Sejak sebulan diberi perhatian dengan penuh kasih sayang, akhirnya nampak perubahan tanaman hiasan di porch. Beberapa pokok yang dulunya tak berdaun kini telah mula berdaun hijau dan sebahagiannya. Ada juga telah berbunga. Bagi yang nampak terbantut pembesarannya, saya telah pindahkannya ke pasu yang lebih besar sepadan dengan akarnya. Ada juga yang diserang penyakit, setelah dirawat dengan semburan racun organik beberapa kali namun masih belum sihat terpaksa dibuang saja. Bimbang berjangkit dengan pokok yang lain. Ada juga yang elok diliputi dedaun hijau yang sihat dimakan siput pula. Semalam, siput telah dihapuskan. Harapnya tiada yang datang lagi.
Tanaman di bahagian kiri porch sihat sejahtera mungkin kerana mendapat limpahan matahari pagi. Pokok ros yang saya pindahkan ke bahagian tersebut yang menerima cahaya matahari pagi hingga tengahari makin sihat dan mengeluarkan banyak daun. Kudup bunga pun sudah keluar menunggu masa untuk kembang.
Walau bagaimanapun, tanaman di bahagian kanan porch kurang menyerlah. Bahagian ini redup pada waktu tengahari namun terik menjelang petang. Mungkin waktu penerimaan cahaya yang singkat namun terik sedikit sebanyak mengganggu pertumbuhan pokok. Saya kini masih mencari-cari penyelesaian untuk tanaman di bahagian ini. Sekarang di bahagian ini ada pokok bunga kertas, harum sundal malam, misai kucing, aloe vera dan kesidang. Tanaman ini tahan sinaran mentari terik. Kita akan lihat perkembangannya dalam tempoh sebulan. Pokok-pokok berkenaan baru ditukar ke pasu besar. Harapnya dengan ruang yang lebih besar dapatlah ia tumbuh dengan baik.
Ini pula bahagian yang paling teduh. Yang pasti pokok buluh hiasan, setawar, keladi hiasan dan spider plant menjadi di kawasan ini. Orkid dua pasu yang diletakkan di sini sampai sudah tak berbunga. Keduanya telah dialihkan ke bahagian kiri porch. Harapnya berbungalah orkid berkenaan. Tanaman di kawasan ini akan ditukar pasu dan ditambah lagi supaya lebih meriah.
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan