adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label resepi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label resepi. Papar semua catatan

Isnin, 27 Julai 2015

Tuaian Semalam dan Sambal Ikan Talang Masin dengan Medley Ulam

Setelah menyambut Syawal hampir 10 hari, jemu pula tekak nak menelan lemang, rendang dan ketupat. Sabtu lalu adalah saya masak sedikit nasi himpit dan kuah kacang untuk makan kami sekeluarga kecil sebab teringin. Tapi tekak lagi teringin nak makan macam-macam jenis laksa yang belum jumpa lagi raya ni. Sepanjang beraya ni, kalau tak lemang dan rendang, mesti tuan rumah masak spageti. Hari-hari makan spageti tapi macam-macam resipi. Macam hidangan rasmi raya pula.

Sejak sebelum raya sampai hujung minggu lepas memang tak jenguk laman depan dan laman belakang rumah. Pagi-pagi Sabtu sempat luangkan masa gunting rumput-rumput yang dah meninggi. Barulah nampak terang sikit biji mata. Rumpai yang dalam pasu pun dah dicabut. Letak baja dalam semua pasu dan siram. Dah siap satu kerja kemaskan laman depan.

Ingatkan nak memotong rumput di laman belakang petang semalam sebab cuaca pun elok dan masa pun agak lapang. Tapi, ada saudara jiran pula datang ke rumahnya. Jadi dia buka pintu laman belakang rumahnya. Maklumlah, rumah di Putrajaya ni tak berpagar. Maka memang tak ada halangan kalau jiran sebelah melihat ke laman kita. Kita pun naik seganlah nak berkebun petang-petang disaksikan sudara-mara jiran. Jadi saya cuma cabut dia tiga rumpun rumpai di batas jagung dan pindahkan anak benih selasih Thai dan benih cili padi ke batas sebelah. Selepas menyiram batas jagung, anak betik dan beberapa rumpun pokok ubi kayu serta semaian yang baru dialih ke batas, saya masuk semula ke rumah walaupun hari masih siang.

Ikut arah jam : Selasih Thai, pucuk ubi kayu, daun kunyit, daun kesum, daun limau purut, serai dan kunyit hidup

Sebelum masuk ke rumah, sempatlah tuai sebatang serai, beberapa pucuk ubi kayu, pucuk kesum, pucuk selasih Thai, daun kunyit dan daun limau purut. Saya juga gali sedikit kunyit. Dah jemu makan rendang, malam semalam saya masak Sambal Tempoyak Ikan Talang Masin dengan Ulaman Tanam Sendiri. Kadang-kadang ikan talang masin tu saya gantikan dengan ikan selayang yang dipotong dua dan digoreng. Sambal ni di letak lagi pelbagai jenis ulam seperti daun kaduk dan mengkudu pasti lagi sedap.

Ini resipi saya untuk dua orang makan bagi yang berminat nak mencuba.

Bahan-bahan:

5 keping ikan masin talang – dibasuh
Seulas bawang merah
Seulas bawang putih
Seinci kunyit
Segenggam ikan bilis
4 biji cili padi – ikut suka pedas
Sebatang serai
Dua sudu besar tempoyak
Setengah cawan santan pekat
Setengah cawan air
Sedikit minyak masak
Pelbagai jenis ulam dihiris halus – saya guna daun pucuk ubi, daun kunyit, daun limau purut, daun selasih Thai dan daun kesum.


Cara penyediaan:
Tumbuk atau kisar kering bawang merah, bawang putih, cili padi, serai, kunyit dan ikan bilis. Sementara itu, goreng ikan talang masin dalam minyak yang lain sehingga agak garing. Panaskan minyak untuk menumis dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan tempoyak dan air. Kacau seketika dan masukkan daun pucuk ubi. Setelah pucuk ubi mulai lebam, masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Biarkan mereneh seketika dan masukkan daun kesum serta daun selasih. Masukkan ikan talang dan kacau seketika. Masukkan santan dan biarkan mereneh sehingga tahap kering yang digemari. Sekiranya perlu masukkan garam. Kadang-kadang tak perlu masukkan garam kerana ikan talang dan sedia masin. Sedia dihidangkan. 


Semalam ada lebihan lagi sambal ini sebab kami makan tak banyak mana pun. Saya simpan dalam peti sejuk dan boleh dipanaskan semula. Biasanya masakan penuh perasa macam sambal ini akan bertambah sedap bila dipanaskan.

Sabtu, 18 April 2015

Ayam Panggang Harissa


Selepas mencuba menggunakan pes harissa untuk memerap ketulan ikan dori, saya cuba pula menggunakan pes tersebut untuk masakan selain berasaskan ikan. Akhirnya saya terjumpa resipi iaitu Pan-Roasted Chicken with Harissa Chickpeas yang saya rasakan agak menarik dengan penggunaan kacang kuda atau juga dikenali sebagai “chickpeas” atau “garbanzo beans”. Tapi saya ubahsuai dengan menggunakan kacang panggang dalam sos tomato yang ditinkan. Rasanya sedap sekali dan baunya juga harum kerana resipi ini mempunyai pelbagai rempah. Ada cili, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam dan daun ketumbar. Saya masak hidangan ini untuk dimakan bersama roti puri untuk hidangan minum petang.

After trying using harissa paste to marinate dory fish chunks, I wanted to use the paste for non fish -based dishes. Finally, I came across to a recipe that is Pan - Roasted Chicken with Chickpeas Harissa which I feel quite interesting with the usage of chickpeas, also known as garbanzo beans. But I modified the recipe by using canned baked beans in tomato sauce. It tastes delicious and has fragrant aroma since this recipe has a variety of spices. There are chillies, coriander seeds, fennel seeds, cumin, black pepper and cilantro. I cooked this dish to be eaten with puree bread for teatime.


