Seminggu tak ada apa-apa catatan daripada saya walaupun banyak juga perkara nak dikongsi. Pertama, sebab terlalu sibuk dengan mesyuarat bertali arus diselang-selikan dengan kursus dan majlis rasmi. Keduanya sebab telefon ada masalah sehingga perlu hantar ke kedai untuk dibaiki hampir seminggu. Dalam kesibukan itu yang memerlukan saya bergerak ke sana ke mari luar dari Putrajaya, saya bertawakal agar tiada apa-apa berlaku sebab dok terfikir jenuh juga nak cari telefon awam untuk hubungi suami. Nak bertemu janji dengan suami untuk ke kedai telefon pun siap-siap pesan sebelum masing-masing keluar rumah untuk tunggu depan kedai jam 1.30 petang. Macam zaman sebelum kahwin pula. Bila tak ada telefon, gambar pun tak dapat nak ambil.
Tapi sayang seribu kali sayang, pusat servis tak sengaja ter’format’ telefon saya. Semua gambar hilang. Mujurlah sebahagian besar gambar ada dalam komputer sebab saya kerap pindah gambar ke komputer dari telefon. Cuma ada beberapa gambar sebelum telefon ada masalah tak sempat disimpan.
Ok, kita pergi kepada cerita di laman rumah. Beberapa minggu lepas saya ada semai selasih Thai, bok choy, kacang botor, lobak putih dan zinnia. Bok choy dan lobak putih memang sudah dijangka benihnya tidak lagi bernas sebab benih-benihnya saya terjumpa di dalam kotak benih lama. Sengaja cuba nasib. Selasih Thai dan zinnia pula cukup bernas sehinggakan hari kedua sudah mula bercambah. Dalam masa lebih kurang seminggu, benih zinnia dah mengeluarkan daun sebenar. Tapi saya terkilan kerana anak-anak benih zinnia telah dimakan dengan rakus oleh siput-siput babi yang bermaharajalela. Benih-benih zinnia tu sebenarnya disemai untuk dua kawan saya termasuk untuk diri sendiri juga. Kecewa sangat. Terpaksa semai semula. Tak apalah. Kira sedekah saya pada makhluk Allah jua.
Anak benih kacang botor berusia dua minggu |
Alhamdulillah, kacang botor telah bertunas setelah dua minggu disemai. Bermula Jumaat lalu, daun sebenarnya telah mula keluar. Pagi ini kelihatannya pasangan daun seterusnya telah mula kelihatan. Nampaknya agak cepat juga pertumbuhan kacang botor. Saya dah sediakan pasunya berserta pancang. Tapi rasanya pancang yang saya sediakan mungkin tak cukup kukuh kerana katanya pokok kacang botor agak berat. Saya juga sedang berkira-kira nak alihkan terus ke tanah. Sekarang ini ada dua anak benih. Mungkin satu ditanam dalam pasu manakala satu lagi ditanam di atas tanah.
Ada sedikit rasa fobia pula nak alihkan anak pokok ke laman depan kerana dulu anak-anak timun saya mati diserang kumbang manakala anak-anak benih lain pula diserang siput babi.
Macam mana nak buat ya?
Ini pula beberapa anak pokok bawang putih yang tumbuh tak sengaja dalam tong kompos dan dialihkan ke pasu lain minggu lepas. Segar nampak gayanya. Harapnya kalau dibiarkan dapat menghasilkan beberapa labu bawang putih. Sebenarnya ada enam anak pokok tapi terlupa pula ambil gambar yang lain.
Empat ulas bawang putih yang dah bertunas dalam pasu pokok limau purut |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan