Baru-baru ini, saya telah pangkas bunga ros yang telah berkembang penuh bagi memberi laluan kepada kudup bunga ros yang sedang membesar di sebalik kelopaknya. Saban hari, kelihatan kudup bunga ros makin cepat membesar setelah dipangkas. Nampaknya semua makanan ditumpukan terus kepada kudup tersebut. Makin lama makin terserlah warna merah jambu terang di sebalik kehijauan sarung kudupnya.
Pucuk-pucuk ros dipangkal pokok juga makin galak menghijau menumbuhkan pucuk-pacuk baru merah kehijauan. Ada juga kelihatan kudup-kudup bunga kecil muncul bersama pucuk baru. Nampaknya bunga ros akan bersilih ganti memeriahkan laman saya yang tak seindah mana. Berkat hari hujan setiap hari dan mentari menyinar setiap pagi, pokok-pokok lain selain bunga ros juga segar bugar tampaknya.
Setelah hampir dua tahun bersama pokok ros ini, bulan ini sudah dua kali bunga rosnya berkembang cantik. Kalau minggu lalu bunganya agak pucat, minggu ini warna kembali terang merah jambu menyala. Sebelum ini saya sering tertanya-tanya identiti pokok ros saya ini. Hari ini sungguh-sungguh saya meneroka alam maya. Akhirnya saya bertemu jawapan.
Ros saya ini diberi nama Showtime Stilleto Ros. Berasal dari susur galur Rose Esmeralda dan merupakan Hybrid Tea Rose. Showtime Stiletto Rose mempunyai bunga yang besar yang boleh berkembang sepenuhnya dalam pasu . Mawar ini mempunyai kelopak merah jambu yang mewah dan bentuk yang elegan. Berbatang panjang dan daun-daun hijau yang sihat menambah keindahan dan kualiti bunga ini . Hampir sama ciri-ciri bunga ros saya ini dengan apa yang dikatakan di dalam alam maya.
Showtime Stilleto Rose |
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan