adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label tomato. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tomato. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Oktober 2015

My Fallen Heroes - Gugurnya Bunga Delima dan Matinya Pokok Tomato

Baru semalam gembira sebab salah satu bunga delima saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda menjadi buah manakala tiga lagi masih kekal di pokok. Itu cerita pagi semalam. Lewat petang semalam saya lihat dua putik bunga dari tangkai yang sama dah gugur. Nampaknya tak ada rezeki lebih untuk saya kali ini. Mungkin pokok baru nak belajar berbuah. Dapat sebiji pun saya sudah bersyukur. Bila dibelek-belek, nampaknya ada kudup bunga baru akan keluar dari ranting yang sama. Belum habis-habis lagi berbunga pokok delima yang satu ni.


Buah tomato yang ada dua biji juga semakin merah. Tak tahulah bagaimana rasanya sebab pokoknya sudah mati sejak dua minggu lepas. Sejak itu, tomato tidak membesar lagi. Cuma warnanya sahaja berubah warna dari hijau ke merah dari hari ke hari. Pokoknya mati mungkin kerana terlebih siram setelah hampir kekeringan bila ditinggalkan masa Aidiladha lalu.


Hari ini saya dedikasikan untuk my fallen heroes.

Isnin, 14 September 2015

Perkembangan Plot No. 2

Hujung minggu baru-baru ni kami dok diam-diam dalam rumah je. Jerebu makin lama makin teruk sampai dalam rumah pun Nampak kelabu asap je. Walaupun jerebu, encik suami masih kena keluar rumah ke padang untuk bersukan sempena sukan jabatan. Saya pula memang tak betah nak duduk dalam rumah seharian. Jadi petang Sabtu kelmarin saya kemaskan ruang laman depan rumah. Pokok pandan yang besar tu dah dicabut. Saya semai dua anak pokok untuk ditanam di belakang rumah. Nanti saya tunjuk besar mana rumpun pandan tu. Nampak kemas dan terang sikit laman depan tu.

Petang Ahad pula saya jenguk sikit laman belakang rumah. Nampaknya anak-anak pokok yang disemai minggu lepas sihat sejahtera. Pucuk-pucuk baru elok nampaknya termasuk pokok mulberi. Kalau ada pucuk baru tu maksudnya akar yang di dalam tanah tu pun dah muncul yang baru. Oleh itu, saya baja semua tanaman di laman belakang.


Inilah rupanya Plot No. 2 saya sekarang. Sisa rumput dah kering jadi jelas sikit Nampak anak-anak pokoknya. Pokok labu manis semakin panjang menjalar dan pokok timun juga sama tapi sedikit perlahan. Selasih Thai makin rimbun lepas saya buang pucuknya. Tomato dan cili juga sihat tanpa ada serangan kulat atau bena.

Anak-anak pokok di plot ini sekarang semua sedang berbunga kecuali selasih Thai. Selasih Thai hanya berbunga bila pokoknya kurang air jadi berbunga adalah salah satu caranya nak keluarkan benih. Ini adalah cara selasih dan herba-herba lain teruskan survival benihnya. Oleh kerana disiram setiap hari, maka masih belum ada bunga keluar. Mungkin bila dan tua sikit akan keluar bunganya.

Pokok tomato juga dah berbunga walaupun baru sekaki tingginya. Pokok yang ditanam dari “sucker” ini dah matang sebab itu berbunga cepat. Kalau ditanam dari benih, saya pasti belum masa untuk bunganya keluar. Pokok cili merah saya pun dah berbunga. Anak-anak cili padi ada sepokok dah berbunga manakala yang dua lagi sudah ada tanda nak berbunga.



Timun ini pula memang sejak dari mula tanam dah keluar bunganya tapi sehingga hari ini hanya bunga jantan yang keluar. Masih belum ada bunga betina yang keluar. Saya tak berhasrat nak letakkan pancang untuk timun saya ini sebab katanya kalau tak diletakkan pancang, hasil akan lebih sedikit. Pokok labu pun dah mula keluarkan tanda berbunga. Kalau diteliti, mungkin bunga jantan sahaja yang akan keluar dalam seminggu. Bunga betina macam belum nak muncul. Dulu saya pernah buang pokok labu saya sebab jemu menunggu bunga betina tak keluar-keluar. Kali ini saya nak tunggu lebih lama sedikit.