Bahan-bahan / Ingredients:
¼ ekor ayam, dipotong sederhana tidak dibuat kulit (kulit tidak dibuang untuk mengelakkan daging ayam menjadi kering) / ¼  chicken, cut into medium size chunks (skin intact to keep the flesh moist)
Seulas bawang bawang merah, dicincang / One shallot, minced
2 ulas bawang putih, dicincang / 2 garlic cloves, minced
Minyak untuk menumis / Some cooking oil
½ cawan air atau stok ayam / ½ cup water or chicken stock
1 tin kecil kacang panggang dalam sos tomato / 1 small canned baked beans in tomato sauce
Sesudu besar daun ketumbar, dihiris / 1 tbs coriander leaves, minced
Sesudu besar lada hitam, ditumbuk kasar / 1tbs crushed black peppercorn
Garam / Salt
Potongan lemon (saya tak ada stok lemon, jika ada lebih sedap) / Lemon wedges (I don't have it, it taste better serve with lemon)

Cara penyediaan / Preparation method :
Perasakan ayam dengan lada hitam dan garam. Panaskan minyak dan perangkan ayam sehingga bahagian luar ayam sedikit garing . Ketepikan ayam. Dalam minyak yang sama, tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau dan lembut. Masukkan pes harissa dan kacang panggang, biarkan mereneh seketika. Masukkan stok ayam atau air dan ayam yang diperangkan serta daun ketumbar. Biarkan mereneh seketika dan tutup api. Masukkan ke dalam bekas untuk memanggang dan panggang pada suhu 180˚C selama lebih kurang 20 hingga 25 minit. Hidangkan dengan taburan daun ketumbar dan potongan lemon.

Season chicken with black black pepper and salt. Heat the oil and brown outer portion of chicken until the chicken skin in slightly crisp. Put aside the browned chicken. Using the same oil, fry the onion and garlic until fragrant and soft. Add on the harissa paste and baked beans, let simmer. Add in the chicken stock or water and browned chicken as well as cilantro. Let simmer for awhile and turn off the fire. Roast the chicken at 180˚C for about 20 to 25 minutes. Serve with a sprinkling of coriander leaves and lemon wedges.


Sedap rasanya, semerbak baunya. Dalam masakan ini saya gunakan daun ketumbar manakala untuk hiasan saya gunakan daun sup. Kedua-dua herba ini saya dapat dari kebun ayah saya cuma daun ketumbar dan tinggal setangkai sahaja. Sebab itulah daun sup jadi hiasan. Daun sup yang jadi hiasan masih rangup dan terasa kesegarannya.

Savory in taste , with fragrant smell. In this recipe, I use cilantro as one of the ingredients and parsley for garnishing . Both of these herbs I got from my father's garden but only a sprig of cilantro only left . That is why I have to use parsley as garnishing . Those parleys are so fresh, I can crunch the crispiness .

Ahad, 29 Mac 2015

Resepi Pes Harrisa

Harissa adalah pes berasaskan cili yang berasal dari Tunisi yang mana bahan-bahan untuk menyediakannya adalah termasuk bawang putih, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih. Minyak zaitun turut digunakan sebagai bahan pengawet. Pes ini banyak digunakan dalam masakan Tunisia, Libya dan Algeri serta Morocco (Maghribi).

Ada banyak versi resepi bagi harissa yang mana turut menggunakan pelbagai jenis cuka dan juga jus lemon. Kebanyakan resepi yang saya jumpa menggunakan cuka alkohol. Harissa yang dijual di pasar raya seperti yang dijual di Cold Storage Alamanda turut menggunakan wain. Saya mula mencari resepi yang mudah dan menggantikan cuka alkohol dengan cuka epal. Saya menggunakan pes cili kering yang memang saya dah kisar cili kering dengan banyak sebelum ini. Resepi yang saya sertakan ini menghasilkan pes harissa yang sangat sedap. Rasanya perlu buat lebih banyak lain kali.



Bahan-bahan:
3 sudu besar biji ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
6 ulas bawang putih
2 sudu besar garam
60 gm cili kering, direndam dan dikisar menjadi pes ATAU 2 sudu besar pes cili boh
1 sudu besar cuka epal
2 sudu besar minyak zaitun

Cara Penyediaan:
Sangai (goreng tanpa minyak) biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Ketepikan setelah naik bau. Hati-hati menggoreng jangan sampai rempah hangit. Tumbuk bawang putih beserta garam. Masukkan rempah yang telah disangai dan tumbuk sehingga lumat. Gabungkan pes bawang putih dan rempah dengan pes cili, cuka epal dan minyak zaitun sehingga sebati. Simpan dalam bekas dan lapiskan bahagian atas dengan minyak zaitun. Simpan dalam peti ais.



Harissa juga dikenali sebagai penambah rasa rasmi negara Tunisia dan banyak digunakan dalam masakan berasaskan ikan.dan daging. Ia juga digunakan dalam sup atau sapuan kepada roti Arab. Saya ada beberapa resepi dalam perancangan yang menggunakan pes harissa ini. Pes ini dikatakan boleh disimpan dalam tempoh yang lama. Tapi rasanya pes ini tak boleh disimpan lama sebab mesti cepat habis digunakan untuk memasak sebab sedap sangat.


posted from Bloggeroid

Rabu, 25 Mac 2015

Project Lunchbox #1 - Salmon & Spaghetti Aglio e Olio

Dalam sebulan dua ni saya biasanya akan bawa sekurang-kurang bekalan makanan untuk sarapan. Kadangkala ada juga bawa bekalan makanan untuk makan tengah hari sekali. Biasanya saya akan bawa roti tinggi serat disapu Nutella atau mentega kacang dengan jem. Ada juga waktunya saya bawa overnight oats bersama buah-buahan segar atau kering dengan campuran lain. Dulu biasanya gagah pergi beratur di kafe pejabat untuk membeli nasi lemak. Memang sedari awal sudah maklum nasi lemak memang bukan pilihan yang bagus untuk sarapan pagi kerana agak tinggi kalori. Tambah pula kalau nasi lemak itu datang bersama telur goreng dan sambal berlinang minyak tumisan. Sekali dua dalam sebulan bolehlah.

Sejak akhir-akhir ini makin kerap saya bawa juga bekalan makan tengah hari ke pejabat. Untuk makan tengah hari pilihan yang sihat memang ada macam ikan rebus atau ikan bakar. Sup daging dan sup ayam juga ada. Sayur-sayuran dan ulaman pun ada. Tapi kalau dan turun 15 minit selepas pukul satu memang dah tak berapa nak ada lauk pauk untuk sayur campur. Saya memang tak berminat nak menunggu tempahan nasi goreng pula. Biasanya bekalan makan tengah hari yang saya bawa kalau tak makan di luar pejabat adalah lauk makan malam sebelumnya.

Kadang-kadang saya panggang ayam yang diperap pagi-pagi sebelum siap nak ke pejabat. Saya biasanya bangun sebelum pukul 6 pagi. Tapi sejak balik dari bercuti bulan lepas, belum boleh kembali ke waktu bangun seperti biasa tapi masih sebelum pukul 6.30 pagi. Bangun pagi awal-awal sebegini memberi ruang untuk saya mengemas pinggan mangkuk di dapur, mengemas ruang tamu yang tunggang langgang dengan permainan anak-anak, menyapu lantai serba sedikit, bersenaman ringan  kalau sempat dan sediakan bekalan makanan. Kalau bangun awal pagi pun bagus sebab sampai di pejabat semangat dah warm-up sedikit. Tak adalah lemau je pagi-pagi.

Semalam ada kepingan salmon di jual di pasar. Tawarannya agak menarik dengan harga RM14 untuk tiga ketul. Saya tak pernah membeli salmon. Jadi inilah kali pertama saya beli. Minggu lalu saya ada beli spageti untuk stok makan tengah hari minggu ini. Hari Isnin tiada bekalan makanan tengah hari sebab dah berjanji dengan kawan-kawan untuk makan tengah hari bersama. Hari Selasa pula saya bawa ayam panggang dengan ubi keledek bakar. Hari ini saya bawa pula salmon dengan spageti aglio olio. 

Resipi spageti saya adaptasi dari Azie’s Kitchen.

Bahan-bahan :
100 gm spageti (untuk seorang makan)
Sebiji cili kering, dibuang biji, dibasuh dan dipotong
¼ cawan stok daging/ayam
Dua ulas bawang putih, dihiris
Sekeping salmon
1 sudu besar tepung gorengan ayam
Lada sulah dan garam
Minyak zaitun
Sedikit oregano kering - boleh juga tidak letak
Hirisan daun ketumbar untuk menghias


Cara penyediaan.
Spageti direbus dengan air bergaram sehingga masak dan tos. Pada masa yang sama, salut salmon dengan tepung dan goreng sehingga masak tetapi tidak terlalu masak. Ketepikan setelah sedia. Dalam minyak yang sama, tumis bawang putih dan cili kering sehingga kekuningan  dan masukkan stok. Kacau seketika dan masukkan spageti yang telah ditos. Kacau seketika dan masukkan oregano, lada sulah dan garam secukup rasa. Kacau seketika sehingga agak kering dan angkat. Hidangkan dengan salmon dan hirisan daun ketumbar.


Makan tengah hari dah sedia. Pagi ini sarapan hanyalah oat dengan selasih dan hirisan buah pala kering. Tiada buah-buahan segar kali ini kerana stok buah dan habis dan terlupa pula nak beli buah di pasar semalam. Puas hati dan kenyang hari ni.


Sabtu, 14 Mac 2015

Resepi Cakoi Mudah

Kadangkala hujung minggu malas nak masak sarapan beria-ia. Jemu pun ada makan nasi atau mee untuk sarapan. Kalau tak buat cucur atau penkek, saya akan buat cakoi sejak akhir-akhir ni. Dulu jadi tukang makan je setiap kali mak masak cakoi untuk sarapan. Tapi dek kerana Ameer suka yang amat sangat dengan maka menuntutlah ilmu resepi cakoi dari mak. Mudah sangat rupanya. Cuma masa kena ada lebih sikit sebab adunan perlu diperap sebelum disediakan untuk digoreng.



Bahan-bahan:
500 gram tepung gandum (lebih kurang 4 cawan)
1/2 peket yis kering (saya guna mauripan)
3 sudu besar gula
3 sudu besar susu pekat
3 sudu besar minyak masak (boleh juga guna minyak zaitun, asalkan bukan gamat hehehe)
1 sudu teh garam
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng



Cara penyediaan:
Adunkan semua bahan hingga sebati. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sambil memguli sehingga adunan melekat-lekat tetapi tidak lembik. Perap sekurang-kurangnya sejam. Setelah diperap, sediakan tempat penyediaan dengan sedikit tepung untuk menguli. Canai lebih kurang ketebalan 1cm dan potong memangjang kira-kira 6cm.



Panaskan minyak yang banyak pada suhu sederhana panas. Pastikan minyak cukup panas untuk menggoreng. Tarik kedua hujung adunan yang telah dipotong dan masukkan ke dalam minyak yang cukup panas. Balik-balikkan dan angkat setelah warna keemasan. Ulang proses sehingga selesai dan hidangkan.



Biasanya saya makan cakoi bercicahkan sambal bilis. Kerap kali juga cakoi dibelah ditengah dan disapu mentega serta madu. Ada orang makan cakoi denga sri kaya. Kali ini saya makan dengan sambal sardin. Anak-anak saya suka makan begitu saja. Kalau diletakkan inti kacang pun enak juga.


posted from Bloggeroid

Jumaat, 13 Mac 2015

Tuaian Tomato & Mee Telur

Semalam sampai saja di rumah terus belek tomato. Agaknya dah ranum sangat sebab buahnya terus luruh bila ditolak. Jadi semalam dapatlah tiga biji tomato merah ranum sebesar ibu jari. Kecil sangat. Oleh sebab suami saya keluar bertugas luar daerah selama tiga hari, makanya sangatlah malas nak masak nasi siap berlauk semua. Anak-anak memang tak berapa nak makan nasi berlauk melainkan kalau masak mee atau nasi goreng. Kelmarin dah makan nasi Arab, takkan hari-hari nak bungkus. Botaklah kepala ibu.


Jadi semalam gigih buat mee telur dari mula. Mudah saja. Cuma jenuh nak canai senipis boleh tepungnya dan potong halus-halus. Kalau ada mesin buat mee senang sikit kerjanya. Resepi mee telur adalah seperti berikut untuk dimakan 4 orang.

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
2 biji telur
1 sudu teh garam
Sedikit air

Cara Penyediaan :
Adun tepung, telur dan garam sehingga sebati. Jika perlu masukkan air, masukkan sesudu besar setiap kali. Uli selama lebih kurang 10 minit sehingga adunan kenyal. Tinggalkan seketika selama 10 minit dalam bekas yang bertutup dengan tuala lembap untuk kekalkan kelembapan adunan. Kemudian, bahagikan adunan kepada empat bahagian dan canai setiap bahagian senipis yang boleh dan gulung. Potong mengikut ketebalan yang disukai. Jangan terlalu tebal kerana mee akan kembang apabila direbus. Pastikan potongan mee tidak melekat dan salut dengan taburan tepung. Jika mahu simpan untuk kegunaan sehari dua nanti, pastikan mee kering sebelum simpan di dalam bekas kering di dalam tempat sejuk. Apabila hendak guna, rebus dengan air yang telah mendidih. Air rebusan hendaklah diletakkan garam. Kemasinannya cukup masin macam air laut bak kata orang. Mee sudah masak setelah timbul.




