adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 18 November 2013

Roti Putih Dari Dapur Sendiri

Sejak Jumaat lepas si Ameer asyik sebut nak makan roti empat segi. Roti sandwichlah tu. Tapi asyik lupa nak belikan. Kebetulan di rumah saya ada beli satu pek tepung berprotein tinggi sesuai untuk dibuat roti. Semalam pagi-pagi menguli rotilah dan itulahkali pertama saya membuat roti sendiri. Hasilnya agak memuaskan. Seronok dan puas hati dapat dapat makan roti putih buatan sendiri. Resepinya saya olah daripada resepi roti putih yang saya dapat dari buku The Essential Cooking Book. Resepi asal menggunakan yis kering. Saya gunakan yis segar yang disejuk beku. Sukar untuk mendapatkan yis kering di Aeon Big Putrajaya. Rasanya tak pernah jumpa di rak jualan pun. Yis segar yang dijual pula agak besar, jadi nampaknya banyaklah resepi yang menggunakan yis boleh dijayakan. Inilah resepi roti putih yang saya buat semalam.


Bahan – bahan:
450 gm tepung roti
1 ½ sudu teh yis segar
1 biji telur
1 biji kuning telur
2 sudu besar mentega
1 sudu teh garam
2 sudu teh gula
Air suam secukupnya

Cara Penyediaan:
Telur dipukul sedikit sekadar untuk mengadunkannya. Campur dengan yis dan air suam sehingga mencapai sukatan 300 ml. Adunkan tepung, garam dan gula serta mentega sehingga membentuk tekstur seakan serbuk roti. Masukkan adunan telur sedikit demi sedikit dan adun adunan tepung sehingga menjadi doh yang kenyal dan lembut. Uli selama lebih kurang 10 minit. Rehatkan doh di dalam bekas yang telah diminyakkan selama lebih kurang 1 ½ jam atau sehingga doh mengganda. Sebaiknnya di rehatkan di dalam ruang yang sedikit panas. Kemudian, uli lagi adunan dalam tempoh 5 minit dan bentukkannya mengikut bekas. Masukkannya ke dalam bekas pembakar roti yang telah diminyakkan dan rehatkan untuk tempoh 30 minit atau sehingga adunan naik sekali ganda. Panaskan oven ke suhu 220°C. Bakar selama 30 – 35 minit. Roti telah masa jika kedengaran bunyi lompong jika bahagian bawah bekas diketuk. Jika kedengaran padat, teruskan membakar. Sejukkan roti di atas redai dan nikmatinya.


Setelah roti masak, saya dan Ameer menikmati roti disapu Nutella dari tengahari sampai ke petang walaupun tengahari dah makan nasi. Ameer memang hantu roti. Walaupun Ameer dah makan roti dengan Nuttella, dicicah lagi sekeping dengan air coklat panas. Lembut dan gebu. Warnanya sedikit kuning tidak putih seperti roti yang dijual di pasaraya. Separuh habis dimakan semalam. Bakinya saya potong kepingan. Dapatlah enam keping. Kalau dapat dicicah kari ayam tentu enak. Dibakar rangup, sapu mentega dan jem atau serikaya tentu menyelerakan sambil minum kopi.


Pagi tadi, saya cepat-cepat perasakan sekeping dada ayam dan gril sehingga masak. Pagi ini saya bawa sandwich roti dengan ayam gril untuk sarapan. Diapit dengan setimbun salad Butterhead kegemaran. Kenyang, memuaskan hati dan menyihatkan. Masa dipekkan rasa sudah setimbun salad diletakkan. Hampir separuh kepala Butterhead dikerjakan, sampai dipejabat rasa terkurang pula. Esok mesti letak lagi banyak saladnya. Hari ini jimat duit belanja sarapan. Roti dan ayam dimasak sendiri di rumah. Sos cilid an mayonis dapat percuma dari pek promosi makanan. Bekas makanan percuma dari MILO. Kalau salad datang dari kebun sendiri bertambah-tambah jimatnya! Hehehe.