Jumaat, 11 September 2015

Kesian Pokok Tomato Saya

Kesian pokok tomato saya ni. Pokok ni ditanam menggunakan potongan saka. Awal pertumbuhannya memang sihat sejahtera tapi kemudiannya sedikit terabai sehingga kulat putih tumbuh di batangnya. Sebelum ini daunnya memang gemuk setiap kali dibaja. Saya kini sedang berusaha menumpukan usaha kebun hanya di plot belakang rumah sahaja. Di laman depan ini akan letak bunga hiasan saja. Jadi ini akan jadi pokok tomato terakhir laman depan.


Disebabkan keadaan pokok yang tidak elok, bunganya banyak gugur dan menjadi pun kecil sangat dan tanpa disedari dah bertukar merah. Besar hujung kelingking pun tak sampai.


Daunnya dan mengerekot dan kering. Ada banyak juga yang saya dah buang. Saya juga pernah cuci batangnya dari serangan tapi bertahan seminggu sahaja namun datang semula penyakitnya. 


Potongan “sucker”nya juga ada saya semai dan elok menjadi dan dahpun dipindahkan ke Plot 2 di belakang rumah. Pucuknya pernah kering tapi saya potong. Apabila dipotong, elok aja “sucker” ini tumbuh membesar.


Sekarang “sucker” ini  dah berbunga. Harapnya menjadi buah pengakhirannya. 


Selasa, 10 Mac 2015

Ada Enam Biji Kesemuanya...


Minggu lepas hanya sebiji sahaja tomato yang sudah mulai merah. Minggu ini ada lagi dua biji yang sedang ranum sementara tiga lagi masih hijau. Mungkin dalam minggu depan lagi tiga biji akan mulai ranum. Walaupun banyak bunga yang keluar tapi nampak gayanya masih belum ada putik baru yang muncul. 


Minggu ini hampir setiap hari hujan di Putrajaya. Disebabkan hujan yang turun sudah cukup untuk membasahkan tanah dalam pasu, maka saya tidaklah siram pokok-pokok di rumah. Hujan sedang elok sahaja lewat petang dan berakhir awal pagi. Siangnya pula matahari terang bersinar. Kalau keadaan berterusan sehingga habis semua pokok tomato berbuah memang betul-betul rezeki datang bergolek. Almaklumlah, kita ni bukannya rajin pun nak menyiram. Kalau tak bersiram memang layulah pokok.

posted from Bloggeroid

Khamis, 5 Mac 2015

Happiness is when..your tomato is turning red

Rasanya dah lama sangat tak tuliskan catatan berkenaan tanaman di rumah. Sebenarnya ada banyak nak di kongsi tapi tiap kali nak ambil gambar tanaman, hari dah hampir gelap ataupun masa tak cukup sesuai nak ambil gambar. Contohnya, waktu nak ambil gambar ada laki jiran keluar rumah. Malulah nak terkonteng-konteng kat pasu pokok. Ataupun masa tulah anak laju je berlari ke tengah jalan nak main bola. Sudahnya gambar yang diambil kabur. Nak tunjuk apa pun tak nampak dah.


Akhirnya petang semalam dapat ambil gambar buah tomato yang sedang bertukar merah. Baru sebiji. Adalah lima enam biji lagi sedang membesar. Bunga-bunga pun banyak keluar. Saya jentik-jentik manja sikit untuk galakkan pendebungaan. Sebaiknya buang pucuk-pucuk baru yang tumbuh di ketiak daun-daun supaya makanan tertumpu pada pertumbuhan buah, tapi malas dan tak ada masa yang cukup.


