Harissa adalah pes berasaskan cili yang berasal dari Tunisi yang mana bahan-bahan untuk menyediakannya adalah termasuk bawang putih, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih. Minyak zaitun turut digunakan sebagai bahan pengawet. Pes ini banyak digunakan dalam masakan Tunisia, Libya dan Algeri serta Morocco (Maghribi).
Ada banyak versi resepi bagi harissa yang mana turut menggunakan pelbagai jenis cuka dan juga jus lemon. Kebanyakan resepi yang saya jumpa menggunakan cuka alkohol. Harissa yang dijual di pasar raya seperti yang dijual di Cold Storage Alamanda turut menggunakan wain. Saya mula mencari resepi yang mudah dan menggantikan cuka alkohol dengan cuka epal. Saya menggunakan pes cili kering yang memang saya dah kisar cili kering dengan banyak sebelum ini. Resepi yang saya sertakan ini menghasilkan pes harissa yang sangat sedap. Rasanya perlu buat lebih banyak lain kali.
Bahan-bahan:
3 sudu besar biji ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
6 ulas bawang putih
2 sudu besar garam
60 gm cili kering, direndam dan dikisar menjadi pes ATAU 2 sudu besar pes cili boh
1 sudu besar cuka epal
2 sudu besar minyak zaitun
Cara Penyediaan:
Sangai (goreng tanpa minyak) biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Ketepikan setelah naik bau. Hati-hati menggoreng jangan sampai rempah hangit. Tumbuk bawang putih beserta garam. Masukkan rempah yang telah disangai dan tumbuk sehingga lumat. Gabungkan pes bawang putih dan rempah dengan pes cili, cuka epal dan minyak zaitun sehingga sebati. Simpan dalam bekas dan lapiskan bahagian atas dengan minyak zaitun. Simpan dalam peti ais.
Harissa juga dikenali sebagai penambah rasa rasmi negara Tunisia dan banyak digunakan dalam masakan berasaskan ikan.dan daging. Ia juga digunakan dalam sup atau sapuan kepada roti Arab. Saya ada beberapa resepi dalam perancangan yang menggunakan pes harissa ini. Pes ini dikatakan boleh disimpan dalam tempoh yang lama. Tapi rasanya pes ini tak boleh disimpan lama sebab mesti cepat habis digunakan untuk memasak sebab sedap sangat.
posted from Bloggeroid
Sesuai tak untuk diperap dgn ayam atau daging? Sy pernah makan chicken harissa di elPresto. Mgkin blh perap pes nie dgn ayam. Hehhehehe
BalasPadamsaya memang biasa perap dgn ayam, ayam tu sama ada digoreng atau dipanggang. biasanya bila perap tu saya tambah yogurt atau susu segar supaya daging ayang tak kering. ikan pun saya pernah perap kemudian bakar. daging belum pernah cuba tapi saya agak mesti sedap..
Padam