Saya sebenarnya tidak berhasrat untuk membincangkan hal-hal
kerjaya saya dalam blog ini. Namun, mutakhir ini saya terpanggil untuk berkongsi
pengalaman saya yang setahun jagung ini. Pada saya tidak ada salahnya saya
berkongsi pengalaman sendiri. Lagipun, semakin lama semakin pudar memori di
kotak fikiran saya seiring dengan pertambahan usia. Dengan pertambahan usia,
tanggungjawab juga bertambah baik sebagai isteri, ibu dan juga pekerja. Zaman juga
sudah berubah. Pengalaman saya mungkin tidak sama dengan keperluan semasa namun
dapat dijadikan asas panduan.
Saya mendaftarkan diri untuk memasuki skim perkhidmatan
tadbir dan diplomatik (PTD) sekitar tahun 2007. Sebelum saya berada di dalam
kedudukan sekarang, saya telah menduduki peperiksaan PTD sebanyak dua kali,
menghadiri PTD Asssesment Center
(PAC) sebanyak dua kali dan temu duga sebanyak tiga kali. Kenapa tapisan dua
kali tetapi temu duga tiga kali? Sebab selepas temu duga kali pertama saya
dipanggil sekali lagi untuk temu duga tanpa perlu menduduki peperiksaan dan
menghadiri PAC. Agaknya markah peperiksaan dan PAC saya agak memberangsangkan jadi
dipanggil untuk temu duga sekali lai. Agaknyalah. Saya pun tak tahu. Kemudian saya
dilantik secara kontrak selama dua tahun dan ketika itu saya nekad untuk
menyelesaikan apa yang saya dah mulakan. Saya isi borang semula dan menduduki
peperiksaan semula. Menghadiri PAC sekali lagi dan bersedia untuk temu duga sekali
lagi. Pada masa ini suami saya telah berjaya dilantik ke dalam perkhidmatan
setelah dipanggil temu duga buat kali kedua seperti mana saya. Alhamdulillahlah
saya dilantik setelah berkhidmat secara kontrak kurang daripada setahun. Tidak semua
orang melalui pengalaman yang sama. Ada juga orang telah mengharungi setiap
peringkat berkali-kali saban tahun, namun rezekinya Allah telah tentukan. Ada rezeki
juga yang perlu melalui setiap peringkat sekali sahaja seumur hidup.
Saya kurang pasti bagaimana format peperiksaan yang akan
dilalui pada 1 November ini, yang pastinya ia dilakukan secara atas talian. Saya
pasti, peperiksaan yang diadakan mempunyai objektif yang sama seperti mana dulu.
Bagi mencari individu yang peka dengan isu semasa, tangkas dalam menyelesaikan
masalah, pandai mengolah pendapat dan mempunyai personaliti yang baik. Objektif
tu saya agak begitulah melihatkan kepada jenis-jenis soalan yang tanya.
Untuk catatan kali ini saya nak kongsi tip peperiksaan
sahaja. Saya cuba bagi yang terbaik, ringkas dan padat. Peperiksaan PTD
mempunyai empat seksyen iaitu Pengetahuan Am, Daya Menyelesaikan Masalah, Esei
Bahasa Melayu dan Esei Bahasa Inggeris. Bagi yang mencari soalan-soalan
ramalan, sukacita dimaklumkan bahawa di sini bukanlah tempatnya. Soalan-soalan
yang boleh didapati secara meluas di Internet bukanlah soalan ramalan, tetapi
hanya contoh soalan sahaja. Pandangan saya, soalan peperiksaan PTD bukan seperti
mana soalan peperiksaan lain yang boleh di kompilasi atau diramal seperti mana
soalan peperiksaan lain. Banyakkan membaca pelbagai sumber khususnya hal ehwal
dalam negara. Membaca kan jambatan ilmu?
Untuk seksyen pengetahuan am, soalan-soalan yang ditanya
dapat dijawab dengan mudah sekiranya anda seorang yang peka kepada isu-isu
semasa dari pelbagai bidang. Seingat saya soalan yang pernah ditanya kepada
saya adalah siapa pengarah filem Puteri Gunung Ledang. Soalan pasukan mana yang
memenangi liga-liga bola sepak utama Malaysia juga pernah ditanya. Saya juga
termenung agak panjang apabila ditanya nama beregu Malaysia yang memenangi
pingat dalam sukan ping pong di peringkat antarabangsa. Ada juga soalan yang
menyebut tentang karya sastera negara dan jawapannya adalah siapa penulis karya
tersebut. Jawapan yang saya dapat akhirnya adalah Krishen Jit. Macam mana saya
boleh ingat soalan-soalan ini? Sebab saya bengang tak dapat jawab. Jadi kesimpulannya,
jangan hadkan pengetahuan kepada bidang yang anda minati sahaja. Banyakkan membaca
atau menonton program-program isu-isu semasa dan tidak semestinya bahan ilmiah.
Sebaiknya mulakan amalan cakna isu semasa setahun lebih awal.
Pernah dengar penaakulan mantik? Pernah cuba soalan menguji
IQ? Untuk seksyen kedua ini banyak menggunakan logik akal. Ya, memang
sebahagian besarnya adalah soalan matematik. Tapi tidaklah sehingga memerlukan
anda tahu matematik tambahan. Cukup sekadar tahu asas tambah, tolak, darab dan
bahagi. Soalannya menjurus kepada permasalahan harian. Seingat saya soalan yang
saya pernah jawab adalah pengiraan cukai, tempoh perjalanan serta jarak. Saya tidak
ada tip khusus untuk seksyen ini. Jujur saya katakan saya hanya dapat menjawab
sebahagian sahaja soalan kerana tempoh masa yang ditetapkan adalah singkat
berbanding jumlah soalan. Tambahan pula pengiraan melibatkan nombor 5 hingga 7
digit tanpa penggunaan kalkulator. Bagi yang biasa dengan kerja kira-kira
seperti akauntan mungkin agak mudah. Mungkin boleh cuba asah-asah ketajaman
fikiran dengan kerap bermain sudoku.
Untuk seksyen penulisan esei agak umum tapi memerlukan
seseorang yang cakna isu-isu semasa khususnya melibatkan dasar-dasar negara. Seingat
saya isu yang ditampilkan sewaktu saya menduduki peperiksaan dahulu adalah isu
Pulau Batu Putih yang melibatkan isu kedaulatan negara, isu ekonomi juga pernah
ditanya. Cuba bayangkan orang tuli ekonomi macam saya cuba mengarang esei yang memerlukan olahan pendapat yang bernas
dan jitu. Dalam seksyen ini, cuba sampaikan pendapat anda dengan tulisan yang
kemas, lontaran idea yang mudah difahami namun ‘nampak’ kecerdikan anda melalui
gaya bahasa yang baik, perbendaharaan kata yang luas menunjukkan anda seorang
yang matang.
Seingat saya dulu, ada satu lagi ujian personaliti yang
perlu diambil. Soalannya tidak ada jawapan yang betul. Bentuk soalannya
memerlukan anda menjawab dengan jujur dan konsisten. Contohnya adakah anda
pernah menipu? Adakah anda pernah dipanggil oleh guru besar? Adakah anda kerap
marah? Saya percaya soalan-soalan ini diperlukan bagi mengenali tahap kesihatan
mental seseorang. Anda tentu tidak mahu berurusan dengan seorang pegawai
kerajaan yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Begitulah seadanya perkongsian saya. Saya doakan calon-calon
yang akan menduduki peperiksaan ini sentiasa berlapang dada. Gagal tidak
menjadikan anda seorang yang tewas dan yang berjaya tidak menjadikan anda lebih
bagus dari orang lain. Percaya dengan rezeki yang Allah berikan. InsyaAllah.