Cuma saya pelik, setiap kali tanam tomato bulat mesti tumbuh buah yang memanjang. Pernah sekali sahaja dapat pokok yang mengeluarkan buah yang bulat elok dan cantik. Di peringkat ini pokok perlu kerap disiram tetapi tidak terlalu banyak. Kalau kurang air kulit buah akan keras, kalau terlebih air pula nanti buahnya pecah. Minggu lepas saya ada letakkan baja dengan harapan buah yang dihasilkan manis bersari, elok merah cantiknya.


Rabu, 4 September 2013

Tomato Bulat Pecah – Minggu 13

Hujung minggu lalu, seperti biasa saya menjenguk kebun di belakang rumah. Tomato ceri di atas batas masih berbunga dan empat biji tomato ceri yang dan hampir ranum dipetik. Buahnya dicuci dan dimakan terus. Manis mengatasi rasa masamnya.

Sebiji tomato bulat juga sudah ranum dan dipetik. Buahnya disimpan dulu di dalam peti untuk disimpan bagi dijadikan bahan masakan. Disebabkan hujan lebat melanda Putrajaya pada setiap petang bermula minggu lalu, penghasilan buah tomato bulat saya kurang cantik bentuknya. Nampaknya terlalu banyak air diterima pokok tomto bulat saya. Buahnya pecah-pecah.

Untuk mengatasi perkara ini, pokok tomato perlu dipastikan kerap disiram jika cuaca terlalu kering. Terlalu banyak nutrient yang diterima juga boleh menyebabkan buah tomato terpecah. Perubahan cuaca yang ketara juga boleh menyebabkan buah terpecah. Walaupun penghasilan buah yang pecah merosakkan rupa buah, namun rasanya tidak terjejas. Perkara ini biasa terjadi bagi tomato yang ditanam di rumah. Ianya boleh dielakkan namun sukar kerana kita tidak dapat mengawal perubahan suhu atau cuaca secara semulajadi yang mendadak. Buah hijau yang mula terpecah juga boleh dituai dan dinikmati dengan memasaknya mengikut resepi yang betul.


Selasa, 3 September 2013

Tomato Ceri Depan Rumah – Minggu 13

Selain ditanam di atas batas di kawasan belakang rumah, saya turut menamam tomato ceri dan tomato bulat di dalam pasu. Walau bagaimanapun hanya sepokok saja bagi setiap satu jenis ditanam dan diletakkan di bahagian hadapan rumah. Kawasan ini agak teduh pada sebelah pagi dan mula beransur menerima cahaya matahari sekitar tengahari hingga ke petang.

Pokok-pokok tomato ini ditanam dalam medium berkompos dan tanah dilitupi sepenuhnya dengan daun-daun kering. Ianya dipindahkan sepasu pada minggu ketujuh iaitu ketika pokok-pokok tomato di belakang rumah mulai berputik. Seminggu selepas di pindahkan, ianya mula berbunga namun tidak berputik. Pokok pula mula diserang bena putih sedangkan ini tidak berlaku bagi pokok-pokok di batas. Kebetulan pula saya terpaksa tinggalkan pokok tidak bersiram beberapa hari menyebabkan daun bergulung dan kekeringan di bahagian hujung.

Selepas mendapati bunga yang terhasil tidak berputik, saya tanam pokok selasih thai di dalam pasu letakkan betul-betul di bawah pokok tomato. Beberapa hari kemudian, kehdiran bena putih semakin berkurang. Apabila selasih mula berbunga, bunga-bunga tomato juga mula berputik. Nampaknya selasih memang teman terbaik untuk tomato. Saya hanya baja sekali sahaja pokok-pokok tomato di dalam pasu ini. Saya rasa saya patut bajanya setiap dua minggu namun tidak berkelapangan. Dengan adanya daun-daun kering yang menutupi permukaan medium tanaman, tiada rumpai tumbuh. Maka kuranglah persaingan untuk mendapatkan nutrient di dalam tanah. Cuma tanah perlu dipastikan tidak kering untuk elakkan kekeringan.

