adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 27 Julai 2015

Tuaian Semalam dan Sambal Ikan Talang Masin dengan Medley Ulam

Setelah menyambut Syawal hampir 10 hari, jemu pula tekak nak menelan lemang, rendang dan ketupat. Sabtu lalu adalah saya masak sedikit nasi himpit dan kuah kacang untuk makan kami sekeluarga kecil sebab teringin. Tapi tekak lagi teringin nak makan macam-macam jenis laksa yang belum jumpa lagi raya ni. Sepanjang beraya ni, kalau tak lemang dan rendang, mesti tuan rumah masak spageti. Hari-hari makan spageti tapi macam-macam resipi. Macam hidangan rasmi raya pula.

Sejak sebelum raya sampai hujung minggu lepas memang tak jenguk laman depan dan laman belakang rumah. Pagi-pagi Sabtu sempat luangkan masa gunting rumput-rumput yang dah meninggi. Barulah nampak terang sikit biji mata. Rumpai yang dalam pasu pun dah dicabut. Letak baja dalam semua pasu dan siram. Dah siap satu kerja kemaskan laman depan.

Ingatkan nak memotong rumput di laman belakang petang semalam sebab cuaca pun elok dan masa pun agak lapang. Tapi, ada saudara jiran pula datang ke rumahnya. Jadi dia buka pintu laman belakang rumahnya. Maklumlah, rumah di Putrajaya ni tak berpagar. Maka memang tak ada halangan kalau jiran sebelah melihat ke laman kita. Kita pun naik seganlah nak berkebun petang-petang disaksikan sudara-mara jiran. Jadi saya cuma cabut dia tiga rumpun rumpai di batas jagung dan pindahkan anak benih selasih Thai dan benih cili padi ke batas sebelah. Selepas menyiram batas jagung, anak betik dan beberapa rumpun pokok ubi kayu serta semaian yang baru dialih ke batas, saya masuk semula ke rumah walaupun hari masih siang.

Ikut arah jam : Selasih Thai, pucuk ubi kayu, daun kunyit, daun kesum, daun limau purut, serai dan kunyit hidup

Sebelum masuk ke rumah, sempatlah tuai sebatang serai, beberapa pucuk ubi kayu, pucuk kesum, pucuk selasih Thai, daun kunyit dan daun limau purut. Saya juga gali sedikit kunyit. Dah jemu makan rendang, malam semalam saya masak Sambal Tempoyak Ikan Talang Masin dengan Ulaman Tanam Sendiri. Kadang-kadang ikan talang masin tu saya gantikan dengan ikan selayang yang dipotong dua dan digoreng. Sambal ni di letak lagi pelbagai jenis ulam seperti daun kaduk dan mengkudu pasti lagi sedap.

Ini resipi saya untuk dua orang makan bagi yang berminat nak mencuba.

Bahan-bahan:

5 keping ikan masin talang – dibasuh
Seulas bawang merah
Seulas bawang putih
Seinci kunyit
Segenggam ikan bilis
4 biji cili padi – ikut suka pedas
Sebatang serai
Dua sudu besar tempoyak
Setengah cawan santan pekat
Setengah cawan air
Sedikit minyak masak
Pelbagai jenis ulam dihiris halus – saya guna daun pucuk ubi, daun kunyit, daun limau purut, daun selasih Thai dan daun kesum.


Cara penyediaan:
Tumbuk atau kisar kering bawang merah, bawang putih, cili padi, serai, kunyit dan ikan bilis. Sementara itu, goreng ikan talang masin dalam minyak yang lain sehingga agak garing. Panaskan minyak untuk menumis dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan tempoyak dan air. Kacau seketika dan masukkan daun pucuk ubi. Setelah pucuk ubi mulai lebam, masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Biarkan mereneh seketika dan masukkan daun kesum serta daun selasih. Masukkan ikan talang dan kacau seketika. Masukkan santan dan biarkan mereneh sehingga tahap kering yang digemari. Sekiranya perlu masukkan garam. Kadang-kadang tak perlu masukkan garam kerana ikan talang dan sedia masin. Sedia dihidangkan. 


Semalam ada lebihan lagi sambal ini sebab kami makan tak banyak mana pun. Saya simpan dalam peti sejuk dan boleh dipanaskan semula. Biasanya masakan penuh perasa macam sambal ini akan bertambah sedap bila dipanaskan.