Isnin, 11 November 2013

Ramequin Cheesecake


Dua tiga hari yang lalu teringin betul nak makan cheesecake. Teringin juga nak buat sendiri. Tangan pun rajin membelek buku masakan yang ada dirumah. Maka terjumpalah satu resepi cheesecake yang mudah. Sebelum ini ada juga terjumpa beberapa resepi cheesecake yang mudah. Kebanyakan resepi diperuntukkan untuk kek sebesar 9 inci untuk dimakan enam hingga lapan orang. Agak banyak sedangkan yang akan makan cuma saya dan anak-anak. Lagipun saya tidak mempunyai loyang pembakar yang sesuai. Setelah diubahsuai beberapa resepi, saya dapatlah menghasilkan cheesecake seperti ini. Dengan satu adunan resepi ini membolehkan saya mendapat enam bekas ramequin. 


Bahan-bahan:
4 paket biskut organic hazelnut oat jenama Oat Krunch
3 sudu mentega – suhu bilik
Sebiji telur
250 gram cream cheese
6 sudu besar susu pekat
1 sudu teh esen vanilla

Cara Penyediaan:
Sapukan bahagian dalam ramequin dengan sedikit mentega. Panaskan oven pada suhu 190°C. Hancurkan biskut dan satukan dengan mentega. Pastikan semuanya tergaul sebati dan masukkan ke dalam ramequin. Ratakan campuran biskut. Dalam bekas yang lain, sebatikan campuran susu pekat, cream cheese, telur dan esen vanilan. Pukul sehingga berkrim. Masukkan ke dalam bekas ramequin. Bakar pada suhu 190°C untuk tempoh 25 – 35 minit atau sehingga kek naik semula apabila ditekan. Sejukkan pada suhu bilik dan sejukkan dalam peti sejuk sebelum menghidang.


Cheesecake ini saya makan waktu ianya masih suam . Sedap sungguh. Bahagian atasanya agak manis jika dimakan begitu sahaja. Namun kemanisannya diseimbangkan dengan bes biskut yang agak tawar. Resepi asal menggunakan biskut digestive. Dek kerana tiada biskut berkenaan dijual di Aeon Big di sini, saya gantikan dengan biskut oat Oat Krunch yang saya rasakan mempunyai rasa dan tekstur yang sesuai untuk bes kek ini. Saya yakin biskut bijirin lain yang ada juga boleh digunakan dan mampu memberikan kelainan dari segi rasa kek terutama yang ada buah-buahan kering sebagai ramuannya.


Saiz hidangan kek ini dalam ramequin ini juga tidaklah terlalu banyak. Ameer makan satu bekas dan Ahmad makan setengah bekas. Pagi ini saya bawa dua bekas untuk dua anak buah saya. Harapnya kenalah dengan selera anak tekak mereka. Ramequin ini saya beli sedikit masa dulu di Daiso. Ada pelbagai warna dan saiz. Setelah menggunakannya semula semalam, timbul keinginan untuk membeli ramequin saiz lain pula. Tapi, bahaya kalau ke Daiso tanpa perancangan. Silap haribulan, mahu diborong semua barang.

Khamis, 7 November 2013

Pasta & Bebola Daging Berkuah Ala-IKEA

Minggu lepas saya ada beli sebungkus bebola daging dari pasar jualan PUSPANITA. Siang semalam dok memikirkan resepi apa yang dibuat dengan bebola daging itu. Kalau nak dimasak Bolognese jemu pula rasanya kerana baru beberapa hari lepas saya dan anak-anak menikmati pasta Bolognese. Jadi saya pun meneroka ruang maya mencari-cari resepi yang boleh mereplika rasa dan rupa kuah bebola daging medan selera IKEA. Setelah dihazam beberapa resepi, inilah hasilnya setelah diolah mengikut citarasa saya.

Bahan-bahan:
10 ketul bebola daging
Pasta secukupnya
2 sudu besar bawang kuning Holland cincang
2 sudu besar minyak
2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar kicap manis
1 cawan susu – saya guna susu full cream
Garam dan lada sulah
Cincangan daun bawang atau parsli

Cara Penyediaan:
Rebus bebola daging dan pasta sehingga masak bersama sedikit garam. Toskan tetapi simpan air rebusan. Panaskan minyak bersama mentega dan goreng bebola daging sehingga perang. Keluarkan bebola daging dan tumis bawang sehingga naik bau. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga berbuih. Masukkan secawan air rebusan tadi dan kacau sebati. Masukkan kicap dan susu. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Renih sehingga mencapai kepekatan yang disukai. Jika terlalu pekat tambahkan lagi air rebusan. Tutup api dan gaulkan cincangan daun herba. Hidangkan bersama bebola daging dan pasta.


Semalam saya masak baki spageti yang ada di rumah untuk makan malam saya dan anak-anak. Suami saya tiada di rumah kerana ada perlawanan bola sepak. Ameer makan sedikit sahaja kerana sudah kenyang makan 4 keping roti. Ahmad pula makan hampir separuh pasta yang ada dengan kuah ini. Itupun dia masih mahukan lagi. Namun pasta yang ada sudah habis. Sedap sungguh kuah ini. Lebih enak dimakan waktu masih panas. Di pejabat hari ini pun masih teringat-ingat kesedapan kuah bebola daging. Bebola daging dan kuah ini juga enak dimakan bersama kentang lenyek sebagai karbohidrat menggantikan pasta. Resepi kentang lenyek boleh didapati di sini. Makan dengan kentang goreng juga pasti sedap. Saya kira kalau ada jem masam manis seperi jem mulberi atau roselle pasti lebih melazatkan hidangan ini. 


Rabu, 6 November 2013

Amazing Cruise @ The Mines

Semalam kami sekeluarga ke The Mines. Tujuan asalnya adalah untuk menghantar telefon kesayangan saya untuk dibaiki buat kali yang kesekian kalinya. Mujurlah masih dalam tempoh jaminan pembaikan yang terdahulu. Ketika di sana, Ameer sungguh teruja dengan kelibat bot di tengah-tengah kompleks membeli-belah tersebut. Memandangkan kami tiada rancangan lain untuk hari itu, maka kami pun membeli tiket berjumlah RM90.00 untuk saya, suami dan Ameer. Ahmad dan Alif tidak dikenakan sebarang bayaran. Pakej yang kami ambil adalah pakej Amazing Cruise @ The Mines yang dijangka mengambil masa kira-kira 50 minit. Perjalan bot ini akan mengelilingi sebuah tasik besar iaitu North Lake dan tasik kecil iaitu South Laku. Diagram perjalanan adalah seperti gambar di bawah. Maklumat lanjut boleh di dapati di laman web ini. Terdapat pelbagai pakej yang disediakan.



Perjalanan kami dimulakan denga melalui sebuah kunci air. Di sini aras air di tali air yang merintangi kompleks akan di turunkan sama aras dengan aras air tasik iaitu kira-kira 10 hingga 15 meter. Ini merupakan mengalaman yang menarik dan sungguh mengujakan. Aras air perlu diselaraskan kerana kompleks tersebut berada di kawasan lebih tinggi berbanding dataran tasik.


Persinggahan pertama kami adalah kawasan tebingan berhadapan dengan Mines Wellnes Hotel. Dengan bayaran sebanyak RM3.00, penumpang boleh mendapatkan makanan ikan dan merasai pengalaman memberi makan ikan. Ikan-ikan di tasik ini saiznya besar sehingga kelihatannya boleh mencapai lebih dari 1 meter.



Kemudian kami dibawa memusing North Lake dengan melihat pemandangan indah di sekitar tasik. Dari bot, penumpang boleh melihat kawasan golf, kawasan perumahan elit yang turut menempatkan rumah bekas Perdana Menteri. Di sekitar tasik ini boleh dilihat pelbagai ungags bertebangan seperti bangau, gagak, merpati dan lain-lain. Biawak dan kura-kura juga turut kelihatan. Kami juga turut berhenti di hadapan Palace Of The Golden Horses Hotel. Saya kira hampir lima (5) tempat kami berhenti bagi memberi makan unggas-unggas liar dan juga pelbagai ikan tasik.





Setelah kembali ke kompleks, kami bergerak dengan bot yang sama ke South Lake. Keluar dari kompleks, kami melalui Heritage Office Tower. Di tingkat bawahnya terdapat pelbagai restoran namun semuaanya tutup. Mungkin restoran ini dibuka pada waktu malam dengan suasana yang lebih santai. Di South Lake ini, pemandangannya agak biasa sahaja namun pengunjung berpeluang memberi makan angsa hitam dan angsa putih. Ikan juga terdapat di sini.







Walaupun pada sesetengah orang perjalanan dengan bot mengelilingi tasik ini agak biasa sahaja, namun bagi saya, kegembiraan anak-anak yang cukup teruja dengan pengalaman ini sudah membuatkan hati saya gembira.




Jumaat, 1 November 2013

One Pot Pasta Bolognese


Kebiasaannya kalau suami saya makan malam diluar atas urusan kerja, saya akan masak hidangan ringkas sahaja untuk saya dan anak-anak. Hidangan ringkas mungkin mee atau spageti. Semalam saya masak spageti satu periuk, One Pot Pasta Bolognese. Kalau mahu resepi asal, google sahaja resepi One Pot Pasta Tomato Basil. Masakan ini menggunakan satu periuk sahaja. Mudah dan ringkas. Pasta yang saya gunakan adalah spageti. Pasta lain juga boleh digunakan menmgikut citarasa sendiri. Mudah sahaja menyediakannya. Saya gunakan sos Bolognese yang sedia di pasaran. Ikut sahaja resepi versi saya di bawah ini dan hidangan anda sedia dalam masa setengah jam atau kurang! 


Bahan-bahan:
Pasta secukupnya
Daging lembu cincang
Frozen mixed vegetables
Bawang kuning Holland yang didadu
Sedikit minyak zaitun
Oregano – jika suka. Kadangkala saya masukkan daun selasih Thai
Garam dan lada sulah
Air sekadar cukup sehingga bahan terendam
Sekeping keju Cheesedale – jika suka

Cara penyediaan:
Masukkan semua bahan kecuali keju di dalam sebuah periuk dan panaskan sehingga pasta lembut dan air mengering mengikut citarasa masing-masing. Sebelum tutup api, masukkan keju dan kacau. Sewaktu proses memasak, kacau sesekali supaya tidak hangus di dasar.



Nasihat saya jangan terlalu banyak letakkan air kerana ini akan mengambil masa yang lebih untuk kuah mengering. Letakkan sekadar sahaja dan tambah lagi jika perlu. Disebabkan pasta dimasak terus di dalam kuahnya, maka pasta lebih berperisa. Tambahan pula tiada air rebusan yang terbazir. Menjimatkan betul. Kalau suka boleh juga tambahkan cendawan, tomato segar dan lain-lain.

Sesuai untuk orang yang sibuk seperti saya.  Sementara hidangan dimasak di atas dapur, sempat saya mandikan dua orang anak, susukan tiga orang anak dan solat Asar. Usai makan, sempatlah saya bergurau senda dan bermain dengan anak-anak saya. Nampaknay resepi ini bukan sahaj menjimatkan masa saya, malah memberi ruang yang lebih untuk saya bersama anak-anak. Kerja mencuci pinggan mangkuk juga berkurang!

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...