Kelana kami di Istanbul akhirnya diteruskan ke Kaherah, Mesir. Dengan penerbangan Turkish Airlines lewat petang Khamis, kami tiba di bumi Kaherah hampir 3 jam kemudian di sambut dengan kedinginan padang pasir. Kami menginap di sebuah homestay yang telah ditempah awal oleh adik saya. Kami tidak dapat menginap di rumah sewanya kerana rumahnya sudah hampir kosong kerana kelengkapan telah dijual dan rakan-rakan serumah juga masih ada mengemas baki barang-barang peribadi sebelum kembali semula ke Malaysia. Malam itu kami tidur nyenyak melepaskan lelah sepanjang di Istanbul. Pagi hari pertama kami di Kaherah sungguh dingin dengan suhu 10°C hingga 15°C hampir menyamai kedinginan di Cameron Highlands. Matahari yang menyinar terang tak dapat menghangatkan suasana.
Lewat petang itu kami menjamu selera di sebuah kedai makan masakan Cina Muslim di Abbassiah. Kedainya ringkas sahaja sepertimana kedai-kedai lain di sini namun makanan agak sedap. Pelajar-pelajar Malaysia kerap makan di sini menurut adik saya.
Kami seterusnya menziarah Masjid Sultan Hassan yang turut dikenali sebagai Masjid Empat Mazhab. Masjid agung ini telah dibina oleh Sultan Al-Nasir Hassan, anak kepada Al-Nasir Muhammad sekitar tahun 757 Hijriah sehingga 764 Hijriah (1356 Masihi hingga 1363 Masihi). Sultan Hassan telah ditabalkan sebagai sultan pada umur 11 tahun namun telah dibunuh sebelum masjid ini siap sepenuhnya. Masjid ini digelar Masjid Empat Mazhab kerana ianya dilengkapi lengkap kemudahan sekolah, tempat tinggal pelajar dan ruang pengajaran bagi empat mazhab. Masjid ini turut menempatkan makam Sultan Hassan.
Sultan Hassan dikhabarkan telah memanggil arkitek-arkitek seluruh dunia bagi merealisasikan impian untuk membina sebuah masjid yang agung. Namun pembunuhannya telah menyebabkan bangunan masjid ini tidak dapat disiapkan. Walaupun tidak dapat disiapkan, elemen senibina dan ukiran yang ada di masjid ini sangat mengagumkan. Kubah yang ada ruang yang menempatkan makam mampu menjadi pembesar suara dengan kebijaksaan kejuruteraan zaman silam. Di sini kami telah dipersembahkan dengan alunan bacaan Al-Quran yang ringkas dan suara digemakan dengan jelas seluruh kawasan masjid melalui kubah tersebut.
Masjid ini tidak lagi beroperasi sepenuhnya sebagai masjid atau madrasah, bayaran masuk dikenakan bagi tujuan lawatan kerana ianya kini diselenggara sebagai sebuah monumen sejarah.
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan