adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Jumaat, 22 Februari 2013

Sepasang Telang... - Minggu 3


Lepas beberapa telang pertama tumbuh, muncul pula telang kedua. Walaupun tempoh semaiannya agak lama iaitu kira-kira dua minggu, pertumbuhannya agak cepat. Ini kerana dalam tempoh beberapa hari sahaja selepas tumbuh, beberapa pasang daun sebenar mula muncul. Saya perhatikan cambahan telang ini juga tahan lasak. Dalam pokok lain cepat layu tatkala hari panas, anak telang masih bertahan. Medium semaian yang saya kira kurang subur juga tidak memberi kesan kepada semaian ini. Anak telang ini terus berkembang. Saya akan pindahkannya ke pasu besar siap dengan sangkar untuk pokok-pokok telang ini terus membesar dengan sihat dan kuat. Saya bercadang untuk kerap cantas pokok telang ini agar merimbun cantik. Cantik untuk dipandang sebagai tanaman hiasan yang dapat mengeluarkan banyak bunga biru violet dengan dahan yang banyak. Hajat dihati hendak buat nasi kerabu. Kalau boleh hendak juga buat sebagai pewarna kek selain kuih tradisi dan sirap biru.
Published with Blogger-droid v2.0.10

Rabu, 20 Februari 2013

Kailanku... - Minggu 5


Sudah dua minggu kailan ini berada dalam kawasan kebun sejemput. Sebelum tahun baru cina saya telah baja kawasan ini dengan baja tahi ayam. Perkembangannya agak perlahan. Mungkin kerana minggu lalu cuaca agak terik dan kurang hujan. Minggu ini pula setiap hari hujan. Petang tadi agak mendung membolehkan saya membersihkan laman serba sedikit. Kalau orang lain sudah mampu tuai kailan pada usia lima minggu, kailan saya masih kecil. Memandangkan saya sudah tidak lagi menyemai benih baru, maka tumpuan dapat diberikan lebih kepada kawasan kebun sejemput ni. Agaknya kalau semuanya dalam keadaan baik, dapatlah saya menuai kailan pertama saya dalam dua atau tiga minggu lagi.
Published with Blogger-droid v2.0.10

Selasa, 19 Februari 2013

Misi Jam 6 Yang Tergendala..

Memandangkan saya tidak mempunyai pembantu rumah, maka kerja-kerja rumah yang kompleks akan dilakukan pada hujung minggu. Pada minggu lalu, saya sudah selesaikan kerja mengemop aras bawah pada malam Jumaat. Kebiasaannya saya akan berlibur dengan anak-anak dan suami pada hari Sabtu. Hari Ahad pula hari berkebun dan mengemas rumah kerana hari tersebut suami saya akan ada perlawanan bola sepak selepas makan tengahari. Jadi, saya yang tinggal dengan anak-anak akan buat kerja rumah. Bukanlah bermaksud suami saya serahkan bulat-bulat kerja rumah kepada saya. Tugas suami saya dalah basuh baju setaip hari, lipat kain sekali-sekala, memvakum seluruh rumah, basuh pinggan, mencuci tandas dan lain-lain. Macam satu pasukanlah kami ni.
Jadual perlawanan bola sepak suami saya ditukar ke hari Sabtu. Maka saya pun tukarlah jadual pembersihan saya pada hari Sabtu. Misi pada hari Sabtu lalu adalah untuk mengemas rak buku yang serabut “ayam” ni. Nampak macam sedikit bukunya. Tapi sebenarnya buku-buku lain banyak terselit di celah bantal bilik tidur, atas meja mekap, celah sofa, atas meja kopi dan macam-macamlah tempatnya termasuk atas oven. Dalam kotak mainan anak-anak ada buku anak-anak pula. Itu belum dikira yang orang pinjam tidak dipulangkan lagi dan tertinggal di pejabat.

Saya teringin nak kemaskan rak buku saya seperti ini. Tapi bukanlah hasrat saya nak kumpul buku untuk jadikan cantik sebegini saja. Buku-buku ni perlu dibaca barulah berbaloi. Sudah menjadi tabiat saya kalau membaca tak pernah habis. Pembacaan saya akan mengambil masa yang lama disebabkan saya baca ikut bab yang saya suka. Kalau dah baca satu buku dan bosan, beralih ke buku yang lain. Jadi agak lama masa diambil
Hajat dihati nak mulakan kerja mengemas jam 5 petang dan habiskan jam 6 petang. Tapi dek kerana sibuk menguruskan anak-anak yang bergaduh kemudian melayan anak makan petang, kerja mengemas tertunda sehingga selesai semalam. Itupun dibuat secara runcit. Maknanya, cuit sikit-sikit sampai selesai. Itupun belum lap debu di bahagian atas sebab malas memanjat kerusi. Lagipun belum banyak debunya sebab baru dilap minggu lalu. Jadi inilah hasil misi jam 6 yang tergendala.

Ahad, 17 Februari 2013

3R - Reuse, Recycle & Reduce

Apa dalam kotak besar ni? Dalam kotak ni ada pakaian lama yang tidak lagi dipakai oleh kami anak-beranak. Pakaian ini tidak koyak atau rosak teruk. Ia tidak lagi dipakai kerana sudah tidak muat untuk dipakai atau sudah agak lusuh. Atau mungkin juga sudah agak lama rekaannya. Dalam kotak ini juga ada "soft toy" yang tidak menjadi mainan anak-anak. Maklumlah, anak-anak saya lelaki. Jadi mainan sebegitu bukan mainan mereka. Ada juga beberapa buah beg lama yang tidak lagi digunakan dalam kotak ini. Ke mana kotak ini hendak dihantar? Kotak ini dibawa ke Pusat Kitar Semula Komuniti di Presint 9, Putrajaya. Saya dan suami akan kumpulkan item-item yang saya sebutkan tadi setiap sekurang-kurangnya empat bulan sekali. Selain dapat mengurangkan longgokan barangan yang tidak berguna di rumah kami, sekurang-kurangnya item ini dapat dimanfaatkan oleh orang lain setelah dibaikpulih oleh pekerja-pekerja di pusat itu. 

Selain pakaian, beg dan mainan, pusat ini juga menerima minyak masak yang telah digunakan. Hari ini kami hantar kira-kira 4kg lebih minyak masak. Hasilnya dapatlah dalam RM3.80. Pusat ini menerima penghantaran minyak masak yang telah digunakan dengan harga RM0.80 setiap kilogram. Ia juga terima barang-barang lain untuk kitar semula seperti kertas, tin, kaca, pencetak dan juga skrin komputer. Barang-barang ini dibayar kecuali barang-barang yang ada seperti dalam kotak besar saya.

Sabtu, 16 Februari 2013

Kenapa Saya Tak Perlukan Pembantu Rumah (Buat Masa Ini...) - Bahagian I


Gambar di atas menunjukkan cebisan dari keadaan rumah saya. Saya malu nak tunjuk keadan rumah saya. Tidaklah kemas tapi bolehlah tahan. Yang penting bersih. Catatan saya ini jauh menyimpang dari aktiviti kebun tapi masih berkisar hal domestik. Ketika waktu menghampiri jam 10 malam, saya maklumkan rakan saya yang saya hendak selesaikan kerja melipat kain baju yang tiga bakul tu dan mengemop lantai sebelum jam 12.00 tengahmalam. Kawan saya cadangkan upah sahaja pembantu rumah harian untuk selesaikan kerja-kerja rumah. Saya diamkan saja sebab ada banyak perkara saya hendak huraikan kenapa saya rasa saya tidak perlukan pembantu rumah (buat masa sekarang..). Oleh kerana terlalu banyak yang hendak dihuraikan, maka pada malam yang indah ini saya huraikan sebahagian saja dulu.

