adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Selasa, 12 Mei 2015

Mulberi Berbuah Tak Seberapa

Bulan lepas saya ada mengaplikasikan teknik melenturkan dahan-dahan mulberi yang dah dibuang daun untuk membolehkan lebih banyak dahan tumbuh. Dengan itu, buah akan dapat dihasilkan dengan lebih banyak bersama-sama dahan baru yang tumbuh. Setelah beberapa lama, memang banyak dahan baru yang tumbuh.

Hasil buah mulberi hari ini

Walau bagaimanapun, hanya beberapa dahan sahaja yang menghasilkan buah. Dahan baru yang tumbuh memang lebih banyak dari dahan yang dilenturkan berbanding dari dahan yang dicantas. Manakala dahan yang dibuang daun dan tidak dicantas atau tidak dilenturkan tidak menghasilkan langsung dahan baru. Jadi kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah dahan yang dibuang daun dan dilenturkan atau dicantas memang menghasilkan dahan baru. Cuma dahan yang baru tumbuh tidak semestinya menghasilkan buah.

Mulberi dari dahan yang lain sedang meranum

Pokok-pokok mulberi saya semuanya ditanam di dalam pasu. Sudah lebih setahun saya tanam mulberi berkenaan. Ada empat pasu kesemuanya. Pasu kelima telah saya hadiahkan kepada ayah saya. Pokoknya sudah lebih tinggi dari saya dan batang pangkalnya lebih hampir sama saiz dengan betis anak saya. Dahannya banyak dan berbuah besar. Ayah saya tanam di dalam pasu yang diletakkan di atas tanah. Saya yakin akarnya sudah sampai menembusi tanah sebab itu pokoknya besar. Tapi saya tidak ada pula gambarnya.

Saya rasa pokok mulberi saya mungkin tidak menghasilkan buah yang banyak kerana akarnya sudah penuh memenuhi ruang pasu. Mungkin saya patut memindahkan pokok mulberi saya ke ruang yang lebih besar. Saya sebolehnya nak pindahkan ke laman belakang rumah kerana ruangnya sangat luas. Namun tanahnya sangat tidak subur kerana setiap tanaman yang saya tanam di kawasan tersebut agak susah untuk hidup. Lalang di kawasan belakang juga tumbuh tidak melata menunjukkan ada kawasan memang kurang subur. 

Tapi sejak akhir-akhir ini saya ada perhatikan ada satu bahagian laman belakang yang agak subur dengan lalang dan rumpai. Di bahagian itu ada saya tanam serai dan ubi kayu. Serai dan ubi kayu di bahagian ini lebih besar sedikit berbanding bahagian laman belakang yang lain. Mungkin saya akan alihkan salah satu mulberi saya ke kawasan itu. Nanti saya akan kongsi apa yang ada di laman belakang sekarang dalam catatan yang akan datang.

Isnin, 11 Mei 2015

Semaian Kacang Botor Sebulan & Pancangnya

Minggu lepas ada beberapa projek yang dah dijalankan di laman rumah antaranya memindahkan kacang botor ke laman rumah dari pasu semaian. 

Benih kacang botor atau kacang kelisa yang disemai buat kali kedua kini dah berumur sebulan. Ada tiga anak pokok segar yang perlu dialihkan ke ruang yang lebih besar. Alif Zakwan yang menyambut hari lahir yang kedua pada hari ini bersungguh-sungguh menolong ibu pada Sabtu lepas. 



Memandangkan hujan turun setiap hari, maka tanah di laman depan rumah agak lembut untuk dicangkul. Saya telah gali tiga lubang dan ditabur dengan baja sebelum anak pokok dimasukkan ke dalam lubang. Di pangkal pokok, saya telah “pagarkan” dengan potongan botol mineral untuk mengelakkan siput-siput babi mengerjakannya. 


Pagi ini, semaian kacang botor saya nampak sihat dan segar walaupun kelihatan beberapa ekor siput babi berkeliaran di sekitarnya. Semaian timun saya sudah tewas di makan siput. Mungkin kerana tidak dipagarkan. Saya telah alihkan semaian kacang botor saya pada petang Sabtu untuk membolehkan semaian berehat dan tidak tertekan selepas dipindahkan. Jika dipindahkan pada waktu pagi, bimbang semaian tertekan kerana berubah tempat dan perlu pula menghadapi cuaca panas di ruang baru.


Bagi membolehkan kacang botor saya memanjat, saya telah pasangkan pancang yang saya telah beli dari Daiso. Pancang ini adalah besi yang bersalut getah. Pancang besi yang tidak bersalut getah mungkin panas menyerap haba matahari dan menyebabkan pokok melecur. Pada harga yang lebih kurang, pacang kayu juga boleh didapati dia Ace Hardware. Sebenarnya saya lebih berminat pada pancang kayu tapi bimbang mudah patah, jadi pancang besi menjadi pilih. 


Di sekitar ruang baru kacang botor ini juga ada pokok betik, pokok kari dan pokok kantan. Kesemuanya baru ditanam beberapa bulan lalu. Pokok kari ini merupakan anak pokok kari yang tumbuh dari biji di dalam salah satu pasu pokok bunga saya dan saya pindahkan ke sini. Pokok betik pula tumbuh secara tak sengaja di  dalam tong kompos. Pada asalnya pokok betik ini daunnya kurus kering dan kuning. Setelah sebulan dipindahkan ke sini dan dibaja setiap dua minggu, nampaknya daunnya sudah mulai gemuk. 

Tak sabar rasanya nak menunggu kacang botor dan betik saya berbunga. 

Rabu, 6 Mei 2015

Ameer Hero 6

Pada 20 April lepas, genaplah enam tahun umur Ameer Zikri. Tak sangka sungguh cepat masa berlalu. Tahun depan Ameer akan mula masuk ke alam persekolahan. Rasa macam baru lagi Ameer lahir. Ameer petah bercakap namun agak pendiam di sekolah. Dia seorang yang cermat dalam membuat kerja. Jika dilihat dalam buku kerja tadikanya, semua garisan yang dibuat adalah lurus termasuklah garisan yang memerlukan penggunaan gunting. Gurunya juga mengakui bahawa dia sangat cermat membuat kerja.

Tahun ini merupakan tahun kedua Ameer bersekolah di Tadika Alif Ceria. Disebabkan Ameer telah agak lancar membaca, maka pengetua tadika telah meminta Ameer menduduki ujian untuk membolehkan Ameer lompat ke kelas tahun tiga. Alhamdulillah, Ameer masuk ke kelas tahun tiga awal tahun lalu. 

Seminggu sebelum hari ulang tahun kelahirannya, Ameer beri tahu ibu yang dia hendak ke Muzium Semula Jadi di Presint 15, Putrajaya untuk melihat haiwan mati katanya. Itulah kehendaknya sebagai hadiah hari jadi. Walaupun hati saya meronta-ronta nak kongsi serba sedikit gambar lawatan kami ke muzium tempoh hari, tapi apakan daya saya. Tiada satu pun gambar yang ada setelah telefon saya diformatkan semula oleh pusat servis telefon sewaktu telefon saya mengalami masalah beberapa hari selepas itu. Nampaknya bukan rezeki saya. Yang tinggal hanyalah satu gambar ini di instagram saya.

Hujung bulan lalu, tadikanya telah mengadakan majlis sambutan hari lahir untuk anak-anak yang lahir pada bulan Mac dan April. Kami belikan kek yang ditempah daripada seorang kawan dengan tema Big Hero 6. 


Kami juga ada sediakan goodie bags yang diisi dengan sekotak kecil minuman coklat Dutch Lady Kids / Milo, biskut wafer coklat Cloud 9, kek coklat dan snek berperisa ayam. Kami memang tak akan bagi gula-gula atau kacang untuk mengelakkan tercekik. Nanti cikgu pula yang disalahkan. Macam biasa kami isikan dalam beg kertas ini. Kali ini ibu rajin sikit lukis setiap satu dengan kepala Baymax dari filem Big Hero 6 dan warnakan dengan krayon putih. Di bawahnya pula ibu tuliskan “AMEER HERO 6”. 

Nampaknya Ameer gembira dengan kek dan goodie bags yang ada. Katanya kawan-kawannya juga teruja melihat lukisan Baymax dengan tulisan namanya. Ibu seronok mendengar cerita Ameer tentang sambutan hari jadi di tadika.




ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...