Secara puratanya setiap bulan hanya ada satu catatan sahaja dicatatkan dalam blog ini pada setiap bulan. Bukannya tiada bahan yang hendak dikongsi, tapi dek kerana kekangan masa dan keadaan tidak mengizinkan maka bahan yang hendak dikongsi lapuk sahaja ditelan masa.
Walaupun agak sibuk, hari ini dikuatkan semangat untuk mencoret sesuatu. Sejak beberapa bulan lalu, saya gigih mengumpul sisa-sisa dapur untuk dijadikan kompos. Baki tanah dari tanaman lalu yang sudah kurang subur turut digaul sama. Minggu lalu Alif dijangkiti chicken pox. Maka saya mengambil cuti rehat selama tiga hari untuk menjaganya.
Di kesempatan itu, sempatlah saya mengemas kini keadaan pokok tanaman hiasan saya. Sempat juga tanah kompos yang dah menjadi digaul dengan sedikit baja tinja ayam organik. Setelah dibuang rumpai yang berselirat di dalam pasu tanaman, saya tambahkan medium tanaman dalam pasu dengan campuran kompos, baja dan tanah. Alhamdulillah, berkat disiram setiap hari nampaknya pokok-pokok nampak segar.
Yang paling membuat saya teruja adalah pokok Yesterday, Today and Tomorrow yang tidak henti-henti berbunga selepas beberapa hari dibaja. Harumnya semerbak menyelusup seluruh ruang tempat letak kereta. Ini membuatkan saya lebih bersemangat. Sejak saya menyertai beberapa kumpulan yang “gila bertanam” di Facebook, makin bertambah semangat. Inilah dinamakan pengaruh rakan.
Sementara Alif tidur, sempat juga saya mengalihkan pasu-pasu bunga yang ada agar tampak lebih kemas dan teratur. Dahan-dahan dan dedaun yang tidak menarik pada pandangan mata segera dicantas. Sebenarnya, pokok tampak lebih menarik jika kerap dipangkas. Cuma masalahnya malas nak mencari masa.
Saya juga nak kongsi satu-satunya jenis ros jepun yang ada di laman saya. Benihnya saya dapat dari rumah Acik Sam. Jenis yang warna bunganya kuning masih dalam peringkat semaian. Jenis-jenis lain sudah tiada kerana sayangnya telah dimesin oleh pemotong rumput Bangladesh. Sedihnya.
Petang ini saya akan ke Pasar Malam Putrajaya. Hajat di hati hendak membeli sepokok pokok kemuning dan ros jepun. Buat penambah koleksi bunga wangi dan penambah seri laman.
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan