adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 11 November 2013

Ramequin Cheesecake


Dua tiga hari yang lalu teringin betul nak makan cheesecake. Teringin juga nak buat sendiri. Tangan pun rajin membelek buku masakan yang ada dirumah. Maka terjumpalah satu resepi cheesecake yang mudah. Sebelum ini ada juga terjumpa beberapa resepi cheesecake yang mudah. Kebanyakan resepi diperuntukkan untuk kek sebesar 9 inci untuk dimakan enam hingga lapan orang. Agak banyak sedangkan yang akan makan cuma saya dan anak-anak. Lagipun saya tidak mempunyai loyang pembakar yang sesuai. Setelah diubahsuai beberapa resepi, saya dapatlah menghasilkan cheesecake seperti ini. Dengan satu adunan resepi ini membolehkan saya mendapat enam bekas ramequin. 


Bahan-bahan:
4 paket biskut organic hazelnut oat jenama Oat Krunch
3 sudu mentega – suhu bilik
Sebiji telur
250 gram cream cheese
6 sudu besar susu pekat
1 sudu teh esen vanilla

Cara Penyediaan:
Sapukan bahagian dalam ramequin dengan sedikit mentega. Panaskan oven pada suhu 190°C. Hancurkan biskut dan satukan dengan mentega. Pastikan semuanya tergaul sebati dan masukkan ke dalam ramequin. Ratakan campuran biskut. Dalam bekas yang lain, sebatikan campuran susu pekat, cream cheese, telur dan esen vanilan. Pukul sehingga berkrim. Masukkan ke dalam bekas ramequin. Bakar pada suhu 190°C untuk tempoh 25 – 35 minit atau sehingga kek naik semula apabila ditekan. Sejukkan pada suhu bilik dan sejukkan dalam peti sejuk sebelum menghidang.


Cheesecake ini saya makan waktu ianya masih suam . Sedap sungguh. Bahagian atasanya agak manis jika dimakan begitu sahaja. Namun kemanisannya diseimbangkan dengan bes biskut yang agak tawar. Resepi asal menggunakan biskut digestive. Dek kerana tiada biskut berkenaan dijual di Aeon Big di sini, saya gantikan dengan biskut oat Oat Krunch yang saya rasakan mempunyai rasa dan tekstur yang sesuai untuk bes kek ini. Saya yakin biskut bijirin lain yang ada juga boleh digunakan dan mampu memberikan kelainan dari segi rasa kek terutama yang ada buah-buahan kering sebagai ramuannya.


Saiz hidangan kek ini dalam ramequin ini juga tidaklah terlalu banyak. Ameer makan satu bekas dan Ahmad makan setengah bekas. Pagi ini saya bawa dua bekas untuk dua anak buah saya. Harapnya kenalah dengan selera anak tekak mereka. Ramequin ini saya beli sedikit masa dulu di Daiso. Ada pelbagai warna dan saiz. Setelah menggunakannya semula semalam, timbul keinginan untuk membeli ramequin saiz lain pula. Tapi, bahaya kalau ke Daiso tanpa perancangan. Silap haribulan, mahu diborong semua barang.

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...