Dah lama tak bercerita tentang plot no. 2 saya. Walaupun terasa macam tak ada apa yang menarik berlaku di kebun sejemput saya, tapi bila melihat catatan-catatan lama, banyak juga beza dari minggu-minggu lepas.
Pokok selasih saya dah semakin tua. Tunggu masa nak dicabut dan disemai baru. Daunnya banyak yang kuning dan keras. Walau pun dicantas, daun yang tumbuh tetap sudah keras dan tidak neka dibuat ulam lagi. Pokok cili pula habis daunnya dihinggapi bena putih. Saya cantas dan pucuk baru pun tumbuh. Nampaknya putih bunga yang tumbuh lekat buahnya. Dalam masa yang sama, saya juga semai anak-anak pokok cili yang baru.
Labu yang ada juga semakin galak menjalar. Daunnya juga besar hampir sebesar dua tapak tangan saya. Dalam beberapa minggu memang banyak bunga betina yang keluar. Tapi sayangnya semua gugur setelah beberapa muncul. Setelah dibelah, rupanya ada larva kumbang sudah masuk ke dalam putik-putik bunga labu sama ada jantan atau betina. Sebab itulah banyak bunga yang gugur tanpa sempat berkembang walaupun banyak yang muncul.
Selepas cuti Tahun Baru Cina minggu lepas, bunga-bunga jantan sudah kembali berkembang di kebun sejemput saya. Putik bunga juga sudah semakin banyak yang muncul. Sudah tidak ada tanda-tanda akan gugur lagi.
Setelah dibelek-belek di balik daun rupanya ada dua kuntum kudup bunga betina sedang tunggu masa untuk kembang. Saya ambil gambar putik-putik labu ni kira-kira lewat petang Selasa lepas. Petang Rabu esoknya saya lihat kelopaknya dah layu. Cepat-cepat saya ambil bunga jantan dan debungakan kedua-dua bunga secara manual. Dahla ada sekuntum aja bunga jantan. Cepat-cepat saya panjatkan doa supaya menjadilah pendebungaan manual saya. Dah lama benar saya menunggu saat ini.
Alhamdulillah setakat pagi hari ini putik-putik labu masih utuh walaupun kelopaknya dah luruh. InsyaAllah dapatlah menuai labu manis pertama saya. Sabtu lepas sempatlah saya menuai pucuk labu dibuat masak lemak bersama-sama daun selasih Thai dari kebun juga dengan labu manis yang dibeli dari pasar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan