adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 13 April 2015

Menyemai Di Hujung Minggu

Minggu lepas tak banyak perkembangan berlaku pada kebun dan laman saya selain merumput sedikit sebanyak, membersihkan laman dan cantas beberapa pokok yang dah kemas bentuknya. Alhamdulillah hujan turun dengan lebat hampir setiap hari yang mana turut meringankan sedikit tugasan menyiram pokok walaupun tengah hari panas berdenting sampai pening kepala. Kerja-kerja di pejabat pun banyak dengan mesyuarat yang bertali arus. Semenjak kerusi bos kosong sejak tahun lalu, sayalah yang jadi ‘bos’ untuk diri sendiri dan rakan sekerja. Walaupun agak terbeban dengan tanggungjawab yang lebih besar, tapi nampaknya saya lebih banyak belajar perkara baru yang sesungguhnya memang banyak membantu meringankan kerja. Bila tak ada bos ni, kepala lebih ligat berputar sebab pencapaian seksyen dah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelaksana dan pengurus. 

Petang-petang bila tengok pokok-pokok dalam pasu segar bugar, barulah terang sikit mata yang kelabu menghadap komputer sepanjang hari. Banyak sangat kerja sampai tak tau nak mula dari mana. Nak masukkan catatan baru dalam blog pun dah siap-siap draf tengah malam kemudian buat auto-publish. Kalau tak letak nanti basi pula cerita.

Hujung minggu ni agak lapang sedikit sebab hari Sabtu dah all-out kemas rumah. Nak buat bekal untuk Projek Lunchbox pula tak ada idea. Lagipun minggu ni mesyuarat kebanyakan hari waktu tengah hari dah kena keluar dari pejabat, jadi tak sempat nak makan (sebenarnya lebih kepada malas nak masak hehehe). Masa yang lapang tu digunakan untuk menyemai beberapa benih yang ada di rumah. Saya semai kacang botor, zinnia campuran, selasih Thai, bok choy  dan lobak putih. Benih kacang botor tu sebenarnya dah disemai hari Rabu tapi dimakan semut pula, jadi perlu disemai semula. Zinnia dan selasih Thai tu pula saya ambil benih dari rumah ayah manakala lobak putih dan bok choi  adalah baki dari tanaman dahulu. Saya mulakan dengan benih-benih yang mudah dijaga sebagai kick-start untuk bulan ini.

Semaian zinnia, lobak putih, kacang botor dan selasih Thai. Semaian bok choy tidak kelihatan.

Nampaknya benih zinnia yang saya dapat dari ayah memang bernas kerana hari kedua sudah tumbuh tunasnya. Pagi ini nampak tunasnya sudah hampir keluar dari kelongsong benih. Mungkin dalam minggu ini pastinya daun pertama sudah keluar. Selain disemai di dalam pasu kecil ini, saya juga ada semai zinnia terus di atas batas di belakang rumah. Harapnya benih-benihnya selamat sebab semalam hujan turun dengan lebat disertai guruh. Benih selasih Thai, bok choy, lobak putih dan kacang botor mungkin mengambil sedikit masa. Saya rasa benih kacang botor mengambil masa lebih sedikit dan mungkin bok choy serta lobak putih akan mula bertunas dalam sehari dua lagi. 

Semaian benih zinnia telah bertunas pada hari kedua selepas disemai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...