Mee telur ini samalah seperti pasta segar. Jadi boleh dimasak dengan pelbagai cara. Saya pernah rebus dengan stok ayam, campur bebola ayam dan pecahkan telur macam mee segera perisa ayam. Pernah juga mee ini dicelur dan dimakan dengan gorengan sayur campur berkuah. Tapi kali ini saya rebus dan terus rendam dalam air ais. Mee ditos dan digoreng macam mee goreng. Bertambah anak-anak makan. Ameer kata sedap macam mee pasar malam. Hahaha. 



posted from Bloggeroid

Khamis, 5 Mac 2015

Overnight Oat in Nutella Jar with Candied Chestnut, Chia Seeds and Orange Segment

Eh eh, apa ni? Inilah buah berangan sira yang dalam Bahasa Inggerisnya adalah Candied Chestnut. Dalam Bahasa Perancisnya pula di sebut Marrons glacé atau dalam Bahasa Tuki disebut kestane șekeri. Manisan yang berasal daripada selatan Perancis dan utara Italy mengandungi buah berangan yang disira dalam gula. Ia turut menjadi bahan masakan beberapa manisan antaranya Mont Blanc selain boleh dimakan begitu sahaja. Di negara Turki, manisan ini merupakan produk keluaran utama di Bursa.

Yang saya tunjukkan ini adalah manisan berangan sira yang saya telah beli di Yeni Terminal,Bursa dalam perjalan kembali ke Istanbul daripada Bursa. Jika tidak berpeluang ke Bursa, manisan ini juga banyak dijual di Spice Bazaar di Istanbul. Manisan ini sedap tapi kalau terlalu banyak rasa sakit di tekak pula kerana terlalu manis. Ibu mertua saya cakap rasanya macam biji cempedak goreng yang dimakan di cicah manisan gula kabung. Saya kira dia agak gemarkan manisan ini kerana kelihatan beberapa kali di asyik menghadap manisan ini sehinggakan roti canai pun di cicah berangan sira


Hari ni saya bawa overnight oats sekali lagi untuk bekalan sarapan. Masih lagi di dalam bekas Nutella, cuma kali ini bekasnya sedikit kecil jadi hanya susu dimasukkan di dalam bekas bersama potongan buah oren untuk kerukkan baki Nutella yang melekat di dinding bekas. Oat dan susu serta biji selasih dimasukkan dalam bekas yang lain. Sampai di pejabat, oat dan selasih sudah kembang dan Nutella dan banyak mencair bersama susu. Saya masukkan sedikit berangan sira sebagai pemanis. 


Saya letak cuma empat ketul tapi masih tak tertahan menahan manis. Mungkin patut letak satu atau dua sahaja. Lagipun bagi Nutella agak banyak jadi mungkin menyumbang kepada kemanisan oat pagi ini. 


Kenyang lagi sarapan oat pagi ni.
posted from Bloggeroid

Selasa, 3 Mac 2015

Overnight Oats In Nutella Jar With Orange and Mini Salted Pretzels

Di rumah saya ada lebih kurang tiga botol Nutella kosong. Bukan sengaja malas nak buang, tapi saya ada agenda untuk bekas-bekas kosong tersebut. Pagi ni baru dapat laksanakan agenda sebab sebelum ni bahan tak cukup.

Pagi-pagi sebelum keluar rumah, saya masukkan oat segera kira-kira setengah daripada bekas. Kemudian saya masukkan susu pula sehingga ¾ bekas. Masukkan pula potongan buah oren, buah-buah segar lain juga boleh. Buah-buahan kering pun menarik juga. 

Sampai di pejabat, saya masukkan mini salted pretzel dan tabur dengan biji bunga matahari panggang. Masa ni oat dah menyerap sebahagian susu, susu pula sudah ada perasa oren dan coklat Nutella. Rasanya lebih kuat kalau rendaman susu dan oat dibuat semalaman (overnight oat). Coklat Nutella yang melekat di dinding bekas dan mencair dan memperasakan susu. Selesai sudah sarapan pagi saya. Jadi hari ini dapatlah memulakan kerja dengan perut yang kenyang. Yeay!!




posted from Bloggeroid

Ahad, 1 Mac 2015

Nutella Star Braided Bread

Beberapa hari lepas saya ada ternampak satu video membuat roti dengan lapisan Nutella yang sangat menarik. Pagi semalam sempat saya menguli roti dengan resepi sendiri menggunakan teknik yang sama. Bukan saja menarik dipandang, malah sedap pula dimakan. Siapa yang tak suka Nutella rugi besarlah.



Inilah roti dengan resepi saya sendiri.

Bahan-bahan:
Nutella
3 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar mentega
Satu paket mauripan
3 sudu besar gula
3 sudu besar susu pekat
1 sudu teh garam
2 biji kuning telur (simpan telur putih)
1 cawan air suam (mungkin lebih atau kurang digunakan untuk menguli)

Cara-cara:
Adunkan semua bahan kecuali air hingga sebati. Setelah sebati, masukkan air sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga adunan lembut tidak lembik. Tutup bekas aduna dan letak tempat besuhu panas. Biarkan dalam lebih kurang 40 minit atau sehingga adunan berganda. Sementara itu, panaskan ketuhar pada suhu 150°C. Bahagikan adunan kepada 4 bahagian seperti mana video. Canai setiap lapisan kira-kira dalam ketebalan 0.5 cm dan terap dengan pinggan bulat. Letakkan di atas kertas minyak. Lapiskan setiap lapisan dengan Nutella lebih kurang 2 sudu besar. Siapkan lapisan dan bentukan seperti ditunjukkan video. Setelah siap, sapu dengan putih telur. Bakar roti pada suhu 150°C untuk tempoh 15 minit. Kemudian sambung bakar dalam tempoh 20 hingga 30 minit pada suhu 180°C atau sehingga bahagian atas roti sedikit perang.





Lepas dibakar, inilah rupanya.



Inilah rupa didalam roti, sedap. Cubalah.


posted from Bloggeroid

Sabtu, 28 Februari 2015

Masala Vadai



Bosanlah hari-hari cerita pasal perjalanan di Mesir. Itupun ceritanya masih berbaki lagi. Setelah seminggu kembali semula di tanah air, pagi ini baru boleh memasak untuk keluarga bersungguh sedikit. Sudah lama berhajat nak cuba-cuba masak Masala Vadai, semalam baru ada kesungguhan. Kebetulan stok kacang dhal memang ada sedikit di pantri dapur.

