adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Jumaat, 18 Disember 2015

Memori Kebun Sejemput 2015

Saya memang dari kecil suka bercucuk tanam. Masa dulu-dulu selalu menyibuk acah-acah menolong di kebun sayur ayah. Saya juga menjaga “kebajikan” pokok bunga mak saya masa kami sekeluarga tinggal di kuarters. Bila dah meningkat remaja, saya pula bercucuk tanam di sekeliling rumah. Bila usia dah menjengah dewasa, berkahwin dan punya anak-anak kecil, saya sudah jarang berkebun. Berkebun pun cuma bermusim. Akhirnya pada pertengahan tahun ini , saya mula bercucuk tanam semula dan insyaAllah kali ini berpanjangan. Berkat kesungguhan saya, saya sudah beberapa kali menuai hasil dari kebun sejemput saya walau tidak seberapa.

Kebun Sejemput - Mei 2015
Kebun Sejemput - September 2015

Tengah hari tadi, saya membelek-belek gambar simpanan saya  dan terjumpa beberapa gambar kebun sejemput saya yang tanpa sedar ada gambar bagi hampir setiap bulan. Bagi saya yang hampir setiap hari menjenguk kebun, tak terasa besar mana pun perkembangannya. Bila dilihat kembali gambar-gambar yang ada untuk tempoh enam bulan ini, rupanya banyak juga perubahan dan berlaku pada kebun saya ini. Ini saya kongsi gambar-gambar kebun sejemput saya sejak mula aktif berkebun semula.

Kebun Sejemput - Oktober 2015

Antara kekangan utama saya berkebun selain faktor masa adalah keadaan tanah. Sejak dulu, perkara yang menjerihkan saya adalah untuk mengeluarkan batu-batu pelbagai saiz dari tanah. Jenuh saya mengeluarkan batu-batu tiap kali tanah dicangkul. Kali ini, saya tabah mengutip batu-batu yang terkena cangkul dan semakin lama, Alhamdulillah batu semakin kurang dan kerja menyediakan batas makin senang.

Kebun Sejemput - Disember 2015

Lalang dan rumpai lain juga banyak yang tumbuh. Tapi nampaknya tanah kurang subur untuk tanam menyebabkan saya perlu membaja dengan kerap sewaktu mula-mula berkebun. Sejak saya mula berkebun, saya tidak lagi mengupah orang untuk memotong rumput. Kerja merumput saya buat sendiri dan biarkan rumput-rumput mereput di laman. Nampaknya sejak saya biarkan rumput mereput di atas tanah, tanah makin subur. Dulu tanah keras, warnanya cerah dan cepat kering. Secara amnya, tanah subur lebih gelap warnanya. 

Kebun Sejemput - Disember 2015

Setelah beberapa bulan berlalu, warna tanah semakin gelap dan sentiasa lembap. Cacing juga lebih senang kelihatan bila tanah digemburkan. Bila kawasan berbatas semakin luas, nampaknya kerja merumput juga semakin kurang. Rumput dan lalang yang dipotong sekarang dijadikan sungkupan kepada batas saya.
Walau pun tak banyak lagi jenis tanaman yang ada di kebun sejemput saya, ini sudah cukup membuatkan saya bangga dengan diri saya. Saya harap semangat yang ada sekarang terus konsisten. Saya sentiasa punya impian untuk tambahkan pelbagai tanaman berwarna-warni ni kebun ini. InsyaAllah.

Kebun Sejemput - Disember 2015

Rabu, 16 Disember 2015

Ulam Raja Dari Semaian Pucuk

Saya memang dah lama teringin nak tanam pokok ulam raja tapi tak ada benih. Di rumah ayah saya memang banyak pokok ulam raja. Tapi setiap kali saya balik, tak ada pokok pun yang berbunga. Ayah saya suruh bawa balik sahaja anak ulam raja yang dah disemai. Dah menjadi sifat saya kalau boleh nak lihat pokok membesar hasil tangan saya, saya tak bawa balik pun. Itulah sombong sangat nak tanam sendiri konon hahaha. Kali terakhir balik kampung, saya cuma bawa balik benih bendi untuk di tanam di rumah. 

Saya fikir kalau susah sangat nak cari benih, kita tanam aja dari pucuk ulam raja macam yang saya buat dengan pokok-pokok selasih Thai saya. Tapi, pucuk ulam raja kalau dibeli dari pasar biasanya sudah layu dan sangat banyak pula beli dibeli seikat. Tak habis makan jadi membazir pula. Akhirnya, bagai bulan jatuh ke riba, kawan saya membawa beberapa beg plastik pucuk ulam raja segar ke pejabat. Saya pun ambil secekak untuk dibawa balik ke rumah dijadikan ulam makan malam. Ada satu yang batangnya agak keras saya cucukan ke batas belakang rumah yang kebetulannya baru disediakan untuk tanaman baru.

Pucuk ulam raja matang yang disemai terus berusia dua minggu selepas semaian mula keluarkan pucuk baru.
Menjelang minggu kedua, pucuk yang saya tanam sudah mula mengeluarkan pucuk baru. Alhamdulillah. Nampaknya sudah keluarkan hasil. 

Ulam raja selepas sebulan disemai menggunakan pucuk

Seminggu kemudian, pucuknya dah naik sekali ganda. Kelihatan juga putik bunga sudah keluar. Agaknya pokok induknya memang dah cukup matang, jadi tidak hairanlah pokok ulam raja sudah berbunga. 

Putik bunga ulam raja

Di kiri kanan batangnya juga kelihatan banyak pucuk-pucuk baru sudah muncul. Saya kira dalam seminggu dari waktu ini, mungkin saya dapat menuai beberapa pucuk ulam raja untuk dijadikan ulaman. 

Hasil tuaian semalam - kangkung, pucuk selasih Thai, pucuk ulam raja, serai, cili padi dan pucuk ubi kayu.
Semalam nampaknya pucuk-pucuk ulam raja yang ada cukup makan untuk kami berdua. Jadi, petang semalam kami jadi kambing untuk makan malam. Dapatlah menuai pucuk ubi kayu, selasih Thai, ulam raja, serai, cili padi hijau dan kangkung. Meriah juga sebab hari-hari hujan turun jadi tak perlu menyiram. Cuma kenalah rajin membaja sebab kena ganti balik hasil yang kita dah tuai kepada tanah. 

Pokok ulam raja berusia lima minggu selepas disemai dan telah dituai pucuk-pucuk yang tumbuh di sekitar batangnya.

Pokok ulam raja pun dah lebih sekaki tingginya. Bunganya pun sudah kembang dan nanti dapatlah saya mengutip benih setelah bunganya matang. Ulam dipetik petang semalam lupa pula keluarkan dari peti ais. Rugi betul. Pagi-pagi hari ini saya cucukan pucuk-pucuk ulam raja ke batas yang dah tersedia untuk tanaman baru supaya tak membazir layu dalam peti ais. Kalau dah banyak-banyak nanti mesti meriah kebun sejemput saya dengan bunga merah jambu dari pokok ulam raja. Dapat tengok sekuntum berbunga hari ini pun sudah cukup teruja saya dibuatnya. Alhamdulillah.

Bunga ulam raja warna merah jambu menawan hati.


Khamis, 10 Disember 2015

Rezeki Di Plot. No. 2

Kali terakhir bercerita tentang Plot No. 2 saya ini adalah pada awal Oktober lalu. Nampaknya sudah lebih dua bulan tiada cerita yang dikongsi oleh saya tentang plot ini. Plot ini sebagaimana biasa membekalkan pucuk selasih Thai buat ulaman bersama nasi. Tak putus memberikan hasil sampai sungguh merimbun jadinya. 


