adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Khamis, 26 Februari 2015

Si Cantik di Alexandria

Pada hari kedua kami di Mesir, kami ke Alexandria pula atau dalam Bahasa Arab, Iskandariah. Sepatutnya kami ke sini untuk menghantar adik lelaki saya. Walau bagaimanapun, dia sudah kembali ke Alexandria pada hari kami tiba di Mesir selepas makan tengahari bersama kami di Abassiah. Dia perlu segera pulang kerana dia mempunyai kelas pagi. Lagipun hampir seminggu dia sudah ponteng kelas kerana mengikut kami ke Istanbul. Adik saya ini menuntut di tahun 4 jurusan perubatan di Alexandria University. Kini dia berada di tahun klinikal.

Perjalanan kami ke Alexandria melalui jalan darat mengambil masa kira-kira 3 jam dari Cairo. Jalan yang kami lalui adalah lebuh raya yang melintasi beberapa kebun kurma, sawah padi dan pisang. Sungguh saya tak sangka ada sawah padi dan pisang ditanam di Mesir. Sekarang musim pisang masak, jadi pisang menjadi komoditi yang dilihat dijual merata-rata seluruh Mesir. Buah strawberi dan oren juga banyak dijual. Buah-buahan sebegini memang tiba musim masaknya pada hujung musim sejuk seperti sekarang menurut ustaz pengiring. Tiada gambar dapat saya rakamkan sepanjang perjalanan kerana asyik tertidur sepanjang jalan lagipun ustaz memandu terlalu laju.
Kejiranan di belakang masjid

Bangunan rumah kedai lama di hadapan masjid

Sampai saja di Alexandria, kami singgah bersolat di  Masjid Abu al-Abbas al-Mursi yang merupakan masjid yang paling bersejarah dan paling cantik di Alexandria. Ia telah dibina pada tahun 1775 Masihi di lokasi makan seorang ilmuwan dan sufi Islam berbangsa Sepanyol. Masjid berada di dataran masjid yang menghadap dermaga Timur. Apabila disebut masjid tercantik, saya maksudnya masjid ini betul-betul cantik sehinggakan saya hampir tergamam melihat kecantikannya tatkala sampai di sini. Di tambah pula dengan beberapa pohon tamar yang meninggi di lama masjid disertai angin sepoi-sepoi bahasa Lautan Mediteranean menambahkan keindahan. Tapi sayang, sudah menjadi budaya Arab Mesir agaknya, bangunan secantiknya tidak dijaga kebersihan luarannya. Sampah berada merata-rata tempat, air basuhan berlopak di sana-sini dan ditambah pula dengan keadaan yang tidak sesuai untuk menternak kambing biri-biri di tengah bandar Alexandria. Sayang seribu kali sayang.




Masjid berwarna krim ini sarat dengan ukiran arabesque yang memenuhi segenap ruang dalaman dan luaran bangunan. Corak arabesque adalah sejenis corak yang menggunakan pendekatan jalinan garisan-garisan yang berulang-ulang dan digabungkan dengan pelbagai elemen ukiran yang lain. Corak ini dapat dilihat dalam bentuk ukiran pada dinding, corak pada kaca tingkat dan juga jeriji aluminium masjid. 







posted from Bloggeroid

1 ulasan:

  1. Subhanallah Kesenian bangunan yang hebat..memukau, dinding lantai dan bumbung

    BalasPadam

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...