Sejak kali terakhir mulberi saya berbuah dengan lebat, tiada lagi putik buah yang muncul walaupun telah hampir togel pokok dipangkas berulang kali. Dahan tumbuh bersilih ganti dengan daun yang lebat umpama pokok sudah naik mabuk daun. Baja juga sudah diletakkan namun masih belum berputik. Setelah dikaji, saya cuba-cuba cara yang saya jumpa di Internet berdasarkan pengalaman orang.
Tiga minggu lalu, saya pun mula membuang daun-daun mulberi pada salah satu pokok yang mempunyai dahan yang sudah agak meninggi. Setelah dibuang daun, saya melenturkan dahan itu dan ikat hujung dahan dengan menggunakan dawai lembut ke pangkal pokok. Dua minggu kemudian saya letakkan baja dan siram setiap hari. Pokok diletakkan di kawasan yang terkena cahaya matahari penuh sepanjang hari.
Awal minggu ini sudah kelihatan putik daun mulai keluar. Akhirnya semalam jelaslah memang ada beberapa putik buah turut kelihatan. Dari beberapa mata tunas yang berpotensi, hanya ada tiga mata tunas yang mengeluarkan dahan. Nampaknya dengan cara ini pokok tak perlu dicantas untuk mendapatkan dahan baru. Apa yang perlu dibuat hanyalah buang daunnya dan lenturkan dahannya. Dalam percubaan akan datang, saya akan cuba buang daunnya sahaja tanpa melenturkan dahan. Jika berjaya, maka salah satu faktor pengeluaran dahan baru adalah mungkin disebabkan daunnya dibuang.
Sekarang ini tumpuan saya adalah untuk memastikan pokok disiram setiap hari dan dibaja pada setiap dua minggu. Minggu ini nampaknya pokok perlu dibaja untuk memberi makanan tambahan kepada pokok dalam menghasilkan buah yang baik. Petang semalam juga saya mengambil kesempatan membuat kaedah yang sama pada pokok-pokok mulberi saya yang lain. Harapnya dapatlah hasil buah mulberi yang lebih kali ini dengan usaha saya ini.
posted from Bloggeroid
HMM..BEGITU CARANYA YA...TERINGIN JUGA NK TANAM POKOK NI...
BalasPadamCubalah, nanti kongsikan macam mana hasilnya.
PadamSalam Wanie,
BalasPadamMak Aji pun ada perhatikan di FB beberapa orang yang menggunakan kaedah ini untuk menggalakkan pengeluaran tunas/buah. Mak Aji pula cukup sekadar mencantas pucuk dan buah baru dah keluar. Jadi belum lagilah mencuba kaedah ini. Moga tuaian mulberi akan banyak selepas ini!
Salam Mak Aji,
PadamSaya dulu cantas juga dan memang ada putik buah, tapi tiba-tiba mabuk daun kenalah cuba cara ni pula. Harapnya berhasillah..