Pokok-pokok cili juga tak jemu berbuah walau tak sebanyak mana. Hasil yang diberi cukup untuk dibuat sambal atau kadang kala dibuat rencah masak lemak cili padi. Dalam lima pokok cili yang saya ada, cuma ada satu pokok yang paling tinggi masih belum berbuah sehingga ke hari ini. Bunganya mudah sungguh gugur setelah berputik. Adakah sebab pokok ini banyak semut? Kalau ada yang tahu sebabnya, harap dapatlah berkongsi pengalaman. Apa-apa pun, hasil dari pokok-pokok yang lain pun dah memadai.




Setelah berbulan lamanya labu saya asyik berbunga jantan, saya akhirnya mencuba petua dari situ tanamsendiri.com, Encik Iskandar. Katanya letakkan serbuk ikan bilis ke pangkal pokok untuk galakkan pokok mengeluarkan bunga betina. Saya cuba taburkan isi perut ikan bilis dengan beberapa ekor ikan bilis ke pangkal pokok. Alhamdulillah, lewat minggu itu saya perasan bunga betina telah pun muncul dengan labu sebesar ibu jari saya. Gembiranya saya. 



Kegembiraan saya tidak lama kerana setelah seminggu lebih ke luar daerah untuk urusan kerja dan kekangan masa, saya lihat bunga betina saya telah gugur. Melihatkan bunga yang gugur, saya rasa bunganya belum sempat kembang untuk didebungakan. Saya agak mungkin kurang nutrien yang diperlukan untuk bunga terus membesar.

Sabtu lepas, sekali lagi saya letakkan sisa ikan bilis yang dikisar dengan pisang di pangkal pokok labu. Alhamdulillah, tiga hari kemudian saya dapati dua bunga betina telah muncul. Mulai hujung minggu ini saya akan letakkan baja kopi setiap minggu untuk pastikan pokok cukup nutrien supaya bunga betina dapat kembang. 


Setelah kembang, saya juga kena pastikan ada bunga jantan yang kembang setiap hari untuk debungakan secara manual bunga betina. Ini untuk pastikan buah labu dapat dibentuk. Bunga jantan hanya kembang untuk sehari manakala bunga betina dapat bertahan beberapa hari sebelum gugur sepenuhnya jika tidak didebungakan. Kelopak bunga betina akan gugur dan buah membesar jika dapat didebungakan.

Doakanlah supaya rezeki saya berpanjangan dengan dua kuntum bunga betina yang dah muncul ini setelah sekian lama. InsyaAllah.


Rabu, 9 Disember 2015

Yesterday, Today & Tomorrow Berbunga Lebat

Dah lewat petang baru sempat nak tulis sedikit catatan dalam blog. Hari ni cuma nak berkongsi beberapa gambar pokok bunga Yesterday, Today & Tomorrow dalam pasu di laman rumah saya. Sejak ditanam beberapa tahun lalu, biasanya paling banyak tak lebih dari lima kuntum berbunga pada satu-satu masa. Tiba-tiba, banyak betul kudup bunga muncul pada hari Isnin. Hari Selasa pula, separuh dah kembang dan mewangi. Hari ini, banyak lagi yang kembang dengan bunga tona putih (kembang hari Isnin), ungu pastel (kembang hari Selasa) dan ungu terang (kembang hari ini – Rabu). Tapi gambar yang saya nak kongsi ini adalah gambar hari Isnin lau. Jadi untuk hari ini, gandakan tiga jumlah bunga dalam gambar-gambar ini dan tambah lagi kudup-kudup bunga yang menunggu untuk kembang. Gembira betul saya sebab tak pernah sekalipun pokok ini berbunga sebegini lebat. Agak-agaknya apalah yang membuatkan bunganya selebat ini. Apa pun, Alhamdulillah, wangi sungguh laman saya minggu ini.








