adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Selasa, 2 Februari 2016

Alif Teman Ibu Alih Pokok Delima

Bulan Oktober tahun lalu, pokok delima saya akhirnya berbuah sulung. Pada waktu itu saya berhajat untuk alihkan pokok delima saya ke laman belakang. Dek kerana buah sulung itu, saya batalkan hajat saya dan biarkan buahnya terus membesar pada pokok yang tumbuh baik di dalam pasu. Dalam tempoh itu, banyak betul bunga delima yang keluar dan pokok juga semakin besar. Saya syak akar pokok sudah keluar menjalar masuk ke tanah di bawah simen.


Lama saya menunggu masa delima masak merekah. Namun sudah ditakdirkan bukan rezeki saya. Hampir dua bulan lepas buahnya yang agak besar semakin mengecut. Terfikir juga mungkin sudah terlewat untuk saya petik. Tetapi saya tunggu juga. Akhirnya suatu hari saya ternampak delima sudah berada di lantai tanah terkopak. Mungkin sudah menjadi habuan si tupai. Apa yang buat saya gembira adalah apabila melihat butiran delima merah menyala dari dalam kulitnya. Nampaknya buah sudah ranum masa dipetik tupai. Saya pula balik ke kampung halaman agak lama menghabiskan cuti tahunan. Mungkin masa itulah delima dipetik.

Setelah lama tertangguh, akhirnya Ahad lepas saya luangkan sedikit masa untuk alihkan pokok delima saya.


Besar betul. Semput nak mengangkat pasu dengan pokok meninggi tambah pula rantingnya berduri tajam. Walaupun ditanam di dalam pasu, pokoknya lebih tinggi dari anak saya Alif. Alif memang seronok kalau dapat keluar menemani saya di kebun sejemput.



Bunganya memang banyak dan putik-putik bunga baru juga banyak juga baru muncul. Harapnya bila dipindahkan ke laman belakang, dapatlah ia tumbuh dengan lebih besar dan menghasilkan buah yang lebih banyak. Laman depan juga nampak lapang sedikit bila pokok delima dialihkan.



Cuaca panas memang terik sejak akhir-akhir ini dan akan berlanjutan sehingga penghujung Mac. Kadang-kadang hujan turun selepas maghrib di Putrajaya. Cuaca yang panas memang sangat terik sehingga daun-daun pokok banyak yang melecur dek kepanasan tapi masih hidup kerana disiram setiap hari.



Tiap kali ke kebun Alif memang akan merayau-rayau dalam kebun tapi kalau tidak diawasi memang lebih jauh langkahnya sehingga tak terkejar. Selepas berlari-lari, Alif rehat sebentar dan sambung semula berlari. Ahad lepas, Alif memang sengaja minta ibu ambil gambarnya di kebun.



ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...