Masala Vadai adalah sejenis makanan berasaskan kacang dhal yang digoreng yang biasa bagi penduduk Sri Lanka dan Selatan India. Makanan ini mudah didapati Malaysia di semua restoran mamak. Setelah mencuba buat pertama kali, memang senang nak menyediakan makanan ini. Lepas ni bolehlah cuba lagi.



Bahan-bahan:
1 1/2 cawan kacang dhal, direndam semalaman
2 ulas bawang kecil, didadu
2 ulas bawang putih, dicincang halus
1/2 sudu besar cili kisar
Setangkai daun kari, dihiris kasar
Garam dan lada sulah secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
Toskan kacang dhal yang di rendam. Kemudian, kisar kacang dengan pengisar kering sehingga hampir 3/4 dari kacang hancur menghasilkan pes. Pastikan masih ada kacang yang masih berbiji-biji. Adunkan semula bahan sehingga sebati dan bentukkan seperti patty berdiameter kira-kira 1 inci. Dengan satu adunan ini, 8 ketul masala vadai dapat dihasilkan. Goreng dengan api sederhana. Goreng 2 - 3 ketul setiap kali bagi memastikan suhu minyak tidak turun mendadak yang boleh menyebabkan vadai hancur. Angkat dan toskan apabila vadai sudah kuning keemasan. Hidangkan.
posted from Bloggeroid

Selasa, 28 Oktober 2014

Bersarapan Dengan Bijirin Oat

Sejak akhir-akhir ni dah jemu makan sarapan nasi lemak dari kafeteria. Pilihan pun tak banyak. Kalau tak makan sarapan nanti sakit perut pula. Lebih baik tak makan tengah hari daripada tak sarapan. Penyelesaian termudah adalah makan oat untuk sarapan. Di rumah memang tersedia bijirin oat segera sebab saya suka tambahkan oat dalam minum MILO saya untuk lebih kenyang. Setakat hari ini sudah tiga kali saya bersarapan dengan oat dalam tempoh dua minggu. Maksudnya tidaklah setiap hari. Jemu rasa tekak makan oat setiap hari. Yang bagusnya perut terasa kenyang lebih lama dan rasa lebih selesa berbanding jika bersarapan dengan nasi lemak mewah dengan sambal. Tambahan pula, perut saya kerap berasa senak sejak kebelakangan ini. Makan oat untuk sarapan sedikit melegakan mungkin kerana kandungan serat yang tinggi.

Oat, susu, pisang, Nutella, kuaci dan madu asli.

Makan oat begitu sahaja memang agak membosankan. Hari pertama saya cuba gabungkan oat, susu, hirisan pisang, sedikit madu asli, sesudu Nutella dan sedikit taburan biji bunga matahari panggang iaitu kuaci. Semua bahan ini memang ada di dapur. Hari itu saya bersarapan tanpa kos. Kenyang sehingga tengah hari. Waktu tengah hari saya makan kuew tiow sup sahaja untuk supaya tidak terlalu lapar lewat petang nanti.

Oat, susu, mulberi, kurma dan kuaci.
Kali kedua bersarapan dengan oat saya campurkan campuran oat dan susu dengan mulberi yang dipetik dari laman saya. Campurkan sedikit cencangan kurma dan sedikit kuaci. Jimat lagi dengan sarapan tanpa kos. Hari ini saya bersarapan dengan oat lagi. Kali ini saya campurkan mangga masak dan kuaci sahaja. 

Oat, susu, mangga dan kuaci.
Memang mudah bersarapan dengan oat. Sebelum keluar rumah, isikan secawan penuh oat ke dalam bekas. Masukkan secawan lebih sedikit susu dan masukkan potongan kecil buah-buah segar atau frozen. Untuk tambahkan crunch pada oat, tambahkan kekacang panggang. Sampai di pejabat, terus makan. Dalam perjalanan ke pejabat, oat sudah kembang dengan susu. Jika suka, tambahkan manisan asli seperti madu. Susu yang saya gunakan adalah susu full cream.

Hasil godek-godek di Internet, di sini saya nak berkongsi cara untuk menjadikan bijirin oat lebih enak:

  1. Tambahkan buah-buahan segar atau frozen fruit. Saya telah cuba mulberi, pisang dan mangga. Buah-buahan menambahkan variasi kepada rasa dengan rasa masam dan manis yang menyegarkan.
  2. Tambahkan buah-buahan kering seperti kismis dan kurma. Setakat ini saya sudah cuba kurma dan sedang berkira-kira untuk masukkan halwa kundur atau halwa halia. Buah tin kering atau aprikot kering juga pasti sedap.
  3. Tambahkan kekacang untuk menambahkan crunch kepada bijirin. Memandangkan kuaci sahaja yang di dapur, saya belum berkira-kira nak menggunakan kekacang lain namun kacang badam mungkin pilihan selepas ini. Pasti enak setelah dipanggang rangup.
  4. Maniskan dengan pemanis asli seperti sirap mapel atau madu. Madu sebagai pemanis semula jadi sendiri mempunyai pelbagai variasi rasa dan punya khasiat yang pelbagai. Saya sudah cuba masukkan madu asli ke dalam bijirin oat saya. Mungkin selepas ini saya mahu cuba madu variasi lain pula. Kalau cuba nisan kabung juga pasti menarik.
  5. Pelbagaikan rasa dengan rempah ratus. Ada banyak rempah ratus yang sesuai untuk bijirin sarapan yang manis. Saya sedang berkira-kira untuk sira pisang dengan sedikit bunga cengkih atau sira labu dengan sedikit rempah kulit kayu manis ataupun inti epal pai digandingkan bijirin oat. Menaip sahaja dah buat saya terliur.
  6. Seterusnya cuba masukkan jem buah-buahan atau sapuan roti untuk tambahan variasi rasa. Nuttela yang saya masukkan ke dalam bijirin oat saya memang menaikkan selera berbanding bijirin yang hambar. Mungkin selepas ini boleh cuba pelbagai jem lain seperti jem mulberi atau jem roselle. Rasa masam manis boleh mengejutkan deria rasa.
  7. Tambahan yang seterusnya mungkin agak ekstrem. Cuba masukkan ais krim, serpihan bar coklat, marshmallow atau cip coklat. Yang ini mungkin saya kurang teruja nak cuba sebab saya kurang sukakan makanan manis. Tapi sesekali apa salahnya.


Sabtu, 25 Oktober 2014

Faux Megi Ayam - Mee Segera Gantian



Ini cerita lama. Tapi nak dimasukkan juga sebagai catatan dalam blog yang tak semenggah ni. Boleh buat kenangan.

Beberapa minggu lalu Ameer teringin nak makan Maggi Ayam. Ibu memang tak ajar anak-anak makan mee segera. Kadangkala ibu terpaksa makan sorok-sorok di dapur. Tapi bila dah ternampak dek anak, terpaksalah bagi rasa sesudu. Ibu pun kononnya kreatif dah cipta satu resepi baru mirip Maggi Ayam tapi rasanya lebih sedap kot hehehe. Memang berbaloi mencuba. Ahmad dan Ameer gemar sungguh sampai bertambah-tambah siap hirup kuahnya. Ini saya kongsikan resepi bagi sesiapa yang ingin cuba.





Bahan-bahan:

Isi ayam dengan tulang atau bebola ayam
Bawang merah - kisar
Bawang putih - kisar
Halia - kisar
Serbuk lada sulah
Serbuk ketumbar
Biji lada hitam - sesudu kecil
Seinci hirisan halia
Air
Minyak untuk menumis
Air
Telur - jika suka
Pasta angel hair
Garam

Cara-cara:
Rebus ayam bersama-sama biji lada hitam dan hirisan halia. Dalam masa yang sama, tumis bahan kisar bersama-sama serbuk lada sulah dan ketumbar. Setelah naik bau bahan tumisan, masukkan ke dalam air rebusan ayam. Teruskan merebus dengan api sederhana dan masukkan pasta. Tambahkan air jika suka lebih kuah. Perasakan dengan garam. Jika suka, pecahkan sebiji telur. Hidangkan setelah telur masak.

Saya juga suka masukkan cili padi hijau jika bukan untuk anak-anak. Boleh juga masukkan sayuran bagi yang gemarkan sayuran. Berbaloi memasak kerana lebih sihat dari mee segera.
posted from Bloggeroid

Jumaat, 19 September 2014

Ayam Masak Hijau


Kelmarin dah buntu nak masak gaya apa ayam yang ada dalam peti sejuk untuk makan malam. Waktu makan tengah hari digunakan untuk godek-godek resepi yang menarik. Anak tekak terus tertawan dengan resepi Ayam Masak Hijau daripada blog Masam Manis. Menarik juga untuk dicuba. Kebetulan di rumah ada cili padi Thai hijau dan cili hijau lebihan ulam suami makan bersama Nasi Kabsa kelmarin. Saya ubahsuai sedikit resepinya agar lebih mudah. Hidup menjadi lebih mudah dengan sebahagian bahan tumisan telah sedia dikisar banyak-banyak hujung minggu lalu. Ini dia resepi Ayam Masak Hijau yang mudah versi saya untuk tiga (3) orang makan.

Bahan-bahan:
Ayam dipotong enam (6) ketul sederhana kecil.
Sedikit serbuk kunyit dan garam untuk menggoreng ayam
Setengah sudu rempah Chinese Five Spice – atau gantikan dengan sebatang kulit kayu manis, sekuntum bunga lawang dan setengah sudu teh bunga cengkih
Sehelai daun pandan diikat
Garam dan lada sulah
Setengah cawan stok ayam (saya guna lebihan sup Sar Hor Fun) – atau gantikan dengan setengah kiub ayam
Minyak untuk menggoreng dan menumis

Bahan kisar:
Sebatang serai
Setengah inci halia
Dua (2) ulas bawang putih
Sebiji bawang besar
Empat (4) biji cili hijau
Empat (4) ulas cili padi – boleh letak lebih untuk tambah kepedasan

Cara memasak:
Goreng ayam yang telah dilumurkan dengan garam dan serbuk kunyit sehingga separuh masak atau jika suka sehingga sedikit garing. Ketepikan.
Keluarkan minyak gorengan sehingga cukup sekadar untuk menumis bahan kisar. Tumis bahan kisar bersama rempah dan daun pandan sehingga garing. 
Masukkan stok ayam dan ayam yang telah digoreng. Masak sehingga ayam benar-benar masak dan sambal hampir kering. Masukkan garam dan lada sulah secukup rasa dan hidangkan.

Masakkan ini berbau wangi dengan bau pandan dan tumisan rempah berserat bahan tumisan lain. Memang menaikkan selera. Saya pasti akan cuba lagi lain kali. Suatu hari nanti saya kan cuba pula dengan ikan keli atau ikan sungai lain yang digoreng garing. Pasti menyelerakan.  


posted from Bloggeroid

Khamis, 18 September 2014

Chinese Five Spice

Saya ada satu masalah. Bukan masalah besar sangat pun. Lebih kepada cabaran sebenarnya. Keluarga saya gemar makan ayam masak kicap. Resipi saya memerlukan penggunaan bunga cengkih, kulit kayu manis, lada hitam, bunga lawang dan ketumbar. Suami saya kurang gemar mencedok kuah dengan bahan-bahan tersebut. Bahan rempah tersebut menambahkan aroma masakan selain bahan-bahan tumisan lain. Delima saya akhirnya terungkai apabila saya menemui sejenis rempah yang terdiri daripada adunan kulit kayu manis, lada hitam, bunga cengkih, bunga lawang, bunga cengkih dan jintan hitam. Rempah ini dikenali sebagai Chinese Five Spice. Boleh didapati di pasar raya utama. Jenama yang saya gunakan adalah Masterfood yang saya beli dari AeonBig.

Sumber dari Google

Rempah ini sangat membantu saya dalam menyediakan masakan kegemaran keluarga seperti ayam masak kicap, kurma, pelbagai sup dan juga yang terbaru Ayam Masak Hijau. Hidup saya jadi lebih mudah dengan rempah ini. Tak perlu lagi saya keluarkan rempah sebelum menghidangkan makanan kerana rempahnya dah teradun dalam kuah dan menjadikannya lebih berperisa termasuklah bawang-bawang dan halia yang dah dikisar sebagai tumisan. Jadi, lain kali kalau ada lauk ayam masak kicap tinggal tulang ayam sahajalah jawabnya. Nampaknya lepas ni kerja rajin-rajin belek adunan rempah di rak rempah pasar raya untuk dapatkan lagi adunan rempah pelbagai guna seumpamanya. Kenalah juga cari resipi yang menggunakan rempah ini.