Pertama : Saya kurang gemar orang lain buat kerja rumah bagi pihak saya. Saya juga kurang gemar beri arahan kepada orang lain untuk selesaikan kerja rumah saya. Jika hasil kerja yang dilaksanakan tidak kena dengan hati saya, silap hari bulan saya buat semula kerja itu mengikut kehendak saya. Daripada saya buang masa beri arahan, tunjuk ajar atau buat semula, baik saya buat sendiri.

Kedua : Kalau bab melipat kain pula, takkanlah si pembantu nak lipatkan seluar kecik saya anak beranak. Kalau nak diasingkan siap-siap, baik saya selesaikan sendiri kerja melipat tu. Lagipun kain baju perlu dilipat setiap hari. Takkanlah nak tunggu pembantu datang hujung minggu semata-mata nak melipat kain baju sahaja. Dibayar pula tu. Kerja melipat baju ni boleh dibuat sambil menonton tv. Tambahan pula, dapatlah kita membelek serba sedikit baju suami dan anak-anak kalau terkoyak ke terhilang butang ke atau diasingkan siap-siap sebab tidak lagi muat untuk anak pakai.
Nanti saya sambung lagi...

posted from Bloggeroid

Khamis, 14 Februari 2013

Tiada Jawapan Buatmu.. Telang - Minggu 2



Sudah agak lama tidak menulis apa-apa dalam blog kebun sejemput ini. Tidak ada apa-apa yang menarik berlaku dalam tempoh sepuluh hari ini (macamla ada yang menarik sebelum ini heheh). Saya sudah berhenti menyemai sebarang jenis sayuran buat masa ini memandangkan saya akan bersalin dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Bimbang tidak dapat menuai bila tiba masanya. Apa yang saya lakukan sekarang cuma menyelenggara kebun sejemput dengan apa yang ada. Sejak ditinggalkan selama empat hari sepanjang hujung minggu lalu, kebun sejemput didapati kekeringan. Nampaknya bumi Putrajaya tidak dibasahi hujan salama tempoh itu. Selepas disiram oleh suami tersayang lewat petang Selasa lalu, barulah nampar segar sedikit. Hampir kesemua tanaman nampak kekuningan akibat kekeringan.
Ada penemuan menarik saya telah temui petang Selasa itu. Dalam sebuah pasu kecil yang saya telah semai benih telang kira-kira dua minggu lalu terdapat anak benih yang saya percaya adalah benih bunga telang. Ia tumbuh dengan elok dan hari ini telah mempunyai empat helai daun. Agak lama saya menunggu hingga saya sangka benih itu telah musnah akibat reput. Saya semai tiga biji benih. Namun kehadiran benih yang satu ini cukup mengujakan. Kalau ditanya bagaimana kaedah yang berjaya menanam benih telang, tentulah saya tiada jawapannya...


posted from Bloggeroid

Isnin, 4 Februari 2013

Kailan Pun Pindah Rumah Juga! - Minggu 3


Kailan pun pindah rumah juga! Semalam saya dah pindahkan cambahan kailan ke dalam kawasan kebun sejemput. Cambahan kailan dah mengeluarkan daun sebenar kedua dan ada juga yang dah menunjukkan tanda-tanda untuk mengeluarkan daun sebenar ketiga. Sejak minggu lalu saya telah alihkan pasu semaiannya ke kawasan yang terima cahaya matahari sepanjang hari. Walaupun batangnya agak halus, batangnya agak kuat bila dipegang. Sebab itulah saya agak yakin untuk pindahkannya. Saya tak pindahkan semua cambahan sebab kawasan terhad. Lagipun cambahan lebihan boleh dibuat sebagai simpanan. Saya sedang berkira-kira untuk pindahkannya ke laman belakang kalau terdaya. Sayang dibiarkan kerana cambahan itu agak sihat-sihat belaka. Dalam tiga hari lagi saya akan letakkan baja. Kalau diletakkan sekarang bimbang cambahan ini tertekan kerana masih dalam proses menyesuaikan diri di dalam kawasan baru. Mujurlah hari ini hujan. Kuranglah sikit tekanan ke atas cambahan kailan saya.

posted from Bloggeroid

Sabtu, 2 Februari 2013

Giliran Ros Baru Pula..


