serta lobak putih akan mula bertunas dalam sehari dua lagi. 

Semaian benih zinnia telah bertunas pada hari kedua selepas disemai.

Selasa, 15 April 2014

Selasih Menumpang Kasih

Sejak mula bekerja selepas cuti bersalin hampir setahun lalu, saya hanya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tanaman sahaja. Tiada tanaman baru yang saya tanam melainkan beberapa tanaman yang tumbuh secara tidak sengaja di dalam pasu kompos saya. Antara tanaman yang tumbuh secara tidak dirancang adalah selasih Thai ini.
Hujung minggu lalu, saya berkesempatan curi sedikit masa membersihkan pasu-pasu yang sudah mula ditumbuhi dengan rumpai. Tanpa disedari ada dua anak pokok selasih Thai tumbuh di celah-celah ros Jepun di pangkal pokok mulberi. Kelihatannya agak sihat. Saya memang ada merancang untuk bawa pulang benih selasih Thai dari kampung memandangkan kumpulan pokok sebelum ini sudah mati belaka. Siapa sangka masih terdapat benihnya yang masih mampu bertunas di dalam tanah tambahan pula cuaca agak kering dan panas beberapa bulan lalu. Cuma pada bulan ini hujan turun di Putrajaya hampir saban hari.


Di kesempatan petang itu juga, saya mengalihkan anak pokok selasih yang paling sihat ke pasu yang lain. Tanah yang disediakan untuk anak selasih ini kaya dengan kompos. Hujan juga turun pada lewat petang itu dan semalam. Pagi ini juga anak selasih kelihatan segar. Nampaknya anak pokok selasih baru saya ini sudah sedia untuk memulakan hidup barunya tanpa perlu menumpang kasih lagi. Semoga sihat segar selalu dan menghasilkan ulam-ulam segar untuk kami sekeluarga. Syukur Alhamdulillah. Tanda Allah kasih kepada hamba-Nya.


posted from Bloggeroid

Khamis, 27 Jun 2013

Selasih Thai - 4 Minggu


Selasih Thai 3 pokok ini sudah berumur 3 sejak dialihkan. Umur sejak disemai tidak dicatatkan pula. Terlupa. Minnggu lepas saya telah cantas pucuknya sebagai ramuan nasi ulam. Minggu kelihatan agak "bushy". Petanda yang baik. Tengahari ini mungkin dipetik lagi pucuknya yang banyak untuk dibuat ulam. Minggu depan saya merancang untuk menanamnya di batas. Comel pula pokok yang "bushy" ini di dalam pasu kecil atas pagar.
posted from Bloggeroid

Khamis, 13 Jun 2013

7 Hari Selepas - Selasih Thai



Tujuh hari lepas saya pindahkan selasih Thai saya ke dalam pasu individu. Setiap satunya punya 4 helai daun dan sekarang sudah punya 6 pasang daun. Kelihatannya pasangan ketujuh juga telah mula kelihatan. Saya kira akarnya sudah pasti sudah berkembang dengan segala nutrien yang ada dalam medium pasuan. Saya letakkan campuran kompos dan tanah dari nurseru dengan nisbah 1:3. Disiram setiap hari dan diletakkan di bawah teduhan yang menerima cahara matahari separa. Daunnya hijau tidak kekuningan tanda cukup penerimaan cahaya matahari. Saya belum berhasrat dan memindahkannya ke batas. Saya berhasrat untuk merimbunkannya sedikit.

Wajar atau tidak jika saya pangkas pucuknya untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk baru yang lebih banyak?
posted from Bloggeroid

Khamis, 6 Jun 2013

Selasih Pulang Ke Gagang?



Bukan ke sepatutnya sirih yang pulang ke gagang? Tapi selasih pula. Kenapa ya? Hari ni saya alihkan pokok selasih Thai saya ke pasu individu. Saya semai selasih ni beberapa minggu sebelum bersalin dan masih segar sampai sekarang walaupun ruang pertumbuhannya terhad. Saya dapat benihnya dari ayah saya. Rasanya pokok selasih ini dah tiga generasi tumbuh di rumah orang tua saya. Saya ambil benih dari kampung dan tanam di Putrajaya. Apa yang menariknya adalah ayah saya benih selasih ini dari taman herba Hospital Putrajaya. Benih ini diambil dari sana pada tahub 2009 iaitu ketika Ameer lahir. Jadi cicit selasih ni dah kembali ke Putrajaya hehehe.

Selasih Thai banyak khasiatnya. Melalui pembacaan saya, selasih membantu membuang angin di dalam perut dan merawat batuk. Ia juga dapat membantu menambah susu badan dan sebagi ubat kepada penyakit kulit tertentu. Selasih juga dipercayai boleh digunakan sebagai julap dan mengandungi vitamin B2 dan C, kalsium, zat besi dan serat. Saya suka daun selasih ini dimasak lemak bersama labu. Lepas ini bolehlah mencuba resepi lain pula.
posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...