Sabtu lalu, saya mulakan pagi saya dengan bersarapan tomato ceri yang manis dari pokok yang ditanam dalam pasu ini. Tomato bulat masih belum berputik namun bunganya tidak gugur. Mungkin kali ini bunganya akan berputik setelah dibantu pendebungan dari serangga kecil yang terbang dari bunga selasih Thai.

Khamis, 29 Ogos 2013

Tomato Hijau Bertukar Merah

Kata-kata ini memang kena pada masanya. :-)


Gambar dari laman fb Grow Food, Not Lawns

Tomato Bulat Berubah Warna – Minggu 12


Pokok tomato bulat ini disemai pada hari yang sama saya semai tomato ceri iaitu kira-kira 12 minggu lalu. Pada Isnin yang lepas sebiji buah tomato yang pertama berputik pada minggu ketujuh telahpun berubah warna oren kehijauan. Esoknya, warna orennya semakin terserlah. Namum semalam saya tidak dapat menjenguk perkembangannya kerana lewat tiba dirumah. Tambahan pula hujan agak renyai petang semalam. Jadi suasana agak kelam untuk mengambil gambar tomato yang cantik itu. Hari ini harapnya berkesempatan menjenguk tomato bulat pertama saya. 

Kalau diperhatikan baik-baik gambar itu, jelas kelihatan pokoknya telah rebah ke bumi. Saya ada sediakan beberapa pancang namun belum berkesempatan memasangnya. Kalau tidak dipancang, bimbang pokok batas akibat menangunggung berat buat. Kalau dipancang, teguhlah sedikit pokok berdiri. Setakat ini pokoknya baik-baik saja.


Rabu, 28 Ogos 2013

Manisnya Tomato Ceri Ranum! – Minggu 12


Akhirnya Isnin lepas saya telah tuai dua biji tomato ceri saya yang pertama untuk tahun ini. Tomato ceri ini mengambil masa kira-kira seminggu untuk benar-benar ranum. Buahnya manis sekali namum kulitnya agak tebal dan sedikit keras dikunyah. Selepas menyiram tanaman saya petang itu, saya segera petik dan makan begitu saja. Sengaja dimakan mentah untuk merasa kemanisan tomato ceri segar. Kalau sempat minggu ini saya mahu semai lagi tomato ceri untuk pusingan kedua. Rugi pula rasanya tidak tanam lebih pokok tomato ceri di atas batas. Semaian pusingan pertama masih berbaki beberapa pokok di dalam pasu. Pokoknya masih kecil kerana tidak dipindahkan ke batas besar namun sihat. Mungkin saya boleh cuba alihkan ke batas semaian yang berbaki.


Khamis, 22 Ogos 2013

Tomato Ceri Mula Ranum - Minggu 11


Tomato ceri saya telahpun berumur 11 minggu bermula dari tarikh ianya disemai. Kelmarin telah kelihatan buahnya sudah mula bertukar warna jingga. Ini gambar pada hari Selasa lepas. Semalam telah hampir kemerahan. Mungkin hari ini atau esok mula ranum. Kecur air liur melihat warnanya yang menyerlah. Buah tomato ceri yang dua biji ini adalah yang pertama untuk pusingan ini dan telah mula berputik pada minggu ketujuh. Nampakanya ia mengambil masa kira-kira hampir 4 minggu untuk ranum. Saya baja pokok tomato ceri ini dua minggu sekali dan sejak ia mula berputik, baja foliar disembur hampir selang sehari. Tak sabar nak merasa hasil tomato tanam sendiri ini. Harap buahnya manis. Saya bercadang untuk tuai hari ini bersama sedikit serai dan daun selasih. Cadangnya nak buah bahan sebagai cicahan kuah asam jawa untuk digandingkan dengan ikan siakap bakar bersambal berulamkan daun selasih. Makan dengan nasi panas memang menaikkan selera.


posted from Bloggeroid

Khamis, 15 Ogos 2013

Tomato Meriah Berbuah Hijau - Minggu 10


Sepanjang hampir dua minggu bercuti di kampung, kepala asyik teringat pada segugus tomato ceri dan tomato bulat di kebun sejemput. Ingatkan sudah mulai ranum dalam tempoh dua minggu, rupanya masih hijau. Namun begitu, apa yang membuatkan saya bertambah teruja adalah putik tomatonya makin bertambah. Sekarang ada lebih kurang sedozen tomato ceri dan setengah dozen tomato bulat. Itupun ada juga kelihatan beberapa kuntum bunga luruh kerana tidak didebungakan. Maklumlah, tiada yang tinggal di rumah untuk ‘menggoyang’ pokok tomato saya. Sejak tiba di Putrajaya kelmarin, saya lihat banyak rama-rama dan beberapa serangga terbang yang terbang di sekitar kawasan kebun sejemput. Selasih Thai saya mulai berbunga. Sepertimana yang dikatakan dalam blog tanamsendiri.com, bunga selasih mampu menarik serangga kecil yang terbang seperti kelulut atau rama-rama yang membantu pendebungaan. Mungkin mereka membantu mendebungakan bunga-bunga tomato saya. Kudup-kudup bunga baru juga masih ada yang mulai muncul menjanjikan buah tomato lagi. Alhamdulillah pokok-pokok tomato masih teguh walaupun ada sedikit tanda kekeringan. Melalui laporan kajicuaca, Putrajaya kerap juga hujan dalam tempoh dua minggu lalu. Cuma hujannya tidak setiap hari. Mujurlah hujan sedikit daripada kemarau terus. Saya merancang hendak membaja hujung minggu ini dan membuat ‘housekeeping’ sedikit di kawasan kebun. Lalang dan bunga rumpai sudah mula menular pertumbuhannya.

posted from Bloggeroid

Khamis, 1 Ogos 2013

Tomato Berbuah dan Berbunga Lagi... - Minggu 8


Sejak mula berbunga dan berputik minggu lalu, ketiga-tiga pokok tomato saya makin galak berbunga. Yang dah berputik minggu lalu pun semakin besar. Buah tomato ceri yang dua biji itu sudah semakin menghampiri saiz sebenarnya. Mungkin selepas Aidilfitri dapatlah saya merasa tuaian tomato ceri pertama saya. Tomato bulat kini ada tiga biji. Mungkin mengambil lebih masa sedikit untuk membesar dan ranum. Minggu lalu kesemua pokok tomato telah dibaja. Saya semburkan baja foliar setiap hari. Alhamdulillah pokok-pokok tomato saya nampak sihat tanpa bena putih atau serangga perosak yang lain. InsyaAllah pokok-pokok tomato saya akan berputik dengan lebih galak sepanjang cuti Aidilfitri minggu depan.




posted from Bloggeroid

Khamis, 25 Julai 2013

Tomato Mula Berputik - Minggu 7


Alhamdulillah. Tomato ceri saya telah mula berputik manakala tomato bulat juga telah mula gugurkan kelopak bunganya semalam. Sejak mula berbunga, saya jentik manja bunganya sebagai pemangkin pendebungaan. Nampaknya menjadi. Setakat pagi ini, putiknya sebesar hujung jari kelingking saya. Bunga-bunga tomato pada pokok tomato yang sama juga mula berkembang. Tak sabar menunggu masa tomato sedia dipetik. Semalam saya telah letakkan baja tinja ayam dan baja cecair disembur setiap hari. Agaknya berapa masa lama tomato sedia dipetik dari hari ia mula berputik?


posted from Bloggeroid

Isnin, 15 Julai 2013

Tomato Mula Berbunga - Minggu 6

Dua minggu lalu, saya telah pindahkan semaian tomato ceri dan tomato bulat saya ke batas. Minggu ini, umur kedua tomato tersebut telahpun berumur 6 minggu. Setelah dibaja pada minggu lepas, saya dapati pokok-pokok tomato tersebut sihat dan kuat. Pagi ini, kedua-dua pokok tomato bulat di batas telah mula menunjukkan tanda-tanda mengeluarkan bunga. Adakah terlalu awal? Wajarkah saya buang dahulu kudup bunganya untuk membolehkan pokok membesar lagi? Berdebar pula dibuatnya. Pokok-pokok tomato ini setinggi kira-kira sekaki sekarang. Sudah agak lama saya tidak menanam tomato sehingga tahap berbunga. Mungkin kerana sekarang saya agak bersungguh berkebun. Tak sabar rasanya nak menuai tomato segar.




posted from Bloggeroid

Isnin, 1 Julai 2013

Tomato Alamanda - Minggu 4


Minggu ini Tomato Alamanda saya dah berumur 4 minggu. Pokok tomato ini telah mengeluarkan pasangan daun sebenar yang ketiga sejak dialihkan ke dalam pasu 2 minggu yang lalu. Hujung minggu ini, insyaAllah saya akan pindahkannya ke batas. Batang pokok tomato juga telah agak kuat sekarang.
posted from Bloggeroid

Sabtu, 22 Jun 2013

Tomato Ceri Alamanda - 2 Minggu


Tomato ceri ini pun saya tak tahu dari varieti apa. Sebagai rujukan, saya namakan benih tomato ceri ini Tomato Ceri Alamanda sebab biji benihnya diambil segar dari tomato ceri yang saya dibeli dari Alamanda sebagai ramuan salad saya. Benih ini disemai pada hari yang sama dengan Tomato Alamanda saya. Umurnya 2 minggu dan telah dialihkan ke pasu individu sebahagian kecilnya. Sebahagian lagi disimpan sebagai benih simpanan. Batang pokoknya berwarna sedikit keunguan dan daunnya agak kecil berbanding daun Tomato Alamanda.

Ia mula tumbuh pada hari keempat selepas disemai dan saya telah letakkan di kawasan yang terima cahaya matahari separa setelah semaian berumur kira-kira 1 minggu. Setelah pasangan daun sebenar keluar, semaian dialih dengan menanam sebahagian besar batangnya. Ini bagi membolehkan semaian mengembangkan akarnya. Semaian disiram setiap pagi sekali sehari. Jika tanah terlalu lembap, dibimbangi semaian mati akibat akar lemas.


Benih semaian berumur 2 minggu sebelum dialih.


Benih semaian berumur 4 hari selepas hari semaian.

posted from Bloggeroid

Khamis, 20 Jun 2013

Tomato Alamanda - 2 Minggu


Ini beberapa semaian benih tomato yang benihnya saya dapat dari tomato segar. Memandangkan tomato ini saya beli dari Alamanda maka saya memandai-mandai namakannya Tomato Alamanda. Benih ini dah berumur 2 minggu pada hari ini bermula dari tarikh ianya disemai. Saya alihkannya ke pasu yang lain bagi memberinya ruang yang lebih besar untuk berkembang. Saiznya kira-kira 2 inci dan saya kambuskan sebahagian batangnya supaya ia dapat membentuk lebih banyak akar. Benih dalam pasu merah jambu adalah benih yang paling sihat. Benih harapanlah kiranya. Benih-benih dalam pasu hijau perlu bersaing dan benih yang paling kuat akan disimpan. Benih lain dalam pasu besar adalah benih simpanan.


Benih Tomato Alamanda berumur 2 minggu sebelum dialih.


Benih Tomato Alamanda berumur 5 hari selepas disemai. Benih mula didedahkan dengan cahaya matahari redup sepanjang hari supaya lebih kuat.
posted from Bloggeroid

Jumaat, 18 Januari 2013

Misi Menyelamatkan Tomato - Minggu 9


Pukul 5.30 pagi tadi Ameer yang suam-suam badannya terbangun. Dia beritahu dia nak bawa bekal air “nasi” ke “sekolah”. Air “nasi” tu air barli lah maksudnya. Nasib baik di rumah ada dua tin “pearl barley” cap ayam. Air barli memang sedap diminum untuk menyejukkan badan. Ia merupakan makanan sunah Rasulullah dan baik untuk meredakan demam. Maka, bangunlah si ibu menyediakan air barli permintaan si abang. Biasanya saya akan rebus barli selama setengah jam dan biarkan barli itu berendam dalam air rebusannya semalaman supaya betul kembang. Kemudiannya rebus kembali dalam setengah jam keesokan paginya. Setelah itu, masukkan gula untuk menambahkan keenakkannya. Disebabkan kesuntukan masa hari ini, saya rebus sejam sahaja. Maka kuranglah kembang biji-biji barli. Namun, rasanya tetap boleh tahan. Jadi, hari ini Ameer bawa bekal air barli dan Cucur Ikan Bilis Bancuhan Air Panas untuk ke "sekolah". Biasanya bawa roti dan susu kotak sahaja. Sempat jugala ibu mengoreng cucur pagi tadi.

Sementara menunggu barli direbus, saya jenguk tanaman dalam gelap subuh. Pagi tadi saya nekad nak menjalankan misi menyelamatkan benih-benih tomato saya. Sudah dua hari bumi Putrajaya tidak dibasahi hujan. Oleh kerana tanaman hanya disiram sekali sahaja sehari, maka sudah terbit bibit-bibit kelayuan pada kebanyakan tanaman saya. Ada yang hampir kekuningan warnanya. 
Tomato yang ditanam di tanah dan di dalam pasu merah jambu telahpun tumpas mati kekeringan. Dalam pasu hijau pula, masih ada empat benih yang masih hidup. Namun, keadaannya agak menyadihkan kerana diserang kulat daunnya. Saya ambil dua benih yang paling sihat dan pindahkan ke dalam pasu yang lebih besar. Kalau dilihat, saya tanam agak dalam untuk membolehkan benih-benih ini mengeluarkan akar-akar baru. Saya campurkan tanah berkenaan dengan sesudu kecil baja tahi ayam untuk memberi sumber nutrisi kepada benih-benih yang akan dipulihkan ini. Usai dialihkan, saya siram tanahnya dengan air dan mandikan benih-benih tersebut dengan semburan baja organik.
Saya harap usaha saya ini berhasil. Pengajaran yang saya dapat hari ini adalah, kalau rasa benih sudah patut dipindahkan ke pasu yang lebih besar, cepat-cepatlah buat sebelum terbantut pembesarannya. Kalau tidak siapa yang rugi? Saya juga. Saya rasa sepatutnya benih-benih ini dipindahkan ke pasu yang besar pada minggu ke 4 atau minggu ke 5 sewaktu pokok galak mengeluarkan akar baru iaitu selepas dipindahkan kali pertama.

Selesai kerja-kerja pemindahan, azan subuh pun berkumandang. Maaflah kalau gambar-gambarnya gak gelap. Maklumlah waktu subuh hening.

posted from Bloggeroid

Jumaat, 11 Januari 2013

Tomato ke saya yang merajuk? - Minggu 8



Sudah hampir dua minggu saya tidak “update” apa-apa mengenai tanaman tomato saya. Dua minggu lalu, saya telah tanam sepasu benih saya ke atas tanah. Manakala yang lain saya pindahkan ke tempat yang terkena cahaya matahari penuh. Selepas seminggu, saya lihat daun mula kekuningan dan perkembangannya agak terbantut. Saya kira mungkin kurang bekalan makanan walaupun disiram setiap hari. Saya pun letakkan baja untuk setiap pasu. 
Eloklah daunnya sedikit bagi yang masih di dalam pasu. Yang sudah ditanam di atas tanah, tidaklah gugur satu-satunya daunnya. Namun begitu, pertumbuhannya masih perlahan. Dalam penafian, saya akui, mungkin cuaca yang agak panas sebelah pagi sedikit sebanyak menganggu pertumbuhannya. 
Saya rasa pokok-pokok tomato saya merajuk. Tapi saya juga merajuk manja. Enggan alihkannya. Tapi kasihan pula. Kalau mati kesemuanya kemudian hari, sia-sia sahajalah usaha saya selama ini. Hujung minggu ini saya akan dapatkan pasu yang besar dan alihkan benih-benih ini ke kawasan yang redup tapi terima cahaya matahari pagi. Harapnya usaha saya ini untuk menjaganya sehingga boleh dituai hasilnya berkesudahan dengan baik. Insya Allah.

posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...