Benarlah kata orang ros yang berbau tidak tahan lama kembangnya. Lihatlah ros ini, belumpun mencecah usia seminggu kembang sudah layu bunganya. Wanginya masih ada walau tak kuat tapi rupanya sudah tidak menarik. Seperti yang dirancang, saya cantas dahan yang bunganya telah layu. Masih ada dua dahan yang belum dicantas memandangkan masih terdapat kudup bunga yang belum kembang. Bila kembangnua sudah layu, baru saya cantas dahan-dahannya. Harapnya menjadilah cantasan untuk pokok yang ini sebagaimana dua pokok ros yang terdahulu. Ini mungkin pembelian bunga ros terakhir sebelum bersalin. Saya akan jaga ketiga-tiga pokok roa dengan baik. Kalau masih galak membeli pokok sekarang bimbang tidak terjaga dalam tempoh pantang nanti.


posted from Bloggeroid

Jumaat, 1 Februari 2013

Cantasan Ros Berjaya!!


Meriah sungguh pohon ros yang kecil ini dengan cambahan pucuk-pucuk barunya. Sejak "extreme makeover"nya minggu lalu, banyak pucuk baru yang keluar. Kalau tak dikawal dan dibentuk boleh caca marba jawabnya bentuknya nanti. Lepas ni bolehlah mula menggetu pokok bila sudah cukup kira-kira lima helai daun. Kerja menggetu dilakukan dengan meninggalkan sekurangnya tiga helai daun masih di dahan. Memandangkan dahannya masih lembut, menggetu boleh dilakukan dengan mencubit dengan tangan sahaja. Dalam pada itu, jangan lupa siram dua kali sehari dan baja setiap dua minggu. Alhamdulillah, setakat ini masih belum ada serangan kulat, penyakit atau serangga perosak yang menguji saya.

Yang ini pula pokok dalam pasu besar. Agak kurang pucuknya. Mungkin masih belum memcapai momentumnya dalam mengeluarkan pucuk-pucuk baru. Apapun, kedua-dua pokok kelihatan dalam keadaan terbaik.
posted from Bloggeroid

Sawi Pindah Rumah - Minggu 8


Kalau orang lain sudah mampu tuai sawi pada mingg ke empat hingga minggu ke enam, saya masih lagi terkial-kial membesarkan sawi saya. Sawi saya kecil lagi. Saya kira mungkin ini disebabkan ruang yang kecil untuk ia terus membesar. Sejak minggu lalu saya dah gemburkan sedikit kawasan dalam kebun sejemput untuk pindahkan sawi-sawi saya. Memandangkan hari ini Hari Wilayah, maka saya telah sedia seawal pagi untuk memindahkan sawi-sawi saya. Saya jarakkannya kira-kira sejengkal antara satu sama lain. Memadaikah dengan jarak sebegitu untuk ia membesar?
Kawasan ini agak teduh pagi tadi. Ia beransur-ansur terima cahaya matahari penuh menjelang tengahari. Saya harap cambahan sawi saya mampu bertahan dengan suhu panas sehingga petang. Mujurlah saya ada di rumah selama tiga hari berturut-turut sempena cuti Hari Wilayah dan hujung minggu. Dapatlah saya meninjau ketahanan sawi-sawi ini dalam tempoh tiga hari ini. Harapnya dapatlah ia membesar dengan sihat di "rumah" barunya.
posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...