Sekarang masih dalam mood lemau nak menulis apa-apa catatan dalam blog tak semenggah ni sebab tak ada idea nak menulis. Tapi bila dibelek-belek gambar dalam telefon, barulah naik sedikit semangat nak menulis. Tapi ambil masa dua tiga hari juga nak mengetuk papan kekunci.
Hari ini saya nak kongsi gambar pokok belimbing buluh belakang rumah nenek saya. Dulu masa kecil, saya suka tengok bunga belimbing buluh yang cantik dan comel. Saya hairan juga melihat buahnya tumbuh pada batang pokok tidak di dahan. Di belakang bilik air rumah nenek saya ada tiga batang pokok dan menerima cahaya matahari penuh sepanjang hari. Masa saya kecil ada pokok kelapa gading dan pauh juga di sini. Tapi pokok-pokok tersebut dah ditebang. Jadi lebih terang di kawasan ini sekarang. Belakang bilik nenek saya ada lagi sepokok tapi masih belum berputik. Mungkin sebab kawasannya sangat redup di bawah litupan pelbagai lagi pokok-pokok buah buahan.
Biasanya nenek saya akan kutip buahnya untuk direbus dijadikan jeruk supaya boleh disimpan lama. Buahnya akan jadi hitam selepas direbus. Bila dipecahkan cili padi merah, memang berselera makan nasi panas. Menaip fasal jeruk belimbing buluh ni pun dan buat cair air liur saya. Sekarang saya selalu kutip untuk direbus sebagai bahan sambal hitam yang sangat terkenal.
Belimbing buluh ini banyak berbuah pada musim panas. Kalau musim hujan memang payah nak jumpa. Kalau di pasar harganya lebih kurang RM12 ringgit sekilo. Dek kerana saya selalu juga buat sambal hitam, nenek saya kadangkala simpankan belimbing yang dah siap direbus untuk saya. Sayangnya nenek saya.
Minggu lepas ada sahabat baik saya yang pulang bercuti ada bertanya sama ada saya ada buat sambal lagi. Saya buat kalau ada permintaan dari kawan-kawan. Sayangnya saya tak dapat penuhi permintaan kawan saya itu sebab stok belimbing dah direbus sudah habis. Belimbing di kampung pula baru hendak berputik.
Bulan lalu ibu kawan baik kami ada hadiahkan anak pokok belimbing buluh kepada saya. Kawan saya yang ini pula katanya ibunya hadiahkan saya sebab saya selalu buat sambal hitam. Terima kasih makcik. Pokok tu saya dah tanam di belakang rumah saya. Berdebar saya tunggu ia membesar sebab pucuknya lambat benar tumbuh. Risau mati pula pokoknya. Harap-harap dapat hidup subur pokoknya.
*Tadi kata tak ada idea nak cakap sekarang banyak pula cakapnya. Hehehehe.