Ini kali kedua saya menyemai sawi bunga. Kali pertama semai tidak berjaya dituai. Semua benih dimusnahkan selepas beberapa bulan tiada perkembangan memberansangkan. Ini mungkin semaian kali terakhir sebelum saya bersalin dalam tempoh sebulan lebih dari sekarang. Selepas disemai hari Ahad yang lalu, benih mula bercambah pada pagi hari Selasa iaitu pada hari ketiga selepas disemai. Menjelang pagi Rabu, semua anak benih telah muncul. Sebenarnya saya merancang untuk menyediakan medium tanah untuk memindahkan semaian ini sejurus selepas benih ini muncul. Saya merancang untuk menggemburkan tanah dari nurseri bersama baja tinja ayam dan campuran peatgrow. Namun rancangan itu tidak sempat dilaksanakan akibat kekangan masa. Hujung minggu ini pula kami pulang ke kampung. Jadi terpaksa ditangguhkan. Harapnya sempat digaulkan medium tersebut dan diperap beberapa hari bagi membolehkan semaian sawi ini dipindahkan sekurang-kurang selepas daun sebenar pertama mula tumbuh.
Alhamdulillah cuaca agak baik dengan hujan dilewat petang atau malam. Jadi semaian ini tidaklah tertekan akibat kepanasan. Pada masa ini semaian sawi tersebut masih berada di bawah teduhan yang menerima sinaran matahari pagi. Selepas dipindahkan nanti semaian ini akan dikuatkan dengan meletakkannya di kawasan yang terkena panas pagi sebelum dipindahkan sepenuhnya ke kawasan kebun sejemput yang menerima cahaya matahari sepanjang hari. Saya juga sedang berkira-kira untuk menyediakan teduhan untuk semaian ini.
posted from Bloggeroid