adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Selasa, 8 September 2015

Plot 2 - Tambahan Ahli Baru

Dua minggu lepas, semaian saya di Plot 2 masih kecil. Pada masa itu ada labu manis, selasih Thai dan cili. Ada dua pokok cili di mana satu daripadanya sedang berbunga. Pada minggu ini, pokok cili yang berbunga itu dahpun berbuah dan jelaslah pokoknya adalah cili padi Thai dek kerana cilinya yang panjang sedikit dari cili padi kampong. Warna hijaunya juga lebih gelap. Sehingga semalam saya masih belum tuai cilinya.


Pokok cili yang satu lagi masih terus membesar dan tingginya sekarang hamper satu kaki. Warna daunnya lebih gelap dari pokok cili padi Thai. Saya agak ini mungkin jenis pokok cili merah. Waktu saya pindahkan anak-anak pokok cili ini, saya tak pasti jenisnya kerana semua tumbuh sendiri dalam sebiji pasu yang saya buang macam-macam jenis cili yang dah reput dalam peti sejuk.


Kalau masih ingat lagi, saya ada bari tahu yang dalam plot ini ada dua pokok labu. Sebenarnya bila diamati, rupa-rupanya satu sahaja pokok labu dan ianya adalah yang panjang sekali. Daunnya besar, tepi daunnya tidak bergigi dan tumbesarannya lebih cepat. Pokok yang tumbuh di pangkal pokok cili merah saya rupanya timun. Saya yakin ianya timun kuning sebab saya memang kerap beli timun kuning yang dah tua. Daunnya lebih berkedut dan tidak rata di bahagian tepi. Ada bunga-bunga kecil warna kuning tumbuh bersama dan tumbesarannya agak lambat. 

Sebenarnya ada dua anak pokok timun tapi satu ditanam di plot jagung dan dah mati pun. Anak timun di Plot 2 ini pula elok pula tumbuh. Daunnya juga elok. Saya agak kesan ditanam bersama pokok selasih Thai yang buat kumbang tak lalu nak makan daunnya. Anak timun di plot jagung tu mati sebab daunnya habis gondol dimakan kumbang. Ini pelajaran berguna buat saya.


Petang ahad lalu, dengan kelapangan masa yang ada, saya pindahkan lagi tiga pokok anak cili yang masih belum pasti jenisnya, anak tomato dan juga anak mulberi. Kebetulan saya baru potong rumput, maka sisa rumput jadi sungkupan di pangkal anak-anak pokok. Biasanya lepas dipindahkan, saya akan siram sekali sehari sahaja untuk elakkan akar pokok tertekan. Jadi, untuk elakkan tanah cepat kering, saya letakkan sungkupan agak tebal. Lama kelamaan sungkupan akan menipis bila rumput kering. Sungkupan juga dapat elakkan rumpai tumbuh. Gambar di bawah ini kurang jelas pula sehingga tak nampak anak-anak pokok yang dah dipindahkan. Mungkin bila sungkupan dah kering nampak jelas sedikit dan saya akan kongsikan perkembangannya. 


Tomato ini saya semai bukan dari biji benih tapi dari potongan “sucker”. “Sucker” adalah bahagian yang tumbuh di celah daun dan perlu dibuang untuk pastikan makanan tumbuhan tertumpu kepada bunga untuk menjadi buah. Saya dah agak lama tak tanam tomato dari biji benih. Tanam tomato dari “sucker” sangat mudah. Potong dengan cermat dengan pisau yang tajam dan cucuk pada tanah. Jaga seperti biasa dengan siraman dan sesekali dibaja. Bila pokok sudah cukup kuat, boleh dipindahkan dengan kedalaman lebih seinci ke atas dari pangkal pokok untuk galakkan pertumbuhan akan baru. Pokok yang ditanam dengan cara ini lebih cepat berbuah. 


Anak pokok tomato saya ini sangat sihat dengan sistem akar yang sihat. Tengok saja jalinan akarnya yang berwarna putih. Sebenarnya anak pokok ini dah ada tanda nak berbunga. Sebab tu saya cepat-cepat pindahkan ke plot belakang untuk ruang lebih besar. Sepatutnya saya pindahkan lebih awal tapi tak ada masa.


Anak pokok mulberi pula saya tanam di belakang sedikit sebab di tanam di “spot” kekalnya. Asalnya saya semai untuk kawan. Tapi kawan saya mengandung dan tak larat nak berkebun buat masa sekarang. Jadi, bila dah melahirkan, saya akan semai yang lain. Semaian mulberi yang satu lagi dah selamat bagi kawan yang lain. Gambar yang ini juga kurang jelas anak pokoknya sebab dahannya ada sebatang sahaja dan nampaknya hampir “blend” dengan latar belakang dan sungkupan sisa rumput. Harap dapat membesar dengan baik mulberi saya ini.

Semalam lewat petang, anak-anak pokok yang dipindahkan kelmarin nampak sihat. Tidak ada tanda-tanda layu. Saya pindahkan waktu lewat petang supaya anak-anak pokok tak tertekan dengan cuaca panas. Kalau dipindahkan waktu pagi, nanti anak-anak pokok terpaksa hadapi cuaca panas terik waktu sedang menyesuaikan diri dengan plot baru.

3 ulasan:

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...