2011 - Padang PULAPOL |
Sebahagian besar orang disekeliling saya adalah isteri orang. Seringkali perkara yang menjadi bahan bualan adalah tabiat suami masing-masing numn tidaklah sampai perkongsian cerita-cerita peribadi ataupun perkara yang mengaibkan. Secara amnya ada dua perkara yang membuat isteri naik geram. Saya gelarkannya simptom isteri kedua. Catatan ini hanyalah sebagai bacaan ringan bukan untuk menyakitkan hati sesiapa. jika difikirkan ada betulnya juga.
ISTERI PERTAMA
Isteri pertama yang saya maksudkan adalah hobi suami. Hobi adalah kesukaan suami yang telah sebati dalam dirinya sejak bujang lagi. Kadangkala si isteri yang menjadi peneman setia menyuburkan rasa ciinta suami pada hobinya. Ada suami hobinya bersukan, biasanya bola sepak atau golf. Ada juga suami yang sukakan aktiviti permotoran. Walau seringkali timbul rasa tidak puas hati dalam hati kecil isteri, isteri tetap redha kerana hobi itu telah bersama suami sebelum mengenali isteri lagi asalkan hobinya membawa banyak kebaikan. Bagi saya, saya lebih rela melihat suami habiskan masa bersukan atau lebih tepat bermain bola sepak daripada melihat dia menghabiskan masa tidur atau menonton tv sepanjang hari. Suami saya orangnya memang jaguh dalam bersukan walaupun tidaklah sampai menjadi atlit negara dan sebagai isteri saya tidak mahu menjadi batu penghalang dan sentiasa berusaha menjadi penyokong setianya. Sejak dari mula berkawan rapat sehinggalah anak kedua lahir. Saya sering ikut suami ke padang atau menjadi penonton tiap kali suami ada acara balapan. Tappi sekarang agak susah hendak menguruskan anak-anak selain keadaannya agak panas di tepi padang. Mungkin bila anak-anak sudah besar, kami semua akan jadi penyokong bintang sukan kami.
ISTERI KEDUA
Isteri kedua adalah isteri yang dinikahi. Isteri kedua adalah seorang manusia yang punya hati dan perasaan. Seringkali alpa dan rasa tidak pernah cukup walaupun hakikatnya dia perlu mensyukuri apa yang ada. Isteri kedua ini mestilah punya cita-cita untuk menjadi isteri terbaik di waktu susah dan senang. Isteri kedua itu adalah kita. Namun ada masanya tumpuan saya terlalu fokus kepada urusan rumahtangga dan anak-anak walhal keperluan dan kehendak suami yang patut jadi keutamaan. Saya harap suami saya maafkan saya kerana niat saya supaya hati suami saya tenang apabila anak-anaknya terurus dan rumah kemas dan bersih seadanya mengikut keupayaan saya. Saya sentiasa cuba jadi yang terbaik walaupun dilihat banyak yang masih kurang di sana sini.
ISTERI KETIGA
Isteri ketiga pula yang paling menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati mahu saja direbus buat makan malam suami. Isteri ketiga ini adalah telefon pintar!. Patutlah ia dinamakan telefon pintar, pintar sungguh ia ‘mengambil hati’ suami. Pantang suami lapang sedikit, mulalah dipaut hati suami suami dibelek-belek dirinya. Suami pun mulalah tersenyum simpul membaca pesanan ringkas kawan-kawannya dan status manusia-manusia di muka buku. Hati-hati, isteri ketiga kalau disalahguna boleh membuatkan suami punya niat tambah isteri keempat pula.
Habislah teori simptom isteri kedua saya. Jangan marah-marah nanti cepat tua. Yang buruk jadikan sempadan yang baik jadikan sempadan.