adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Rabu, 12 Ogos 2015

Menuai Kacang Botor Buat Pertama Kali

Semalam hujan turun dengan lebatnya. Asalnya merancang nak ke pasar tani tapi dek kerana hujan maka suami sahaja ke pasar. Kelmarin suami saya ada tegur yang kacang botor sedap dimakan masa kecil sebab masih rangup dan manis. Kebetulan mak dan ayah ada datang ke rumah semalam sebab hari ini perlu ke lapangan terbang untuk jemput adik lelaki saya yang akan tiba dari Mesir pagi ini. Dia bercuti selama sebulan dan akan kembali semula selepas Aidiladha.

Sebelum mak datang saya dah kirim belikan dua ekor ikan patin untuk dibuat asam pedas tempoyak. Saya memang kurang berkenan beli ikan patin dari pasar raya sebab rasa lumpur masih terasa pada isi ikan. Kebetulan sudah agak lama tak makan ikan patin masak asam pedas tempoyak. Sampai di rumah kira-kira jam 6.30 petang hujan masih turun dengan lebat. Suami sajalah yang ke pasar mencari bahan-bahan mentah untuk dapur.

Sementara suami ke pasar, sempatlah saya berpayung meredah hujan ke belakang dapur mengorek kunyit, memetik daun kesum dan kacang botor serta memangkas batang kantan. Pokok kantan tak pernah berbunga walaupun ditanam dah hampir tiga tahun. Tak tahulah apa masalahnya. Jadi batang kantan sahajalah buat pengganti bunganya. Daun kesum memang elok dicantas untuk galakkan pertumbuhan pucuk baru. Kunyit pula dituai sebab rasa kunyit segar lebih sedap untuk dibuat rencah asam pedas tempoyak berbanding serbuk kunyit. Kacang botor pun dituai buat ulam.


Semua bahan ini sudah selamat lebur dalam asam pedas tempoyak ikan patin. Menu tambahan adalah sambal tempoyak untuk digandingkan dengan kacang botor serta potongan timun. Sedap betul kacang botor. Rasanya manis dan rangup. Habis kacang yang ada di pokok dituai dalam hujan lebat semalam. Yang tinggal sekarang bunganya sahaja. Esok lusa mungkin ada kacang baru akan keluar. Mewah ulam lah lepas ni.

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...