adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Jumaat, 30 Januari 2015

Januari Tanpa Facebook


Saya telah bersama Facebook (FB) sejak tahun 2009. Itu pun setelah ramai ahli keluarga memujuk untuk membuka satu akaun agar dapat bersama-sama berkongsi gambar dan pelbagai cerita. Jumlah rakan-rakan semakin bertambah saban hari. Ada juga rakan yang saya kurang pasti sama ada saya betul-betul mengenali mereka. Lama-kelamaan saya mula memilih untuk tidak menerima orang saya tidak kenali sebagai rakan dalam talian dan mulai mengeluarkan orang saya kurang kenal dari senarai rakan saya.

Bersama FB, hidup saya ibarat budak-budak dengan peti ais. Setiap minit pasti ingin melihat apa di dalamnya sedangkan tidak ada apa yang baharu pun. Kematangan setiap status yang dimuat naik oleh rakan-rakan seiring dengan kematangan usia mereka. Dari yang bergambar seorang diri sudah ramai yang memuat naik gambar bersama anak dan pasangan. Tak kurang juga yang masih bergambar sendirian. Pelbagai telahan dibuat tatkala melihat rakan-rakan memberitahu seisi pelosok alam kegembiraan, kesedihan, kemewahan, kemarahan dan pelbagai emosi yang bercampur baur yang sedang dialaminya. Status yang marah-marah kadangkala dicurahkan lagi minyak. Status yang kecewa ditambah lagi luka yang ada. Tak kurang juga dipersoalkan niat menunjukkan beg tangan mewah yang baharu, rumah besar siap diubahsuai bak istana dan keenakan bersantap di restoran mewah.

Bisikan syaitan sentiasa hadir membisikkan kata-kata nista dan dipujuk rayu supaya diluahkan agar dapat persahabatan yang dijalinkan bertemu pengakhiran. Syaitan juga tidak lupa membisikkan supaya berkongsi apa yang kita ada tetapi orang lain tidak ada dengan niat untuk berkongsi kegembiraan. Hakikatnya, setiap saat FB diperiksa sama adakah “LIKE” terbaru diterima tanda hati mendambakan pujian.

Dengan FB juga, masa untuk insan tersayang terpaksa dicatu. Sampai bila saya harus hidup begini. Akhirnya, pada satu malam tahun baru 2015, saya menyahaktifkan akaun FB saya dan “uninstall” aplikasi FB dari telefon saya. Hari ini genaplah 30 hari hidup saya tanpa FB dan inilah yang saya alami.
  1. Saya punya masa untuk bersenam : sebelum ini masa saya banyak dihabiskan dengan duduk-duduk sahaja atau berbaring sambil mengadap FB. Niat untuk bersenam sentiasa menjadi niat tanpa usaha untuk merealisasikannya dengan alasan tak ada masa. Tanpa saya sedar saya punya masa untuk bersenam sekurang-kurangnya dalam masa 15 minit setiap pagi dan mampu membakar kalori sebanyak 150 kalori! Sebelum ini pun saya akan bangun sekitar jam 5.30 pagi dan kini pagi saya dimulakan dengan senaman. Dalam tempoh seminggu bersenam dengan basikal senaman saya, saya rasa lebih bertenaga dan badan semakin ringan. Badan sihat (dan jadi kurus) dah menjadi bonus kepada saya.Saya masih belum timbang berat terkini saya tapi kerani saya bagitau saya nampak kurus sikit (hahaha - lepas tu bedal nasi lemak tiga hari berturut).
  2. Saya lebih banyak mendengar : dengan FB, segala berita sama ada yang benar atau spekulasi hanya saya dapat melalui perkara-perkara yang dikongsi oleh kawan-kawan FB. Tanpa FB, saya kini banyak mendengar untuk mendapatkan maklumat. Saya lebih tekun mendengar setiap butir perkataan yang orang khabarkan kepada saya terutamanya suami saya. Saya lebih cakna terhadap apa yang orang-orang tersayang saya iaitu suami dan anak-anak ceritakan kepada saya. Fikiran saya sudah tidak terisi dengan hal-hal remeh tentang kehidupan orang lain. Saya sudah tidak peduli apa orang makan hari ini, pakai baju warna hari ini, bergaduh dengan siapa hari ini atau apa yang dibeli hari ini. Ruang kosong dalam kotak pemikiran saya hanya di isi perkara yang saya mahu dengar. Kalau saya mahukan cerita saya dengar dari suami dan anak-anak. Kalau saya mahukan informasi hal ehwal semasa saya akan dengar berita.
  3. Saya punya masa untuk membaca : Rupa-rupanya banyak juga masa lapang saya. Masa yang diluang untuk FB dulu kini saya isi dengan membaca. Dalam tempoh satu bulan ini belum habis lagi mana-mana buku. Saya banyak membaca akhbar atau blog-blog pilihan saya. Dulu, tanpa disedari saya banyak membaca status daripada "wartawan tak bertauliah" dan "pengulas tak bertauliah" yang mengulas berita-berita yang belum pasti atau berita/maklumat yang diterima separuh masak. Sekarang kepala saya kurang semak dengan spekulasi cuma kadang-kadang kala agak ketinggalan dengan perkara yang dihebohkan.
Terlalu awal lagi untuk saya simpulkan apa yang dapat dengan meninggalkan FB. Cuma apa yang saya pasti, terlalu banyak benda menarik dalam hidup kita untuk kita raikan.

Below are my favorite articles on life without facebook which generally sums up what I experience these last 30 days :

  1. 21 Reasons Why Life without Facebook is Totally Awesome
  2. How 30 Days Without Social Media Changed My Life
  3. Walled-in: Life Without Facebook
  4. The anti-social network: Life without Facebook
  5. My Life Without Facebook: A Social Experiment
...and a few more.

Selasa, 27 Januari 2015

Chocolate Mint & Duke of Swirl Coleus

Hari ini nak kongsi gambar lapuk lagi. Gambar yang saya nak kongsi hari ini adalah gambar tanaman hiasan di laman rumah saya pada Disember tahun lalu. Pada waktu itu, hujan turun saban hari. Saya suka musim hujan. Saya tak perlu luangkan masa menyiram pokok tanaman saya namun pokok-pokok saya tetap segar dan berbunga. Yang tidak berbunga pun apa kurangnya macam pokok ati-ati saya ini.

Di rumah saya hanya ada dua jenis ati-ati sahaja. Yang berdaun coklat dengan sisi daun berwarna hijau ini namanya Chocolate Mint Coleus. Saya ambil benihnya dari rumah mertua saya. Mudah sahaja nak menyemainya. Saya ambil pucuknya kira-kira dalam 3 inci panjang dan segera semai dengan tanah yang sedikit lembab di kawasan yang terkena sedikit cahaya matahari. Pejam cilik dah tumbuh segar. Daunnya akan lebih banyak berwarna hijau jika diletakkan di tempat redup. Warna coklat daunnya akan lebih meneyrlah setelah diletakkan di tempat yang terkena cahaya matahari penuh. Setakat ini saya sudah semai dua pasu kecil ati-ati jenis ini buat mengisi kekosongan ruang di antara pasu-pasu besar. 

Chocolate Mint Coleus
Ati-ati yang bercorak batik ini namanya Duke of Swirl Coleus. Warnanya bercorak ungu gelap dan hijau. Jika diletakkan di tempat teduh, warna ungu akan mendominasi dan warna hijau hampir tidak kelihatan. Jenis yang ini setakat ini hanya ada satu pasu sahaja. Cepat sungguh pokok ini membesar. Untuk menjadikannya merimbun, saya kerap buang pucuknya supaya tumbuh lebih banyak cabang. Seminggu dua ini rupa pokok ati-ati saya kurang cantik kerana baru dicantas. Pucuk baru pula masih kecil jadi kelihatan agak botak. Nanti bila sudah cantik dipandang saya akan kongsikan gambarnya.


Duke of Swirl Coleus

Nampak sedikit ceria laman saya dengan kehadiran ati-ati. Sebelum ini hanya kehijauan dapat dilihat kecuali sekali sekala ada pokok yang berbunga. Lepas ni nak tambah lagi koleksi ati-ati pelbagai warna.

Isnin, 26 Januari 2015

Mulberi, Penutup 2014

Bulan Januari 2015 dah hampir tiba ke penghujung. Baru hari ni ada perasaan nak menulis itu pun sebab nak catatkan fasal mulberi yang berbuah lebat bulan lepas. Tapi buahnya tu tak sempat dipetik bila ranum sebab si Alif akan petik buah yang merah setiap hari sebelum ke taska. Sudahnya sepanjang Januari ni pokok-pokok mulberi hanya berbuah seulas dua sahaja. Saya kerap juga cantas pucuknya untuk dibuat sayur. Tak ada pula putik buah yang muncul bila pucuk baru tumbuh. Garu kepala saya di buatnya. Malas betul nak membaja sejak masuk tahun baharu ni. Sejak akhir-akhir ini hujan jarang pula turun, disebabkan “kerajinan” menyiram pokok-pokok sekali sahaja sehari, pokok pun hidup seadanya ajalah. Bilalah nak rajin agaknya...

 



ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...