Awal bulan ini saya telah bertugas di luar Putrajaya selama seminggu. Tugas tersebut memerlukan saya menginap di The Meritus Pelangi Resort and SPA di Pulau Langkawi. Memang seronok dapat makan pelbagai juadah hasil tangan masakan chef profesional namun apa yang buat saya teringat adalah kuew tiaw supnya. Saya agak itu mungkin sar hor fun berdasarkan kepada rasanya. Dek kerana asyik teringat maka gigihlah saya mencari resepinya. Setelah digodek pelbagai resepinya, inilah versi saya. Ringan sahaja hidangannya sesuai untuk sarapan. Sesuai untuk orang yang cuba menurunkan berat badan. Ini resepi untuk empat (4) orang makan.
Bahan-bahan kuah:
Sebelah ekor ayam - saya guna empat (4) pasang kaki ayam yang diberi percuma oleh penjual ayam dan sekeping dada ayam.
Seinci halia tua dihiris
Empat ulas bawang putih diketuk
Sebiji bawang kuning dibelah lapan
Sesudu teh lada hitam
Seketul kiub ayam
Minyak udang - resepi di bawah
Lada sulah dan garam
Bahan minyak udang:
Kulit dan kepala udang dari 12 ekor udang
Setengah inci halia tua dihiris
Lima (5) sudu minyak masak
Bahan rencah:
Sayur-sayuran - tauge, sawi, kubis cina dan daun kucai - dicelur
12 ekor isi udang - dicelur
Bebola ikan - dicelur
Bawang goreng
Bawang putih cincang digoreng garing
Ikan masin digoreng garing
Kicap masin dan cili potong
Kuew tiaw halus dicelur
*semua bahan celur mesti direndam ke dalam air berais sejurus dikeluarkan dari air panas dan toskan. Ini bagi mengelakkan bahan celur menjadi lembik.
Cara menyediakan :
1. Rebus ayam dengan air secukupnya bersama bawang putih, bawang kuning, halia, kiub ayam dan lada hitam dengan api yang kuat. Setelah menggelegak, perlahankan api dan tutup. Semasa memasak, sudip keluar buih-buih putih yang timbul dipermukaan air rebusan.
2.Setelah 30 minit, keluarkan ayam dan masukkan dalam air sejuk berais. Toskan dan carik isi ayam. Ketepikan isi ayam untuk dihidangkan. Masukkan rangka ayam ke dalam air rebusan semula dan terus renihkan.
3. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak masak dan tumis halia untuk sediakan minyak udang sehingga naik bau. Masukkan kepala dan kulit udang. Tumis sehingga garing. Masukkan sedikit air rebusan ayam dan kacau seketika. Tutup api dan keluarkan kepala dan kulit udang. Curah campuran air rebusan kedalam rebusan ayam. Tutup api dan perasakan dengan garam dan lada sulah.
4. Hidangkan kuew tiaw dengan air rebusan dan bahan rencah yang telah disediakan.
Pagi ni perut terasa lega dapat makankiew tiaw berasaskan sup ini setelah beberapa hari merasa sebu. Mungkin kerana ketidakhadaman. Saya juga sediakan bubur nasi untuk dimakan bersama air rebusan ayam yang berperisa. Setelah seminggu bertugas di Pulau Langkawi, saya keluar semua bertugas di Kuching. Maka hidangan sarapan pagi ini turut digandingkan dengan gorengan ikan terubuk masin. Sedapnya. Cubalah!
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan