adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Jumaat, 19 September 2014

Ayam Masak Hijau


Kelmarin dah buntu nak masak gaya apa ayam yang ada dalam peti sejuk untuk makan malam. Waktu makan tengah hari digunakan untuk godek-godek resepi yang menarik. Anak tekak terus tertawan dengan resepi Ayam Masak Hijau daripada blog Masam Manis. Menarik juga untuk dicuba. Kebetulan di rumah ada cili padi Thai hijau dan cili hijau lebihan ulam suami makan bersama Nasi Kabsa kelmarin. Saya ubahsuai sedikit resepinya agar lebih mudah. Hidup menjadi lebih mudah dengan sebahagian bahan tumisan telah sedia dikisar banyak-banyak hujung minggu lalu. Ini dia resepi Ayam Masak Hijau yang mudah versi saya untuk tiga (3) orang makan.

Bahan-bahan:
Ayam dipotong enam (6) ketul sederhana kecil.
Sedikit serbuk kunyit dan garam untuk menggoreng ayam
Setengah sudu rempah Chinese Five Spice – atau gantikan dengan sebatang kulit kayu manis, sekuntum bunga lawang dan setengah sudu teh bunga cengkih
Sehelai daun pandan diikat
Garam dan lada sulah
Setengah cawan stok ayam (saya guna lebihan sup Sar Hor Fun) – atau gantikan dengan setengah kiub ayam
Minyak untuk menggoreng dan menumis

Bahan kisar:
Sebatang serai
Setengah inci halia
Dua (2) ulas bawang putih
Sebiji bawang besar
Empat (4) biji cili hijau
Empat (4) ulas cili padi – boleh letak lebih untuk tambah kepedasan

Cara memasak:
Goreng ayam yang telah dilumurkan dengan garam dan serbuk kunyit sehingga separuh masak atau jika suka sehingga sedikit garing. Ketepikan.
Keluarkan minyak gorengan sehingga cukup sekadar untuk menumis bahan kisar. Tumis bahan kisar bersama rempah dan daun pandan sehingga garing. 
Masukkan stok ayam dan ayam yang telah digoreng. Masak sehingga ayam benar-benar masak dan sambal hampir kering. Masukkan garam dan lada sulah secukup rasa dan hidangkan.

Masakkan ini berbau wangi dengan bau pandan dan tumisan rempah berserat bahan tumisan lain. Memang menaikkan selera. Saya pasti akan cuba lagi lain kali. Suatu hari nanti saya kan cuba pula dengan ikan keli atau ikan sungai lain yang digoreng garing. Pasti menyelerakan.  


posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...