adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 27 Oktober 2014

Tips Peperiksaan PTD


Saya sebenarnya tidak berhasrat untuk membincangkan hal-hal kerjaya saya dalam blog ini. Namun, mutakhir ini saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya yang setahun jagung ini. Pada saya tidak ada salahnya saya berkongsi pengalaman sendiri. Lagipun, semakin lama semakin pudar memori di kotak fikiran saya seiring dengan pertambahan usia. Dengan pertambahan usia, tanggungjawab juga bertambah baik sebagai isteri, ibu dan juga pekerja. Zaman juga sudah berubah. Pengalaman saya mungkin tidak sama dengan keperluan semasa namun dapat dijadikan asas panduan.

Saya mendaftarkan diri untuk memasuki skim perkhidmatan tadbir dan diplomatik (PTD) sekitar tahun 2007. Sebelum saya berada di dalam kedudukan sekarang, saya telah menduduki peperiksaan PTD sebanyak dua kali, menghadiri PTD Asssesment Center (PAC) sebanyak dua kali dan temu duga sebanyak tiga kali. Kenapa tapisan dua kali tetapi temu duga tiga kali? Sebab selepas temu duga kali pertama saya dipanggil sekali lagi untuk temu duga tanpa perlu menduduki peperiksaan dan menghadiri PAC. Agaknya markah peperiksaan dan PAC saya agak memberangsangkan jadi dipanggil untuk temu duga sekali lai. Agaknyalah. Saya pun tak tahu. Kemudian saya dilantik secara kontrak selama dua tahun dan ketika itu saya nekad untuk menyelesaikan apa yang saya dah mulakan. Saya isi borang semula dan menduduki peperiksaan semula. Menghadiri PAC sekali lagi dan bersedia untuk temu duga sekali lagi. Pada masa ini suami saya telah berjaya dilantik ke dalam perkhidmatan setelah dipanggil temu duga buat kali kedua seperti mana saya. Alhamdulillahlah saya dilantik setelah berkhidmat secara kontrak kurang daripada setahun. Tidak semua orang melalui pengalaman yang sama. Ada juga orang telah mengharungi setiap peringkat berkali-kali saban tahun, namun rezekinya Allah telah tentukan. Ada rezeki juga yang perlu melalui setiap peringkat sekali sahaja seumur hidup.

Saya kurang pasti bagaimana format peperiksaan yang akan dilalui pada 1 November ini, yang pastinya ia dilakukan secara atas talian. Saya pasti, peperiksaan yang diadakan mempunyai objektif yang sama seperti mana dulu. Bagi mencari individu yang peka dengan isu semasa, tangkas dalam menyelesaikan masalah, pandai mengolah pendapat dan mempunyai personaliti yang baik. Objektif tu saya agak begitulah melihatkan kepada jenis-jenis soalan yang tanya.

Untuk catatan kali ini saya nak kongsi tip peperiksaan sahaja. Saya cuba bagi yang terbaik, ringkas dan padat. Peperiksaan PTD mempunyai empat seksyen iaitu Pengetahuan Am, Daya Menyelesaikan Masalah, Esei Bahasa Melayu dan Esei Bahasa Inggeris. Bagi yang mencari soalan-soalan ramalan, sukacita dimaklumkan bahawa di sini bukanlah tempatnya. Soalan-soalan yang boleh didapati secara meluas di Internet bukanlah soalan ramalan, tetapi hanya contoh soalan sahaja. Pandangan saya, soalan peperiksaan PTD bukan seperti mana soalan peperiksaan lain yang boleh di kompilasi atau diramal seperti mana soalan peperiksaan lain. Banyakkan membaca pelbagai sumber khususnya hal ehwal dalam negara. Membaca kan jambatan ilmu?

Untuk seksyen pengetahuan am, soalan-soalan yang ditanya dapat dijawab dengan mudah sekiranya anda seorang yang peka kepada isu-isu semasa dari pelbagai bidang. Seingat saya soalan yang pernah ditanya kepada saya adalah siapa pengarah filem Puteri Gunung Ledang. Soalan pasukan mana yang memenangi liga-liga bola sepak utama Malaysia juga pernah ditanya. Saya juga termenung agak panjang apabila ditanya nama beregu Malaysia yang memenangi pingat dalam sukan ping pong di peringkat antarabangsa. Ada juga soalan yang menyebut tentang karya sastera negara dan jawapannya adalah siapa penulis karya tersebut. Jawapan yang saya dapat akhirnya adalah Krishen Jit. Macam mana saya boleh ingat soalan-soalan ini? Sebab saya bengang tak dapat jawab. Jadi kesimpulannya, jangan hadkan pengetahuan kepada bidang yang anda minati sahaja. Banyakkan membaca atau menonton program-program isu-isu semasa dan tidak semestinya bahan ilmiah. Sebaiknya mulakan amalan cakna isu semasa setahun lebih awal.

Pernah dengar penaakulan mantik? Pernah cuba soalan menguji IQ? Untuk seksyen kedua ini banyak menggunakan logik akal. Ya, memang sebahagian besarnya adalah soalan matematik. Tapi tidaklah sehingga memerlukan anda tahu matematik tambahan. Cukup sekadar tahu asas tambah, tolak, darab dan bahagi. Soalannya menjurus kepada permasalahan harian. Seingat saya soalan yang saya pernah jawab adalah pengiraan cukai, tempoh perjalanan serta jarak. Saya tidak ada tip khusus untuk seksyen ini. Jujur saya katakan saya hanya dapat menjawab sebahagian sahaja soalan kerana tempoh masa yang ditetapkan adalah singkat berbanding jumlah soalan. Tambahan pula pengiraan melibatkan nombor 5 hingga 7 digit tanpa penggunaan kalkulator. Bagi yang biasa dengan kerja kira-kira seperti akauntan mungkin agak mudah. Mungkin boleh cuba asah-asah ketajaman fikiran dengan kerap bermain sudoku.

Untuk seksyen penulisan esei agak umum tapi memerlukan seseorang yang cakna isu-isu semasa khususnya melibatkan dasar-dasar negara. Seingat saya isu yang ditampilkan sewaktu saya menduduki peperiksaan dahulu adalah isu Pulau Batu Putih yang melibatkan isu kedaulatan negara, isu ekonomi juga pernah ditanya. Cuba bayangkan orang tuli ekonomi macam saya cuba mengarang esei  yang memerlukan olahan pendapat yang bernas dan jitu. Dalam seksyen ini, cuba sampaikan pendapat anda dengan tulisan yang kemas, lontaran idea yang mudah difahami namun ‘nampak’ kecerdikan anda melalui gaya bahasa yang baik, perbendaharaan kata yang luas menunjukkan anda seorang yang matang.

Seingat saya dulu, ada satu lagi ujian personaliti yang perlu diambil. Soalannya tidak ada jawapan yang betul. Bentuk soalannya memerlukan anda menjawab dengan jujur dan konsisten. Contohnya adakah anda pernah menipu? Adakah anda pernah dipanggil oleh guru besar? Adakah anda kerap marah? Saya percaya soalan-soalan ini diperlukan bagi mengenali tahap kesihatan mental seseorang. Anda tentu tidak mahu berurusan dengan seorang pegawai kerajaan yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Begitulah seadanya perkongsian saya. Saya doakan calon-calon yang akan menduduki peperiksaan ini sentiasa berlapang dada. Gagal tidak menjadikan anda seorang yang tewas dan yang berjaya tidak menjadikan anda lebih bagus dari orang lain. Percaya dengan rezeki yang Allah berikan. InsyaAllah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...