Setelah dua minggu saya semai kacang panjang di plot no. 2, kini anak-anak kacang panjang sudah semakin membesar. Saya juga dah sediakan pancang yang agak baik untuk kacang panjang membesar. Dalam tempoh dua minggu sahaja sudah banyak daun yang tumbuh dan pembesarannya agak laju. Saya memang tak ada niat nak buang mana-mana anak pokok yang tumbuh buat masa sekarang sebab sayang pula rasanya. Ada juga saya lihat anak pokok yang agak lambat dari yang lain. Mungkin saya patut biarkan tiga sahaja tumbuh supaya kurang persaingan. Minggu lepas saya agak kurang menyiram tanaman saya sebab hampir setiap hari pulang dari pejabat hampir gelap jadi tak ada masa nak ke laman belakang. Saya masih belum baja pokok-pokok kacang saya cuma hujung minggu lalu saya ada siram dengan baja roti. Harap tidak menjejaskan anak-anak pokok yang masih muda.
|
Semaian kacang panjang berumur 4 hari, disemai pada 4 Okt. 2015 |
|
Semaian kacang panjang berumur 4 hari, perkembangan pada 8 Okt. 2015 |
|
Semaian kacang panjang berumur 14 hari, gambar pada 17 Okt. 2015 |
Sawi di plot 1 juga makin besar sejak dicantas juga saban hari. Mungkin seminggu dua lagi bolehlah menuai sawi yang tumbuh dari pangkal sawi hasil tuaian pertama. Ada juga sawi yang dah dimakan siput tapi hanya sehelai dua sahaja tidak menjejaskan tanaman sepenuhnya. Sabtu lalu saya goreng sawi tuaian pertama untuk makan tengah hari, rasanya manis dan rangup. Saya segera masukkan sawi yang dituai dulu di dalam bekas kedap udara sebelum disimpan dalam peti sejuk untuk kekalkan kesegaran sayur. Walaupun sudah lebih seminggu berada di dalam peti sejuk, sawinya masih segar lagi.
|
Plot No. 1 yang agak kosong |
|
Tunas-tunas sawi yang membesar dari cantasan sawi tuaian pertama |
Sekarang ini saya sedang gemburkan batas baru yang akan dijadikan plot no. 3. Saya merancang untuk tanam jagung manis sekali lagi dan beberapa jenis sayur berdaun di plot ini.
Assalam Sis...salam ziarah
BalasPadamseronok kan ade tanah luas ni..blh tanam pokok2..sayur12...saya dlm proses berpindah ke apartment dari rumah teres 2 tingkat... banyak cita2 dan impian tak dpt dilaksanakan bab2 menanam nih..huhuu