adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Selasa, 28 Oktober 2014

Bersarapan Dengan Bijirin Oat

Sejak akhir-akhir ni dah jemu makan sarapan nasi lemak dari kafeteria. Pilihan pun tak banyak. Kalau tak makan sarapan nanti sakit perut pula. Lebih baik tak makan tengah hari daripada tak sarapan. Penyelesaian termudah adalah makan oat untuk sarapan. Di rumah memang tersedia bijirin oat segera sebab saya suka tambahkan oat dalam minum MILO saya untuk lebih kenyang. Setakat hari ini sudah tiga kali saya bersarapan dengan oat dalam tempoh dua minggu. Maksudnya tidaklah setiap hari. Jemu rasa tekak makan oat setiap hari. Yang bagusnya perut terasa kenyang lebih lama dan rasa lebih selesa berbanding jika bersarapan dengan nasi lemak mewah dengan sambal. Tambahan pula, perut saya kerap berasa senak sejak kebelakangan ini. Makan oat untuk sarapan sedikit melegakan mungkin kerana kandungan serat yang tinggi.

Oat, susu, pisang, Nutella, kuaci dan madu asli.

Makan oat begitu sahaja memang agak membosankan. Hari pertama saya cuba gabungkan oat, susu, hirisan pisang, sedikit madu asli, sesudu Nutella dan sedikit taburan biji bunga matahari panggang iaitu kuaci. Semua bahan ini memang ada di dapur. Hari itu saya bersarapan tanpa kos. Kenyang sehingga tengah hari. Waktu tengah hari saya makan kuew tiow sup sahaja untuk supaya tidak terlalu lapar lewat petang nanti.

Oat, susu, mulberi, kurma dan kuaci.
Kali kedua bersarapan dengan oat saya campurkan campuran oat dan susu dengan mulberi yang dipetik dari laman saya. Campurkan sedikit cencangan kurma dan sedikit kuaci. Jimat lagi dengan sarapan tanpa kos. Hari ini saya bersarapan dengan oat lagi. Kali ini saya campurkan mangga masak dan kuaci sahaja. 

Oat, susu, mangga dan kuaci.
Memang mudah bersarapan dengan oat. Sebelum keluar rumah, isikan secawan penuh oat ke dalam bekas. Masukkan secawan lebih sedikit susu dan masukkan potongan kecil buah-buah segar atau frozen. Untuk tambahkan crunch pada oat, tambahkan kekacang panggang. Sampai di pejabat, terus makan. Dalam perjalanan ke pejabat, oat sudah kembang dengan susu. Jika suka, tambahkan manisan asli seperti madu. Susu yang saya gunakan adalah susu full cream.

Hasil godek-godek di Internet, di sini saya nak berkongsi cara untuk menjadikan bijirin oat lebih enak:

  1. Tambahkan buah-buahan segar atau frozen fruit. Saya telah cuba mulberi, pisang dan mangga. Buah-buahan menambahkan variasi kepada rasa dengan rasa masam dan manis yang menyegarkan.
  2. Tambahkan buah-buahan kering seperti kismis dan kurma. Setakat ini saya sudah cuba kurma dan sedang berkira-kira untuk masukkan halwa kundur atau halwa halia. Buah tin kering atau aprikot kering juga pasti sedap.
  3. Tambahkan kekacang untuk menambahkan crunch kepada bijirin. Memandangkan kuaci sahaja yang di dapur, saya belum berkira-kira nak menggunakan kekacang lain namun kacang badam mungkin pilihan selepas ini. Pasti enak setelah dipanggang rangup.
  4. Maniskan dengan pemanis asli seperti sirap mapel atau madu. Madu sebagai pemanis semula jadi sendiri mempunyai pelbagai variasi rasa dan punya khasiat yang pelbagai. Saya sudah cuba masukkan madu asli ke dalam bijirin oat saya. Mungkin selepas ini saya mahu cuba madu variasi lain pula. Kalau cuba nisan kabung juga pasti menarik.
  5. Pelbagaikan rasa dengan rempah ratus. Ada banyak rempah ratus yang sesuai untuk bijirin sarapan yang manis. Saya sedang berkira-kira untuk sira pisang dengan sedikit bunga cengkih atau sira labu dengan sedikit rempah kulit kayu manis ataupun inti epal pai digandingkan bijirin oat. Menaip sahaja dah buat saya terliur.
  6. Seterusnya cuba masukkan jem buah-buahan atau sapuan roti untuk tambahan variasi rasa. Nuttela yang saya masukkan ke dalam bijirin oat saya memang menaikkan selera berbanding bijirin yang hambar. Mungkin selepas ini boleh cuba pelbagai jem lain seperti jem mulberi atau jem roselle. Rasa masam manis boleh mengejutkan deria rasa.
  7. Tambahan yang seterusnya mungkin agak ekstrem. Cuba masukkan ais krim, serpihan bar coklat, marshmallow atau cip coklat. Yang ini mungkin saya kurang teruja nak cuba sebab saya kurang sukakan makanan manis. Tapi sesekali apa salahnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...