Dalam sebulan dua ni saya biasanya akan bawa sekurang-kurang bekalan makanan untuk sarapan. Kadangkala ada juga bawa bekalan makanan untuk makan tengah hari sekali. Biasanya saya akan bawa roti tinggi serat disapu Nutella atau mentega kacang dengan jem. Ada juga waktunya saya bawa overnight oats bersama buah-buahan segar atau kering dengan campuran lain. Dulu biasanya gagah pergi beratur di kafe pejabat untuk membeli nasi lemak. Memang sedari awal sudah maklum nasi lemak memang bukan pilihan yang bagus untuk sarapan pagi kerana agak tinggi kalori. Tambah pula kalau nasi lemak itu datang bersama telur goreng dan sambal berlinang minyak tumisan. Sekali dua dalam sebulan bolehlah.
Sejak akhir-akhir ini makin kerap saya bawa juga bekalan makan tengah hari ke pejabat. Untuk makan tengah hari pilihan yang sihat memang ada macam ikan rebus atau ikan bakar. Sup daging dan sup ayam juga ada. Sayur-sayuran dan ulaman pun ada. Tapi kalau dan turun 15 minit selepas pukul satu memang dah tak berapa nak ada lauk pauk untuk sayur campur. Saya memang tak berminat nak menunggu tempahan nasi goreng pula. Biasanya bekalan makan tengah hari yang saya bawa kalau tak makan di luar pejabat adalah lauk makan malam sebelumnya.
Kadang-kadang saya panggang ayam yang diperap pagi-pagi sebelum siap nak ke pejabat. Saya biasanya bangun sebelum pukul 6 pagi. Tapi sejak balik dari bercuti bulan lepas, belum boleh kembali ke waktu bangun seperti biasa tapi masih sebelum pukul 6.30 pagi. Bangun pagi awal-awal sebegini memberi ruang untuk saya mengemas pinggan mangkuk di dapur, mengemas ruang tamu yang tunggang langgang dengan permainan anak-anak, menyapu lantai serba sedikit, bersenaman ringan kalau sempat dan sediakan bekalan makanan. Kalau bangun awal pagi pun bagus sebab sampai di pejabat semangat dah warm-up sedikit. Tak adalah lemau je pagi-pagi.
Semalam ada kepingan salmon di jual di pasar. Tawarannya agak menarik dengan harga RM14 untuk tiga ketul. Saya tak pernah membeli salmon. Jadi inilah kali pertama saya beli. Minggu lalu saya ada beli spageti untuk stok makan tengah hari minggu ini. Hari Isnin tiada bekalan makanan tengah hari sebab dah berjanji dengan kawan-kawan untuk makan tengah hari bersama. Hari Selasa pula saya bawa ayam panggang dengan ubi keledek bakar. Hari ini saya bawa pula salmon dengan spageti aglio olio.
Resipi spageti saya adaptasi dari Azie’s Kitchen.
Bahan-bahan :
100 gm spageti (untuk seorang makan)
Sebiji cili kering, dibuang biji, dibasuh dan dipotong
¼ cawan stok daging/ayam
Dua ulas bawang putih, dihiris
Sekeping salmon
1 sudu besar tepung gorengan ayam
Lada sulah dan garam
Minyak zaitun
Sedikit oregano kering - boleh juga tidak letak
Hirisan daun ketumbar untuk menghias
Cara penyediaan.
Spageti direbus dengan air bergaram sehingga masak dan tos. Pada masa yang sama, salut salmon dengan tepung dan goreng sehingga masak tetapi tidak terlalu masak. Ketepikan setelah sedia. Dalam minyak yang sama, tumis bawang putih dan cili kering sehingga kekuningan dan masukkan stok. Kacau seketika dan masukkan spageti yang telah ditos. Kacau seketika dan masukkan oregano, lada sulah dan garam secukup rasa. Kacau seketika sehingga agak kering dan angkat. Hidangkan dengan salmon dan hirisan daun ketumbar.
Makan tengah hari dah sedia. Pagi ini sarapan hanyalah oat dengan selasih dan hirisan buah pala kering. Tiada buah-buahan segar kali ini kerana stok buah dan habis dan terlupa pula nak beli buah di pasar semalam. Puas hati dan kenyang hari ni.
Salam,
BalasPadamSedapnya nampak!
Sedap dan mengenyangkan
Padam