Sabtu, 25 Julai 2015

Tips Menghilangkan Bau Busuk Pada Pakaian

Walaupun saya ni bekerja di pejabat, kadang-kadang menangis juga ketiak kalau dah bergerak ke sana ke mari menyelesaikan tugasan. Belum keluar rumah pagi-pagi pun dah berpeluh dalam baju kerja menguruskan anak-anak ke taska/tadika. Balik dari pejabat, berpeluh pula menguruskan anak-anak. Kadang-kadang belum sempat duduk pun dah ke dapur sediakan kudapan ringan untuk minum petang sementara makan malam belum disediakan. Memang di akui bau peluh badan melekat pada baju kerja. 

Yeah, I feel bad when I smell bad...

Sebahagian besar koleksi baju kurung saya adalah dibuat dari kain kapas. Malu saya bila bau badan melekat pada baju-baju kurung. Segan juga nak duduk dekat-dekat dengan kawan-kawan. Nak pakai semula baju yang siap dibasuh pun malu sebab masih berbau. Suami yang memang tugasnya membasuh baju kami sekeluarga pun ada menegur. Saya dah cuba sental baju terutama di bahagian ketiak dengan sabun pencuci, sabun mandi dan juga syampu. Namun masih belum berjaya sehinggalah saya berjaya dengan menggunakan cuka makan.

Saya dah cuba teknik ini beberapa kali dan hasilnya memang memuaskan.

Gambar hiasan dari google search. Cuka makan.

Saya akan mencampurkan setengah cawan cuka makan dengan 3 liter air (lebih kurang setengah baldi). Rendam baju sepenuhnya dalam air yang dicampurkan cuka semalaman. Sebaiknya gosok sedikit bahagian ketiak dan leher dengan air rendaman untuk pastikan air rendaman meresap di bahagian yang berbau. Saya pernah rendam selama beberapa jam tapi hasilnya kurang memuaskan. Jadi sebaiknya rendam semalaman. Saya sarankan cuba rendamkan sebahagian kecil pakaian dahulu di bahagian yang terlindung untuk uji sama ada kain sesuai atau tidak untuk air rendaman tersebut. Saya pernah rendam t-shirt, baju kurung dari bahan kain kapas, baju kurung dari kain sutera dan baju kurung dari kain sifon. Alhamdulillahlah, warna kain tidak luntur. Setelah direndam semalaman, bilas pakaian dengan air bersih dan basuh seperti biasa. Bau cuka akan lekat di pakaian namun akan hilang setelah pakaian kering. Insya-Allah, pakaian akan berbau segar dan tiada lagi bau badan melekat pada pakaian. Tambahan pula, air cuka yang disental pada bahagian ketiak baju juga dapat menghilang sisa deodoran yang melekat. Jika tidak banyak, sebahagian akan tetap dapat dihilangkan.

Bagaimana ia berkesan? Bau busuk terjadi adalah disebabkan tindakan bakteria. Sifat berasid cuka ‘memotong’ membran bakteria dan menyebabkan bakteria mati. Justeru itu, ini menyebabkan bau busuk hilang. 

Rendaman air cuka dapat menghilang bau busuk pada pakaian. Namun jika bau pada badan masih belum dapat dihilangkan, maka bau busuk akan kembali melekat pada pakaian semula. Jadi, langkah-langkah untuk menghilangkan bau badan perlu diambil bagi mengelakkan bau badan yang kurang enak melekat pada pakaian. Jika terjadi lagi, silalah rendam pakaian lagi dalam air cuka.

Jumaat, 24 Julai 2015

Kacang Botor Sudah Berbunga - Bulan Ketiga

Sebelum saya pulang ke kampung sempena Aidilfitri minggu lalu, pokok kacang botor saya yang dah menginjak umur tiga bulan sudah mula kelihatan mengeluarkan putik bunga. Ketika itu, saya sedikit risau. Bimbang kalau pokok mati sebab tidak akan disiram hampir dua minggu sebab saya akan meninggalkan rumah selama 10 hari. Saya berdoa supaya hujan turun sekurang-kurang sekali di tengah-tengah minggu. Rasanya ada sehari dua hari yang hujan berdasarkan kepada ramalan cuaca di telefon bimbit saya. 

Saya juga risau kalau bunganya dah bertukar jadi buah dan buahnya kering di pokok sebab lambat dituai. Biasanya buah yang tua di pokok sebab tidak dituai akan sebabkan pokok kurang menghasilkan buah. Sudah menjadi resmi pokok, ia berbuah untuk menghasilkan benih. Jadi, kalau buah dah kering pokok, pokok akan dapat isyarat benih dah terhasil. Sebaliknya jika buah dituai muda, pokok akan dapat isyarat benih belum terhasil maka akan lebih banyak buah terhasil dalam tempoh yang lebih lama. Ini semua kuasa Allah.


Kerisauan saya akhirnya tidak membawa makna apa-apa. Tiba sahaja di rumah Selasa lepas, bunga yang baru berkembang cuma lima kuntum. Itu pun belum matang. Dari hasil pembacaan saya, buah boleh dipetik dalam tempoh 20 hingga 65 hari selepas berbunga. Mungkin seminggu dua lagi baru dapat tuai hasil kacang botor pertama saya.



Nampaknya pancang yang saya buat serasi betul dengan kacang botor saya. Walau asalnya saya tanam 3 pokok anak benih botor, namun hanya satu yang tumbuh dengan elok. Satu dah awal-awal lagi mati dimakan siput selepas beberapa hari dipindahkan ke tanah. Satu lagi tak membesar sampai sudah. Ada pula pokok kacang telang menumpang kasih sekali. Abaikan semak samun di pangkal pancang. Memang sudah sampai masa laman depan rumah ini dikemaskan setelah diabaikan sepanjang Ramadhan.


Khamis, 23 Julai 2015

Mexican Sunflower Torch - Bunga Matahari Oren Terang Kemerahan

Di rumah mertua saya ada ditanam sejenis pokok bunga matahari yang dikenali sebagai Mexican Sunflower Torch atau Golden Flower Of The Aztecs. Warna kelopaknya oren terang kemerahan. Bila berkembang di bawah matahari memang menyerlah warnanya. Pokoknya tinggi sehingga 3 kaki. Bunganya sebesar muka cawan teh. Geram betul saya nak ambil banyak-gambarnya tapi segan pula dengan keluarga mertua dan jiran tetangga. Ini pun diam-diam ambil gambar selepas menjemur kain baju di ampaian. Tak sempat pula nak ambil gambar keseluruhan pokok. Kebanyakan rumah di kejiranan mertua saya ada ditanam pokok ini. Mungkin berkongsi-kongsi benih. Saya juga pernah  diberi benihnya beberapa kali. 

Gambar ini tidak diedit kecuali ditambah teks. Lihatlah betapa terang warnanya.

Kali pertama benih ditanam tidak menjadi mungkin kerana benih lemas tenggelam keran hujan lebat pula lepas disemai. Kali kedua diberi, hiduplah dua pokok tapi mati pula satu baru ini sekembali kami dari kampung. Ada lagi baki benih disimpan. Mungkin hujung minggu ini saya akan cuba semai lagi.

Bunga matahari ini memang menarik banyak rama-rama dan lebah datang ke laman. Sesuai benar kalau ditanam bersama pokok cili, selasih dan tomato. Menggalakkan pendebungaan katanya. Harap-harapnya menjadi semaian saya nanti. Tak sabar nak tengok bunga matahari oren terang ini mengindahkan laman.

Rabu, 22 Julai 2015

Tanam Kesum Dalam Self Watering Container

Saya dah banyak kali mencuba menyemai daun kesum. Pernah juga saya tanam setangkai dua sejurus sampai dari pasar supaya benih yang ditanam segar dapat hidup. Namun mati akhirnya walaupun disiram selalu. Pernah juga saya cuba petua rendam dulu batang kesum dengan air gula untuk dapatkan akar yang kukuh. Memang menjadi tapi mati  kering bila dipindahkan ke dalam pasu. Ada juga menjadi ditanam tapi daunnya kecil dan kuning memanjangkan. Akhirnya mati mungkin kerana penuh semut berumah tangga dalam tanahnya. Saya juga pernah menanam kesum dalam pasu tak berlubang dengan harapan hidup suburlah kesum dalam air bertakung. Tapi hampa. Mati jua kesum saya.

Entah macam mana “terajin” pula satu hari nak potong bekas minyak masak untuk dijadikan self watering container. Asalnya dibuat untuk menanam bayam. Tapi mungkin kerana benih bayam sudah lama dan tidak lagi bernas. Saya cocok sebatang daun kesum lebihan belian dari pasar. Yang ada dua tiga urat daun kecil. Seminggu kemudian tumbuh lagi seurat dua daun. Saya pangkas dan cucuk di ruang yang kosong dalam bekas yang sama. Belum sampai seminggu dan bertunas. Saya pangkas lagi yang asal dan cocok di ruang yang kosong. Saya letakkan baja sedikit dalam setengah sudu teh baja kopi. Masa ini air tak bertakung tapi bahagian bawah bekas ada lebih sedikit dari separuh airnya. Saya kemudiannya pulang ke kampung sempena hari raya sejak 11 Julai.