Sumber : Blog Kat Juju


Selasa, 16 September 2014

Homemade Ipoh Sar Hor Fun



Awal bulan ini saya telah bertugas di luar Putrajaya selama seminggu. Tugas tersebut memerlukan saya menginap di The Meritus Pelangi Resort and SPA di Pulau Langkawi. Memang seronok dapat makan pelbagai juadah hasil tangan masakan chef profesional namun apa yang buat saya teringat adalah kuew tiaw supnya. Saya agak itu mungkin sar hor fun berdasarkan kepada rasanya. Dek kerana asyik teringat maka gigihlah saya mencari resepinya. Setelah digodek pelbagai resepinya, inilah versi saya. Ringan sahaja hidangannya sesuai untuk sarapan. Sesuai untuk orang yang cuba menurunkan berat badan. Ini resepi untuk empat (4) orang makan.

Bahan-bahan kuah:
Sebelah ekor ayam - saya guna empat (4) pasang kaki ayam yang diberi percuma oleh penjual ayam dan sekeping dada ayam.
Seinci halia tua dihiris
Empat ulas bawang putih diketuk
Sebiji bawang kuning dibelah lapan
Sesudu teh lada hitam
Seketul kiub ayam
Minyak udang - resepi di bawah
Lada sulah dan garam

Bahan minyak udang:
Kulit dan kepala udang dari 12 ekor udang
Setengah inci halia tua dihiris
Lima (5) sudu minyak masak

Bahan rencah:
Sayur-sayuran - tauge, sawi, kubis cina dan daun kucai - dicelur
12 ekor isi udang - dicelur
Bebola ikan - dicelur
Bawang goreng
Bawang putih cincang digoreng garing
Ikan masin digoreng garing
Kicap masin dan cili potong
Kuew tiaw halus dicelur
*semua bahan celur mesti direndam ke dalam air berais sejurus dikeluarkan dari air panas dan toskan. Ini bagi mengelakkan bahan celur menjadi lembik.

Cara menyediakan :
1. Rebus ayam dengan air secukupnya bersama bawang putih, bawang kuning, halia, kiub ayam dan lada hitam dengan api yang kuat. Setelah menggelegak, perlahankan api dan tutup. Semasa memasak, sudip keluar buih-buih putih yang timbul dipermukaan air rebusan.
2.Setelah 30 minit, keluarkan ayam dan masukkan dalam air sejuk berais. Toskan dan carik isi ayam. Ketepikan isi ayam untuk dihidangkan. Masukkan rangka ayam ke dalam air rebusan semula dan terus renihkan.
3. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak masak dan tumis halia untuk sediakan minyak udang sehingga naik bau. Masukkan kepala dan kulit udang. Tumis sehingga garing. Masukkan sedikit air rebusan ayam dan kacau seketika. Tutup api dan keluarkan kepala dan kulit udang. Curah campuran air rebusan kedalam rebusan ayam. Tutup api dan perasakan dengan garam dan lada sulah.
4. Hidangkan kuew tiaw dengan air rebusan dan bahan rencah yang telah disediakan.

Pagi ni perut terasa lega dapat makankiew tiaw berasaskan sup ini setelah beberapa hari merasa sebu. Mungkin kerana ketidakhadaman. Saya juga sediakan bubur nasi untuk dimakan bersama air rebusan ayam yang berperisa. Setelah seminggu bertugas di Pulau Langkawi, saya keluar semua bertugas di Kuching. Maka hidangan sarapan pagi ini turut digandingkan dengan gorengan ikan terubuk masin. Sedapnya. Cubalah!
posted from Bloggeroid

Isnin, 18 November 2013

Roti Putih Dari Dapur Sendiri

Sejak Jumaat lepas si Ameer asyik sebut nak makan roti empat segi. Roti sandwichlah tu. Tapi asyik lupa nak belikan. Kebetulan di rumah saya ada beli satu pek tepung berprotein tinggi sesuai untuk dibuat roti. Semalam pagi-pagi menguli rotilah dan itulahkali pertama saya membuat roti sendiri. Hasilnya agak memuaskan. Seronok dan puas hati dapat dapat makan roti putih buatan sendiri. Resepinya saya olah daripada resepi roti putih yang saya dapat dari buku The Essential Cooking Book. Resepi asal menggunakan yis kering. Saya gunakan yis segar yang disejuk beku. Sukar untuk mendapatkan yis kering di Aeon Big Putrajaya. Rasanya tak pernah jumpa di rak jualan pun. Yis segar yang dijual pula agak besar, jadi nampaknya banyaklah resepi yang menggunakan yis boleh dijayakan. Inilah resepi roti putih yang saya buat semalam.


Bahan – bahan:
450 gm tepung roti
1 ½ sudu teh yis segar
1 biji telur
1 biji kuning telur
2 sudu besar mentega
1 sudu teh garam
2 sudu teh gula
Air suam secukupnya

Cara Penyediaan:
Telur dipukul sedikit sekadar untuk mengadunkannya. Campur dengan yis dan air suam sehingga mencapai sukatan 300 ml. Adunkan tepung, garam dan gula serta mentega sehingga membentuk tekstur seakan serbuk roti. Masukkan adunan telur sedikit demi sedikit dan adun adunan tepung sehingga menjadi doh yang kenyal dan lembut. Uli selama lebih kurang 10 minit. Rehatkan doh di dalam bekas yang telah diminyakkan selama lebih kurang 1 ½ jam atau sehingga doh mengganda. Sebaiknnya di rehatkan di dalam ruang yang sedikit panas. Kemudian, uli lagi adunan dalam tempoh 5 minit dan bentukkannya mengikut bekas. Masukkannya ke dalam bekas pembakar roti yang telah diminyakkan dan rehatkan untuk tempoh 30 minit atau sehingga adunan naik sekali ganda. Panaskan oven ke suhu 220°C. Bakar selama 30 – 35 minit. Roti telah masa jika kedengaran bunyi lompong jika bahagian bawah bekas diketuk. Jika kedengaran padat, teruskan membakar. Sejukkan roti di atas redai dan nikmatinya.


Setelah roti masak, saya dan Ameer menikmati roti disapu Nutella dari tengahari sampai ke petang walaupun tengahari dah makan nasi. Ameer memang hantu roti. Walaupun Ameer dah makan roti dengan Nuttella, dicicah lagi sekeping dengan air coklat panas. Lembut dan gebu. Warnanya sedikit kuning tidak putih seperti roti yang dijual di pasaraya. Separuh habis dimakan semalam. Bakinya saya potong kepingan. Dapatlah enam keping. Kalau dapat dicicah kari ayam tentu enak. Dibakar rangup, sapu mentega dan jem atau serikaya tentu menyelerakan sambil minum kopi.