Jumaat, 4 Disember 2015

Ke Pulau Payar, Langkawi, Kedah

Dah lebih sebulan tiada catatan dalam blog tak seberapa ini. Terlalu sibuk dengan pejabat. Sekarang barulah lapang sedikit kerja di pejabat. Jadi untuk hilangkan habuk, saya belanja beberapa gambar perjalanan saya dari Jeti Kilim ke Pulau Payar dua minggu lalu. Saya ke sana atas urusan kerja. Kalau bercuti, belum tentu dapat pergi. Jangan tanya berapa kosnya sebab saya ke sana dengan bot jabatan. Kalau rajin, boleh tanya Encik Google atau boleh juga ke website Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk lebih maklumat berkaitan Pulau Payar. 


Ini kali kedua saya di atas urusan kerja menyusur muara Sungai Kilim hingga ke Kilim Geopark tapi kail pertama terus ke Pulau Payar. Pemandangan indah sepanjang perjalanan memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata serta tidak setara apa yang digambarkan dengan gambar-gambar yang. Perjalanan kami dari Jeti Kilim ke Pulau Payar mengambil masa kira-kira sejam. Walau bagaimanapun, perjalanan akan mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja daripada Jeti Pelancongan Pekan Kuah. Ada juga Pegawai Taman Laut tunjukkan kami beberapa ekor ikan lumba-lumba yang melintas bot kami, tapi sayangnya saya dan kawan tidak dapat mengesan dek kerana bot terlalu laju.


  

Saya kagum melihat jajaran hutan bakau sepanjang pesisir Sungai Kilim. Cuaca yang elok dengan langit yang biru menambahkan keindahan landskap awan bak gula-gula kapas.




Sampai sahaja di Pulau Payar, tergamam saya melihat kejernihan air pantainya. Ikan-ikan nampak jelas berenang-renang di dasar air. Kalau tak kerana urusan kerja, pastinya saya dah terjun bersama kawan saya untuk bermain ikan. Kami pula hanya berdua bersama bos sahaja perempuan dalam kumpulan itu, tentulah malu nak berlebih-lebih.








Setelah hampir dua jam di sana, kami kembali semula ke Pulau Langkawi. Suatu hari nanti saya akan kembali semula bersama keluarga untuk menikmati keindahan alam di Pulau Payar.

Akhir sekali, terimalah gambar muara Sungai Chenang yang saya suka sangat. Terasa macam tengok gambar poskad (perasan pandai ambil gambar hehehe)



Ahad, 1 November 2015

Love. It felt like a falling raindrop....

“Love. It felt like a falling raindrop scatter on a trembling leaf then roll of its tip in a cascade of pearls” 
Prabhukrishna M


Sabtu, 31 Oktober 2015

Bunga-Bunga Tanaman Makanan di Kebun Sejemput

Syukur dalam minggu ini hujan turun pada setiap hari dan disebabkan itu saya tak menyiram pokok langsung minggu ini. Mungkin sebab itu pokok-pokok lain laman belakang dan laman depan banyak yang berbunga antaranya kacang botor, sawi dan selasih. Kacang botor perlu dibaja bila berbunga supaya menghasilkan buah. Kalau tidak bunganya akan gugur begitu sahaja.






Sawi ini pula memang sengaja tidak dituai sebab daunnya habis dimakan siput setelah tumbuh semula dari keratan batang tuaian pertama. Bunganya dibiarkan sahaja untuk diambil benihnya kelak. Bunga selasih pula dibiarkan untuk galakkan serangga datang supaya bunga cili dapat didebungakan. Namun sayang, masih belum ada rezeki cili berbuah banyak, bunga sahaja yang gugur. Mungkin selepas dibaja minggu ini akan mendatangkan sedikit hasil.

Bunga Sawi

Bunga Sawi

Bunga jantan labu manis pun ada tapi tak sempat pula nak ambil gambarnya. Mungkin sebab dah jemu tengok bunga jantan. Bilalah agaknya bunga betina nak keluar. Minggu saya akan cuba ikhtiar tabur sisa ikan bilis pula untuk galakkan keluarnya bunga betina. Mungkin dalam seminggu dua dapat tengok hasil sama ada keluar atau tidak bunga betina.

Bunga Selasih Thai

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...