Sekembalinya dari kampung iaitu selepas 10 hari meninggalkan rumah, saya lihat pokok-pokok di rumah agak layu. Saya kira ada hari-hari yang hujan turun dalam tempoh ini sebab pokok-pokok tidak mati terus. Saya tiba di rumah betul-betul waktu azan Zuhur berkumandang dari surau berhampiran rumah. Lewat petang baru saya siram pokok-pokok di laman dan saya perasan kelainan dalam bekas saya tanam pokok kesum saya.


Selepas kira-kira tiga minggu menyemai, inilah hasilnya. Mungkin tak seberapa pada orang yang dah jauh berpengalaman menanam kesum. Pada saya yang asyik gagal sahaja, inilah hari paling gembira saya. Daun kesum saya besar dan sihat. Kalau nak tuai pun tak risau mati sebab lebat sungguh walaupun hanya tiga batang sebesar 2 inci sahaja disemai. Saya kira warna-warna hitam pada daunnya itu menunjukkan daun kesum saya sihat.


Bila diangkat bekas tanahnya, saya lihat airnya sudah mengering tapi sedikit lembap. Jika hujan tidak turun dalam sehari dua ini dan saya belum pulang, pasti mati kering pokok kesum saya. Akarnya juga sihat apabila melihatkan akarnya putih dan bersih berselirat. 


Sepanjang petang tak puas membelek pokok kesum saya. Lepas ni boleh cuba lagi dengan herba atau sayur berdaun lain. Saya ada melihat ramai dan cuba menanam dengan self watering container dan hasilnya menakjubkan. Saya suka berkebun dan masa menyiram memang menjadi masalah besar kepada saya. Walaupun tanaman di rumah tak banyak, sedikit sebanyak memang terasa banyak jimatnya. Contohnya segenggam daun kunyit atau kesum dah hampir seringgit sedangkan nak guna seurat dua sahaja. Yang lain terpaksa dibazirkan. Kalau menanam sendiri banyak untungnya. Paling utama sentiasa ada dan segar selalu.


Isnin, 6 Julai 2015

Tarikan Hati Sepanjang Jun 2015

Dah hampir sebulan saya tidak berkongsi apa-apa. Tidak ada apa-apa yang menarik tentang kebun. Cuma saya ada menanam beberapa batang ubi kayu, betik pun sedang membesar, menyemai jagung sedikit, menjaga tanaman hiasan yang ada dan mengemas laman sedikit sebanyak. Tidaklah sehebat mana laman kebun sejemput saya. Bila dah rasa senang sedikit saya akan kongsi ceritanya. Dek kerana setiap hari bangun awal untuk bersahur, makanya setiap pagi subuh gajah pokok-pokok disiram. Sebelah petang memang tidak menyiram sebab tak sempat. Sekarang ini memang musim sedang melanda Putrajaya dan cuaca panas ini dijangka berpanjang sehingga bulan September. Risau juga meninggalkan tanaman semasa cuti Aidilfitri nanti. Dalam menghampiri Syawal ini, saya cuma kongsi beberapa gambar tanaman di rumah yang menarik hati saya dalam tempoh sebulan ini. 

Bunga Telang dah biasa berbunga. Tetap menarik hati tiap kali berbunga.

Yesterday, Today & Tomorrow - terang ungunya pada hari pertama berkembang.

Deep Purple & White Wishbone - tumbuhnya tidak diduga.

Milky Peach Japanesse Rose - paling kerap berbunga minggu ini.
 

Magenta Japanesse Rose - warnanya paling menyerlah.
 
Two Tone Single Layer Japanesse Rose - tak sangka sekali ada jenis dalam koleksi saya.

Semaian tampuk nenas madu. Manisnya buahnya beli di pasar. Semoga buah terhasil sama manis dengan buah asalnya.

Manusia (saya) baja dan siram tumbuhannya (pokok limau purut) dan binatang (ulat bulu) makan daunnya pula.
Terima kasih Allah atas rezeki yang dapat dikongi sesama ciptaanNya.
 
Daun keladi hiasan tiga warna - Tri-color Calladium.

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...