Pagi tadi, saya cepat-cepat perasakan sekeping dada ayam dan gril sehingga masak. Pagi ini saya bawa sandwich roti dengan ayam gril untuk sarapan. Diapit dengan setimbun salad Butterhead kegemaran. Kenyang, memuaskan hati dan menyihatkan. Masa dipekkan rasa sudah setimbun salad diletakkan. Hampir separuh kepala Butterhead dikerjakan, sampai dipejabat rasa terkurang pula. Esok mesti letak lagi banyak saladnya. Hari ini jimat duit belanja sarapan. Roti dan ayam dimasak sendiri di rumah. Sos cilid an mayonis dapat percuma dari pek promosi makanan. Bekas makanan percuma dari MILO. Kalau salad datang dari kebun sendiri bertambah-tambah jimatnya! Hehehe.

Isnin, 11 November 2013

Ramequin Cheesecake


Dua tiga hari yang lalu teringin betul nak makan cheesecake. Teringin juga nak buat sendiri. Tangan pun rajin membelek buku masakan yang ada dirumah. Maka terjumpalah satu resepi cheesecake yang mudah. Sebelum ini ada juga terjumpa beberapa resepi cheesecake yang mudah. Kebanyakan resepi diperuntukkan untuk kek sebesar 9 inci untuk dimakan enam hingga lapan orang. Agak banyak sedangkan yang akan makan cuma saya dan anak-anak. Lagipun saya tidak mempunyai loyang pembakar yang sesuai. Setelah diubahsuai beberapa resepi, saya dapatlah menghasilkan cheesecake seperti ini. Dengan satu adunan resepi ini membolehkan saya mendapat enam bekas ramequin. 


Bahan-bahan:
4 paket biskut organic hazelnut oat jenama Oat Krunch
3 sudu mentega – suhu bilik
Sebiji telur
250 gram cream cheese
6 sudu besar susu pekat
1 sudu teh esen vanilla

Cara Penyediaan:
Sapukan bahagian dalam ramequin dengan sedikit mentega. Panaskan oven pada suhu 190°C. Hancurkan biskut dan satukan dengan mentega. Pastikan semuanya tergaul sebati dan masukkan ke dalam ramequin. Ratakan campuran biskut. Dalam bekas yang lain, sebatikan campuran susu pekat, cream cheese, telur dan esen vanilan. Pukul sehingga berkrim. Masukkan ke dalam bekas ramequin. Bakar pada suhu 190°C untuk tempoh 25 – 35 minit atau sehingga kek naik semula apabila ditekan. Sejukkan pada suhu bilik dan sejukkan dalam peti sejuk sebelum menghidang.


Cheesecake ini saya makan waktu ianya masih suam . Sedap sungguh. Bahagian atasanya agak manis jika dimakan begitu sahaja. Namun kemanisannya diseimbangkan dengan bes biskut yang agak tawar. Resepi asal menggunakan biskut digestive. Dek kerana tiada biskut berkenaan dijual di Aeon Big di sini, saya gantikan dengan biskut oat Oat Krunch yang saya rasakan mempunyai rasa dan tekstur yang sesuai untuk bes kek ini. Saya yakin biskut bijirin lain yang ada juga boleh digunakan dan mampu memberikan kelainan dari segi rasa kek terutama yang ada buah-buahan kering sebagai ramuannya.


Saiz hidangan kek ini dalam ramequin ini juga tidaklah terlalu banyak. Ameer makan satu bekas dan Ahmad makan setengah bekas. Pagi ini saya bawa dua bekas untuk dua anak buah saya. Harapnya kenalah dengan selera anak tekak mereka. Ramequin ini saya beli sedikit masa dulu di Daiso. Ada pelbagai warna dan saiz. Setelah menggunakannya semula semalam, timbul keinginan untuk membeli ramequin saiz lain pula. Tapi, bahaya kalau ke Daiso tanpa perancangan. Silap haribulan, mahu diborong semua barang.

Khamis, 7 November 2013

Pasta & Bebola Daging Berkuah Ala-IKEA

Minggu lepas saya ada beli sebungkus bebola daging dari pasar jualan PUSPANITA. Siang semalam dok memikirkan resepi apa yang dibuat dengan bebola daging itu. Kalau nak dimasak Bolognese jemu pula rasanya kerana baru beberapa hari lepas saya dan anak-anak menikmati pasta Bolognese. Jadi saya pun meneroka ruang maya mencari-cari resepi yang boleh mereplika rasa dan rupa kuah bebola daging medan selera IKEA. Setelah dihazam beberapa resepi, inilah hasilnya setelah diolah mengikut citarasa saya.

Bahan-bahan:
10 ketul bebola daging
Pasta secukupnya
2 sudu besar bawang kuning Holland cincang
2 sudu besar minyak
2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar kicap manis
1 cawan susu – saya guna susu full cream
Garam dan lada sulah
Cincangan daun bawang atau parsli

Cara Penyediaan:
Rebus bebola daging dan pasta sehingga masak bersama sedikit garam. Toskan tetapi simpan air rebusan. Panaskan minyak bersama mentega dan goreng bebola daging sehingga perang. Keluarkan bebola daging dan tumis bawang sehingga naik bau. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga berbuih. Masukkan secawan air rebusan tadi dan kacau sebati. Masukkan kicap dan susu. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Renih sehingga mencapai kepekatan yang disukai. Jika terlalu pekat tambahkan lagi air rebusan. Tutup api dan gaulkan cincangan daun herba. Hidangkan bersama bebola daging dan pasta.


Semalam saya masak baki spageti yang ada di rumah untuk makan malam saya dan anak-anak. Suami saya tiada di rumah kerana ada perlawanan bola sepak. Ameer makan sedikit sahaja kerana sudah kenyang makan 4 keping roti. Ahmad pula makan hampir separuh pasta yang ada dengan kuah ini. Itupun dia masih mahukan lagi. Namun pasta yang ada sudah habis. Sedap sungguh kuah ini. Lebih enak dimakan waktu masih panas. Di pejabat hari ini pun masih teringat-ingat kesedapan kuah bebola daging. Bebola daging dan kuah ini juga enak dimakan bersama kentang lenyek sebagai karbohidrat menggantikan pasta. Resepi kentang lenyek boleh didapati di sini. Makan dengan kentang goreng juga pasti sedap. Saya kira kalau ada jem masam manis seperi jem mulberi atau roselle pasti lebih melazatkan hidangan ini. 


ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...