adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 27 Julai 2015

Tuaian Semalam dan Sambal Ikan Talang Masin dengan Medley Ulam

Setelah menyambut Syawal hampir 10 hari, jemu pula tekak nak menelan lemang, rendang dan ketupat. Sabtu lalu adalah saya masak sedikit nasi himpit dan kuah kacang untuk makan kami sekeluarga kecil sebab teringin. Tapi tekak lagi teringin nak makan macam-macam jenis laksa yang belum jumpa lagi raya ni. Sepanjang beraya ni, kalau tak lemang dan rendang, mesti tuan rumah masak spageti. Hari-hari makan spageti tapi macam-macam resipi. Macam hidangan rasmi raya pula.

Sejak sebelum raya sampai hujung minggu lepas memang tak jenguk laman depan dan laman belakang rumah. Pagi-pagi Sabtu sempat luangkan masa gunting rumput-rumput yang dah meninggi. Barulah nampak terang sikit biji mata. Rumpai yang dalam pasu pun dah dicabut. Letak baja dalam semua pasu dan siram. Dah siap satu kerja kemaskan laman depan.

Ingatkan nak memotong rumput di laman belakang petang semalam sebab cuaca pun elok dan masa pun agak lapang. Tapi, ada saudara jiran pula datang ke rumahnya. Jadi dia buka pintu laman belakang rumahnya. Maklumlah, rumah di Putrajaya ni tak berpagar. Maka memang tak ada halangan kalau jiran sebelah melihat ke laman kita. Kita pun naik seganlah nak berkebun petang-petang disaksikan sudara-mara jiran. Jadi saya cuma cabut dia tiga rumpun rumpai di batas jagung dan pindahkan anak benih selasih Thai dan benih cili padi ke batas sebelah. Selepas menyiram batas jagung, anak betik dan beberapa rumpun pokok ubi kayu serta semaian yang baru dialih ke batas, saya masuk semula ke rumah walaupun hari masih siang.

Ikut arah jam : Selasih Thai, pucuk ubi kayu, daun kunyit, daun kesum, daun limau purut, serai dan kunyit hidup

Sebelum masuk ke rumah, sempatlah tuai sebatang serai, beberapa pucuk ubi kayu, pucuk kesum, pucuk selasih Thai, daun kunyit dan daun limau purut. Saya juga gali sedikit kunyit. Dah jemu makan rendang, malam semalam saya masak Sambal Tempoyak Ikan Talang Masin dengan Ulaman Tanam Sendiri. Kadang-kadang ikan talang masin tu saya gantikan dengan ikan selayang yang dipotong dua dan digoreng. Sambal ni di letak lagi pelbagai jenis ulam seperti daun kaduk dan mengkudu pasti lagi sedap.

Ini resipi saya untuk dua orang makan bagi yang berminat nak mencuba.

Bahan-bahan:

5 keping ikan masin talang – dibasuh
Seulas bawang merah
Seulas bawang putih
Seinci kunyit
Segenggam ikan bilis
4 biji cili padi – ikut suka pedas
Sebatang serai
Dua sudu besar tempoyak
Setengah cawan santan pekat
Setengah cawan air
Sedikit minyak masak
Pelbagai jenis ulam dihiris halus – saya guna daun pucuk ubi, daun kunyit, daun limau purut, daun selasih Thai dan daun kesum.


Cara penyediaan:
Tumbuk atau kisar kering bawang merah, bawang putih, cili padi, serai, kunyit dan ikan bilis. Sementara itu, goreng ikan talang masin dalam minyak yang lain sehingga agak garing. Panaskan minyak untuk menumis dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan tempoyak dan air. Kacau seketika dan masukkan daun pucuk ubi. Setelah pucuk ubi mulai lebam, masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Biarkan mereneh seketika dan masukkan daun kesum serta daun selasih. Masukkan ikan talang dan kacau seketika. Masukkan santan dan biarkan mereneh sehingga tahap kering yang digemari. Sekiranya perlu masukkan garam. Kadang-kadang tak perlu masukkan garam kerana ikan talang dan sedia masin. Sedia dihidangkan. 


Semalam ada lebihan lagi sambal ini sebab kami makan tak banyak mana pun. Saya simpan dalam peti sejuk dan boleh dipanaskan semula. Biasanya masakan penuh perasa macam sambal ini akan bertambah sedap bila dipanaskan.

1 ulasan:

  1. Nampak macam sedap ni...boleh cuba ni...

    baru sebentar tadi makan di luar...sambal yang disediakan dicampur sedikit dengan daun limau purut...

    BalasPadam

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...