Panjang pula cerita di Alexandria ni. Sementara menunggu adik saya habis kelas pagi, kami singgah sekejap di Qaitbay Citadel. Qaitbay Citadel merupakan sebuah kubu pertahanan yang dibina pada kurun ke-15 di pesisir Laut Mediteranean di bahagian Alexandria, Mesir. Ia telah dibina pada tahun 1477 Masihi (882 Hijriah) oleh Sultan Al-Ashraf Sayf al-Din Qa'it Bay. Kubu ini terletak di bahagian timur sebuah pulau kecil yang menempatkan rumah api di bahagian utara muara Dermaga Timur. Kubu pertahanan di Alexandria ini dikatakan sebagai sebuah monumen pertahanan yang terpenting sekali, bukan sahaja di Mesir malah bagi Laut Mediteranean juga. Pembinaannya merupakan aspek yang penting dalam sistem pertahanan Alexandria dalam kurun ke 15.
Pada lawatan saya itu, kami hanya melihat kubu tersebut dari kejauhan sahaja dan mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja di samping melihat keindahan pesisir pantai Laut Mediteranean. Kelihatan ramai orang-orang Arab Mesir bersantai di sini bersama keluarga dan sahabat handai. Pantainya tidak berpasir. Hanya ada batu-batu besar sahaja sebagai pemecah ombak. Bahagian pantai lain yang berpasir dan sesuai untuk aktiviti bermain terletak di bahagian lain Alexandria. Di sini juga terdapat pelbagai gerai-gerai yang menjual cenderahati untuk di bawa pulang.
Dari Qaitbay Citadel, kamu menuju ke Bibliotheca Alexandrina untuk bertemu adik saya. Bibliotheca Alexandrina atau dalam Bahasa Inggerisnya The Great Library of Alexandria merupakan kutubkhanah utama dan pusat budaya utama yang terletak berhadapan dengan pesisir pantai Laut Mediteranean. Bayaran masuk ke perpustakaan agung ini adalah 70EP iaitu kira-kira RM35 seorang. Walau bagaimanapun, bayaran sebanyak 2EP atau RM1 sahaja diperlukan sekiranya kad pelajar ditunjukkan kepada petugas kaunter. Tapi ada beberapa ruang pameran lain seperti Muzium Antikuiti yang menempatkan artifak dari zaman firaun sehingga zaman Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great) sehinggalah zaman penjajahan Empayar Rom perlu bayaran tiket tambahan. Muzium Manuskrip juga memerlukan tiket tambahan.
Ia merupakan peringatan kepada Library of Alexandria, sebuah perpustakaan lama yang telah tiada ditelan zaman, yang juga satu percubaan untuk mengenang kembali fungsinya pada zaman kegemilangan ilmu sebagai pusat pembelajaran. Perpustakaan yang menempatkan berjuta-juta buku hasil sumbangan daripada pelbagai negara turut menempatkan pelbagai bahan pameran seperti alat percetakan, bahan-bahan sejarah pembukaan Alexandria sebagai ibu kota pertama Mesir, artifak firaun, manuskrip lama dan pelbagai lagi.
Bangunan yang dibuka bermula pada tahun 2002 ini mempunyai seni bina yang mengagumkan dengan binaan bumbung yang mempunyai kecerunan bagi mendapatkan sentuhan seolah-olah mentari naik di ufuk timur Mediteranean. Ciri bumbung dengan binaan kaca ini membenarkan cahaya semula jadi masuk menerangi segenap pelosok ruang bacaan tanpa menyilau. Hasil seni bina ini adalah reka bentuk seorang arkitek dari Norwegia yang telah memenangi pertandingan mereka bentuk perpustakaan ini anjuran UNESCO. Bangunan perpustakaan ini menampilkan dinding luaran daripada batu grafit menonjolkan pelbagai bentuk tulisan daripada pelbagai bangsa.
|
Alat cetakan |
|
Alat cetakan |
Setelah penat melihat-melihat pameran di perpustakaan, kami akhirnya tersedar yang kami belum menjamah makan tengah hari lagi. Lewat petang kira-kira hampir jam 5 petang barulah kami bergerak meredah kesesakan lalu lintas Alexandria menuju ke sebuah restoran berhampiran Montazah Park and Palace. Sampai saja makanan depan mata terus ngap makanan yang ada. Selesai makan, kami bergerak ke Montazah Park and Palace.
Montazah Park and Palace ini merupakan sebuah taman di mana orang-orang tempatan berekreasi dan juga tempat letaknya istana persinggahan sultan terakhir Mesir iaitu King Farouk. King Farouk dikatakan seorang yang sangat kejam dan gemar berfoya sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaannya setelah digulingkan Presiden Mesir yang pertama menjadikan Mesir sebuah negara republik. Menurut adik saya, berdasarkan kepada legenda, dikatakan setiap pokok tamar yang tumbuh di taman itu mewakili kepada seorang rakyat Mesir yang dipenggal pada zaman pemerintahan King Farouk. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Sepatutnya kami dijadualkan berkelah makan tengah hari di sini, nampaknya jadual kami telah bertukar. Taman ini sangat besar dan memang boleh longlai lutut kalau berjalan untuk pusing taman ini. Kami pusing-pusing di sini sebentar sahaja melihat Montazah Palace dari dekat sambil melihat matahari terbenam kerana tidak banyak dapat dilihat dalam kegelapan malam. Cuma kelihatan beberapa pasangan kekasih duduk berduaan dalam jarak 3 kaki antara satu sama lain menyambut Hari Kekasih. Kalau di Malaysia ni mungkin dah disergah jabatan agama.
|
Montazah Palace |
Dari Montazah, kami bergerak pulang. Sebelum keluar dari pusat bandar, kami menghantar adik saya ke rumahnya dulu. Biasalah, mak yang akan sedih meninggalkan anaknya yang mungkin tahun depan baru dapat berjumpa semula.